Trip retro – Pelahap udang lipan Pulau Jarak

Share

 

Berikutan kerap kali juga ditempelak oleh seorang rakan kerana sering memaparkan liputan trip jigging berbanding trip bottom, akhirnya saya bersetuju untuk turut serta dalam trip beliau di perairan Pulau Jarak, Perak.

 

Itu pun setelah rakan saya dan ahli-ahli trip yang lain bersetuju dengan syarat kecil yang saya tetapkan. Saya cuma minta sedikit ruang untuk saya tunaikan teknik memancing yang saya gemari… slow pitch jigging.

baca juga tip jigging pulau jarak

 

bot seagull

 

Sebenarnya saya tidaklah keterlaluan menyokong fahaman memancing melalui teknik jigging dan meminggirkan pancingan konvensional menggunakan umpan menerusi teknik

pancingan dasar, cuma skop teknik jigging ini lebih meluas dan banyak disiplin yang boleh diceritakan.

Namun, setelah menyertai trip yang dikelolakan oleh kelab memancing Sakei Laut ini, saya mula nampak inovasi dalam pancingan laut dalam yang sekian lama berada di takuk lama.

 

bekalan udang lipan hidup

 

Saya percaya dalam waktu yang singkat pancingan laut dalam (bottom fishing) bakal kembali menggegarkan industri memancing tanah air.

Bagaimana pun ada beberapa perkara yang membangkitkan rasa teruja kepada saya untuk menyertai trip pancingan laut dalam selama tiga hari dua malam ini.

 

Pertamanya, bot memancing atau vessel yang akan digunakan ialah Seagull. Seagull sememangnya vessel yang popular begitu juga dengan tekongnya yang dikenali sebagai Ah Tiong.

 

tekong power

baca juga tekong padu pulau jarak 

 

Ah Tiong tidak perlu menunggu lama bagi membuktikan kehandalan dan pengalamannya selaku tekong memburu spesies dasar seperti kerapu boron dan jenahak.

Lubuk pertama yang disinggahi dalam perjalanan ke perairan Pulau Jarak, Ah Tiong dan pembantunya berjaya mendaratkan dua ekor kerapu boron yang agak lumayan saiznya.

 

Namun hanya tangkapan tersebut yang boleh dibanggakan sepanjang pancingan pada malam pertama.

Walaupun ada spesies lain yang dinaikkan namun ia bukanlah spesies sasaran yang boleh memuaskan hati.

 

 

Setelah berpindah beberapa kali ke lubuk unjam dan lubang, akhirnya tekong berlabuh menanti waktu malam di lubuk lubang berdekatan unjam.

Pada siang hari lubuk berkenaan seperti tidak menjanjikan apa-apa, sebaliknya apabila matahari mula terbenam barulah penghuninya mula kelaparan.

 

 

Rakan yang bertanggungjawab membawa saya menyertai trip ini, Eddie Rani membuka tirai pesta menuai dengan mendaratkan kerapu boron saiz sederhana.

Secara tidak langsung ia memberi kelegaan dan memulihkan kembali semangat beliau setelah berhadapan dengan sifar tangkapan pada malam pertama.

 

 

Tidak lama kemudian seekor demi seekor kerapu berlainan spesies turut didaratkan oleh ahli trip yang lain, khususnya yang memenangi undian spot bahagian belakang bot.

Sebelum berpindah lubuk, Bob Amir muncul sebagai jaguh apabila berjaya mendaratkan kerapu boron anggaran berat 10 kilogram.

 

baca juga kenali kerapu terbesar

 

Penantian dan kesabaran ketua penyelaras trip yang dikenali sebagai Sham Ballack akhirnya terbalas di sebuah lubang kedalaman 70 meter.

Udang lipan yang menjadi umpan rasmi trip ini diragut dan dilarikan sejauh lebih 80 meter berjaya dijinakkan.

 

Kerapu boron seberat 14 kilogram yang dinaikkan oleh Sham Ballack menggunakan set peralatan ringan itu benar-benar memberikan kepuasan kepada pemiliknya. Apatah lagi ia merupakan tangkapan terbesar itu trip tersebut.

 

 

Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!

Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan

Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan

Published by
Amang