Trip Retro – Pecah Tong Dengan Pecah Periuk

Share

 

Aktiviti memancing di gugusan terumbu karang di perairan Rompin hingga ke Pekan, Pahang sebenarnya tidak perlu diperkenalkan lagi.

Berakhir saja monsun di pantai timur sekitar bulan Mac, maka berduyun-duyunlah bot sport fishing yang berpengkalan di Kuala Rompin, Merchong dan Pekan mendatangi gugusan karang luas di Laut China Selatan ini.

 

Aktiviti memancing akan kian meriah apabila spesies yang menjadi ikonik Kuala Rompin, ikan layaran mula memasuki perairan ini sekitar bulan Julai sehinggalah tutup kuala apabila monsun tiba sekitar bulan November.

 

Hampir setiap tahun, saya tidak pernah gagal untuk hadir di perairan Rompin ini sama ada menggunakan khidmat bot memancing yang berpengkalan di Kuala Rompin, Merchong atau pun Pekan, Pahang.

 

Kali ini, trip memancing ke perairan Merchong ini agak istimewa kerana buat pertama kali berpeluang mendapatkan khidmat tekong yang cekap, yang juga merupakan seorang rakan baik.

 

Tekong Krel Nazri sebenarnya bukanlah nama baru dalam dunia memancing. Sebelum berkecimpung sebagai tekong sepenuh masa, beliau sudah dikenali sebagai seorang pemancing handalan dan disenangi ramai.

 

Bot yang berpengkalan di jeti Chalet Kg. Merchong, secara tidak langsung memudahkan para pemancing yang bakal turun memancing. Khususnya melibatkan urusan logistik, penginapan dan makan minum.

 

Ini kerana jetinya betul-betul terletak bersebelahan dengan chalet penginapan, Chalet Merchong.

 

Selaku tekong yang berpengalaman, Krel Nazri terlebih dahulu memaklumkan kepada kami keadaan hasil pancingan semasa.

 

Berikutan hasil tangkapan yang agak kurang memberangsang, dan ramai pengusaha bot memancing tidak turun ke laut membawa pemancing, kami diberi peluang untuk menangguhkan trip ke tarikh lain.

 

Namun kami sepakat sekata untuk turun juga dan sedia menerima apa juga hasilnya nanti. Sebab kalau ditunda, belum tentu kami dapat turun bersama dengan jumlah ahli yang sama.

 

Bot yang membawa maksimum 6 pemancing ini ternyata begitu selesa dan stabil.

Berbekalkan sedikit udang hidup dan umpan ikan hidup, Krel Nazri membawa kami untuk merasai kejituan tarikan ikan yang lazimnya berada di bawah apungan sampah.

Namun di perairan Merchong, ikan ini turut mudah ditemui di beberapa kawasan unjam.

 

 

Setelah hampir 20 ekor pecah periuk atau triple tail berjaya dipungah, kami beralih ke unjam laut pula.

Meskipun sudah dinyatakan kami turun tatkala musim `ikan sakit’ namun hasil jigging, casting, apollo dan menghanyutkan umpan ternyata kan merangsangkan juga.

 

Hanya kemenangan lebih berpihak kepada tenggiri yang bijak memutuskan jig dan gewang yang kami gunakan.

 

 

Namun, dengan hasil pancingan apollo dan mencandat sotong mengabang sudah cukup menggembirakan kami.

 

Selain hampir 20 ekor pecah periuk, kami turut membawa pulang sekitar 40 ekor sotong mengabang dan sotong torak serta ikan selar yang kasar-kasar untuk dijadikan juadah.

Published by
Amang