Long Buang, salah sebuah anak sungai yang bersambung dengan Sungai Baram menjadi sasaran kami, hanya terletak kira-kira 30 minit menghulu dari perkampungan tersebut
namun perjalanan terasa amat lama kerana keadaan sungai yang cetek dan deras dengan bongkah-bongkah batu besar di tengah-tengah sungai membuatkan enjin 15hp bagaikan hanya berkuasa 2hp lajunya.
Setibanya di Long Buang, kami terpaksa meninggalkan bot di muara kerana air sungai terlalu cetek untuk dimudiki.
Rancangan asal adalah untuk terus berjalan kaki ke hulu di mana terdapat banyak lubuk besar dan dalam namun memandangkan kami hanya mempunyai masa setengah hari
untuk memancing maka rancangan diubah untuk hanya menduga lubuk-lubuk kecil berdekatan muara.
Saya menggunakan set padanan Abu Garcia Revo MGX dengan rod custom 4-7lb, satu set ringan kerana berpendapat kawasan dekat muara ini tiada saiz ‘monster’ berikutan
lubuknya yang kurang dalam. Namun lontaran pertama sesudu Abu Island II Gold 12 gram terus sahaja bersambut.
Saya dapat menjangkakan bahawa ini perbuatan sebarau kerana sambaran diterima ketika sesudu baru tenggelam dan larian pertamanya yang padu namun agak singkat.
Setelah dihela ke tebing seekor sebarau dua belang dalam anggaran berat 500 gram berjaya dinaikkan.
Saya difahamkan, di lubuk ini hanya sebarau dua belang sahaja yang menghuni. Dan berdasarkan pengalaman memancing spesies ini di kebanyakan lokasi di Sarawak, daya juang sebarau dua belang jauh lebih hebat daripada saudaranya satu belang.
Dari segi penampilan fizikalnya juga memang berbeza dengan kepala yang lebih besar dan nampak garang, badan yang lebih ‘ streamline’ dan panjang serta dua belang hitam
melintang di tengah badan dan pangkal ekor menampakkan lagi kelainan ‘sebarau Borneo’ ini.
Memandangkan hari semakin lewat tengah hari, kami memutuskan untuk casting secara ‘rapid’ dalam usaha mendapatkan lauk untuk makan tengah hari kerana kami hanya membawa nasi sahaja sebagai bekalan makanan.
Lagipun menurut guide kami, adalah senang untuk mendapat lauk-pauk di dalam perjalanan sebab banyak paku-pakis dan tumbuhan hutan lain yang boleh dimakan bersama ikan yang dipancing nanti.
Sebarau dan anak tengas rata-rata dalam lingkungan berat 500-900 gram berjaya kami naikkan. Dalam masa lebih kurang setengah jam casting hasil keseluruhan 3 orang ‘caster’ untuk dijadikan lauk kami adalah lebih kurang 15 ekor.
Agak menyedihkan, kerana terpaksa mengambil juvenil untuk dijadikan hidangan. Nak buat macam mana, survival.
TRIP PETANG
Setelah makan, kami berkemas untuk meneruskan agenda sebenar trip. Jam menunjukkan pukul 3 petang.
Kami berpecah kepada dua kumpulan untuk meminimumkan bunyi bising dan setiap kumpulan diberi lubuk masing-masing untuk digempur.
Di satu lubuk yang dalam, lontaran pertama saya terus bersambut. Sesudu Abu Island II 12 gram disergap pemangsa jauh di dalam lubuk ketika dibiarkan tenggelam.
Drag kekili Abu Garcia Mgx disetkan tinggi namun tali mencurah-curah keluar. Saya terpaksa menambah tegangan dengan ibu jari menahan spool yang ligat berpusing. Ikan berjaya dihalang daripada masuk ke kubunya dan dilayan sehingga letih.
Kira-kira 2 minit kemudian ternampak kelibat ikan di dalam air yang sejernih kristal. Agak kecewa kerana apa yang menonjol adalah dua garisan melintang di tengah badan ikan.
Badong rupanya… ingatkan kelah sebab tarikannya memang syok habis. Yelah kan, penulis belum ada pengalaman bertarung dengan kelah, masih kurang arif dengan lariannya.
Bacaan pada ‘lip grip’ menunjukkan angka 5lb. Lebih kurang 2 kilo lebih. Memang puas hati.
Berita daripada kumpulan lain agak kurang memuaskan. Hanya sebarau juvenil yang banyak dinaikkan untuk hari pertama.
Memandangkan hari semakin lewat kami bergerak balik pada pukul 5.00 petang.
Dalam perjalanan pulang, kami merancang untuk memancing dasar pada malam harinya, namun selepas sahaja berehat, semuanya terus hanyut tertidur dek keletihan.
Keesokan harinya, kami bertolak agak lambat kerana porter dari suku kaum Penan yang diupah untuk mengangkat enjin sangkut ke perahu datang lambat.
Jam 10 pagi barulah kami dapat bergerak ke Long Buang. Hari ini, kami merancang untuk pergi lebih jauh ke hulu demi mendapatkan lubuk-lubuk besar yang dalam.
Sepanjang ‘trekking’ menghulu tersebut, saya sempat melempar sesudu di kawasan-kawasan yang difikirkan berpotensi.
Sebarau amatlah banyak, sehingga ‘blind cast’ pun bersambut. Sekali-sekala anak-anak tengas juga turut terjerat. Strategi hari ini juga seperti hari sebelumnya.
baca teknik casting di Air Ganda
Kami berpecah kepada 2 kumpulan untuk meneroka lubuk-lubuk. Jam 2 petang kami berkumpul semula untuk rehat makan.
Sementara menunggu api hidup dan memasak, saya mencuba di sebuah lubuk berdekatan lokasi kami berehat.
Beberapa ekor sebarau berjaya didaratkan walaupun dalam keadaan bising dengan semua anggota trip berkumpul dan memasak. Saya masih lagi mencuba beberapa balingan.
Dalam satu balingan yang ‘miss q’, tali dalam spool menjadi kusut. Sesudu terus tenggelam ke dasar sementara saya membetulkan tali.
Pada karauan pertama, sebaik sesudu terangkat dari dasar,terasa satu terjahan padu menghentam dan menarik tali mencurah-curah dari kekili. Setelah dilayan seketika, menyerahlah seekor kelah dalam anggaran 600gram.
Selain sesudu, saya turut mencuba gewang selaman dalam berwarna terang yang menyerupai buah-buah hutan.
Rapala FatRap 5cm berwarna Golden F1 Red (GFR) amat laku di sini. Dua kali tali utama 30 lb saya putus.
Mungkin kesilapan saya sendiri kerana menggunakan tali yang terlampau halus. Tali Gtech walaupun kuat, ia mungkin tidak dapat menahan geseran dengan batu-batu di dasar sungai lalu terputus.
Menjelang petang, kami bertolak balik dengan azam untuk ‘repeat’ keesokan harinya. Namun keesokannya, niat kami terbantut apabila hujan lebat turun sepanjang hari menyebabkan sungai menjadi keruh.
Kami memutuskan memancing dasar berumpankan cacing di Sungai Baram. Keputusannya beberapa ekor baung berjaya kami perolehi.
High light hari ketiga ini adalah pertarungan isteri saya, Lydia dengan ikan misteri yang berjaya melepaskan diri walaupun dilayan dengan menaiki bot.
Menurut guide, mungkin angkara ikan ‘Keramu’ (bahasa Kenyah) iaitu spesies baung besar berwarna kelabu.
HARI TERAKHIR
Keesokannya harinya, cuaca begitu baik dan kami mengambil keputusan kembali ke Long Buang yang telah kembali jernih. Saya bergerak seorang diri menghulu sungai, mendahului ahli-ahli yang lain.
baca jigging sebarau
Keadaan lebih sunyi dan ikan kurang menyedari kehadiran pemancing menyebabkan penulis ‘lost count’ sambaran sebarau dan anak kelah yang dinaikkan tapi sayang tiada orang untuk merakamkan detik pertarungan.
Bergambar pun jadi malas sebab tiada sebarau dan kelah ‘monster’ sudi menjadi model. Namun, purata berat ikan-ikan yang dinaikkan tidaklah mengecewakan, memang ada ‘fight’! Kira-kira jam 4.00 petang kami bergerak balik menyusuri sungai.
Sedih meninggalkan syurga sebarau ini. Namun kami akur dengan keadaan masa yang mencemburui kami.
Dalam perjalanan pulang ke rumah panjang, saya meminta agar bot berhanyut kerana mahu melontar gewang di sepanjang Sungai Baram sehingga ke kawasan kampung.
Beberapa minit kemudian, lontaran Rapala Fatrap 5cm GFR ke satu sudut lubuk disergap sesuatu ketika gewang menyelam maksimum.
Berdasarkan kedalaman strike zone itu, saya dapat membuat tekaan angkara siapa.
Sentapan balas dibuat dan larian tiada henti pun berlaku. Berdesit-desit tali keluar dari kekili. Penulis hanya mampu berharap tali utama, perambut, ikatan FG knot, swivel, split ring dan segala macam peralatan dapat bertahan.
Mujur perahu yang digunakan berada jauh dari tebing maka ikan dapat dihalang daripada masuk ke mana-mana reba yang sememangnya banyak di kawasan tebing sungai.
Apabila dirasakan ikan menyerah kalah, tali dikarau dengan cepat dan berhati-hati, manalah tahu pecutan tiba-tiba berlaku. Putih mata dibuatnya kalau putus lagi.
Kira-kira 10 minit kemudian,ikan berjaya dihela ke permukaan dan satu kilauan perak yang besar kelihatan.
Gembira bukan kepalang apabila melihat ikan kelah atau lebih dikenali sebagai ‘jembala’ oleh penduduk tempatan menyerah kalah di tepi bot.
Namun kegembiraan itu tidak lama, digantikan dengan ‘sense of urgency’ untuk menaikkan ikan tersebut ke dalam bot kerana cangkukan mata treble VMC 4X di mulut ikan kurang kemas.
Sejurus terlantar di lantai bot, gewang terlepas dari mulut ikan. Mujur sempat dinaikkan. Gambar diambil sambil membelek kagum kecantikan ikan tersebut.
Dengan kejayaan menaikkan kelah tersebut, maka berakhirlah trip idaman bagi penulis, namun kejayaan ini telah menanamkan tekad untuk kembali lagi suatu masa nanti.
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan