Ketika orang lain sedang sibuk merancang ke mana dan di mana lokasi untuk meraikan sambutan tahun baru, kami 6 orang ahli keluarga pula sibuk merancang ke mana dan di mana lokasi untuk memancing.
Bincang punya bincang, rancang punya rancang akhirnya kami sepakat untuk memanfaatkan cuti tahun baru dengan memancing di kelong atau rumah rakit Teluk Gong.
Sampai di jeti kampung nelayan Teluk Gong, hari dah pun lewat petang. Tanpa berlengah kami cari pengusaha rumah rakit. Perjalanan menaiki sampan/bot fiber dari jeti ke rumah rakit tidaklah memakan masa yang panjang. Dalam 2-3 minit dah pun sampai.
IKLAN
Rumah rakit pun boleh dilihat dari jeti dengan jelas. Nasib kami agak baik dibawa ke rumah rakit dua tingkat yang selesa. Banyak kelengkapan yang disediakan.
Bilik untuk tidur, dapur untuk memasak, tandas, kipas, televisyen dan set BBQ turut disediakan. Bayaran yang dikenakan adalah RM 350 bagi penuh untuk satu malam.
IKLAN
Oleh kerana kami kami tidak berhajat untuk menyewa penuh, maka bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM 35 seorang. Tambah bernasib baik, hari itu tiada pemancing lain yang menyewa rumah rakit tersebut, maka sangatlah privacy.
Setiba di rumah rakit, kami tidak membuang masa memasang alatan pancing. Tak sampai dua minit melabuhkan umpan, sudah ada ikan yang menggetu umpan.
IKLAN
Apabila direntap, maka naiklah seekor gelama. Pancing lagi, tak lama kemudian naik pula ikan duri. Begitu juga dengan ahli-ahli keluarga yang lain, hanya gelama dan duri saja yang berjaya dinaikkan.
Namun kami tidak kisah apa ikan yang naik dan terus memancing sehingga air surut. Waktu air surut sememangnya kurang sesuai untuk memancing kerana arusnya terlalu laju. Jadi kami berehat dan tidur dulu menunggu air kembali pasang.
Kami memancing sehingga jam 11 pagi keesokan harinya barulah berkemas-kemas untuk pulang. Meskipun hasil pancingan semuanya ikan duri dan gelama saja, ia sudah cukup menggembirakan kami kerana setidak-tidaknya dapatlah juga berkumpul bersama-sama.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Gabungan idea dan konsep melancong sambil memancing amat menarik minat kumpulan saya berdasarkan cerita-cerita daripada rakan pemancing yang sudah berpengalaman memancing di Pulau Aur. Lokasi memancing di sini yang terkenal dengan keindahan pantai dan taman laut menguatkan semangat kami untuk mengalami pengalaman memancing sedemikian.
Maka bot Tuna Biru menjadi pilihan kami untuk merealisasikan hajat kami ke sana. Selepas mendapatkan nombor yang perlu dihubungi, kami pun mengatur jadual dan membuat tempahan 3-4 bulan awal kerana terlalu banyak permintaan tempahan dengan jadual yang padat dari pemilik bot.
Kami seramai 8 orang dari KL tiba pada hari yang dijanjikan. Tanpa membuang masa, kami terus berjumpa dengan tekong Sham yang kelihatan masih muda tetapi kaya dengan pengalaman. Selepas memunggah barang ke dalam bot, kami terus menuju ke Pulau Aur yang mengambil masa kira-kira 5 jam perjalanan.
Sebelum kami mula memancing. Bot Tuna Biru singgah di unjam berhampiran untuk sesi apollo ikan umpan. Memang mudah untuk memancing appollo di sini. Apollo kami sering full house di unjam yang singgah.
Dengan pantas ia memenuhkan stok umpan hidup kami. Selepas kami tamat sesi apollo, kami mula melakukan teknik trolling. Dengan menggunakan gewang tundaan Rapala magnum red head, kami trolling berhampiran unjam. Diketahui di kawasan unjam memang menjadi tempat menghendap bagi ikan-ikan pelagik seperti ikan tenggiri dan alu-alu.
Selepas bot berpusing-pusing beberapa kali di kawasan unjam, kami menerima satu strike yang padu. Dengan penuh cermat kami melayan tarikan ikan, akhirnya seekor ikan tenggiri berjaya didaratkan. Kami menyambung lagi sesi trolling di kawasan tersebut dan hasilnya beberapa ekor ikan tenggiri lagi dan belitong berjaya didaratkan.
Selepas puas melayan tarikan ikan di unjam, kami berpindah berhampiran perairan Pulau Aur untuk memancing dasar. Tekong akan mensasarkan kawasan lubang dan karang yang kaya dengan ikan.
Selepas 45 minit perjalanan, bot berlabuh di kawasan karang. Maka bermulalah sesi memancing dasar pula. Memandangkan kedalaman air sedalam 60-70 meter, tekong mencadangkan kami menggunakan perambut dua mata berkekuatan 60 lb dan batu ladung bersaiz 14.
Dengan berumpankan isi sotong dan ikan kembung hasil apollo sebelum ini, dengan mudah kami berpesta ikan kerapu. Saiznya juga amat memuaskan sekitar 1kg-2.5kg. Sekali sekala ada juga rakan kami yang berjaya memperoleh kerapu seberat anggaran 4-5kg. Kami memancing sepuas hati pada hari pertama trip ini berlangsung dan apabila hampir pukul 5 petang kami bergerak menuju ke Pulau Aur.
Apa yang menarik tentang trip ini ialah, jumlah kos memancing yang telah dibayar oleh kumpulan kami merangkumi kos penginapan chalet dan makan minum. Setibanya di pulau ini, kami dibawa bersiar-siar terlebih dahulu menaiki speed boat di sekitar Pulau Aur.
Kemudian barulah kami berlabuh di Pulau Dayang yang terletak bertentangan dengan Pulau Aur. Chalet yang disediakan amat selesa dengan kemudahan yang sangat memuaskan.
Selepas kami check-in di chalet, kami menikmati keindahan pantai pulau tersebut. Ada juga beberapa orang rakan kami yang tidak menahan keinginan untuk bermandi manda serta bersnorkeling di tepi pantai. Memang mengujakan!.
Ada juga lebih bersantai-santai di pantai sambil merehatkan badan dan menikmati air kelapa muda di tempat rehat yang disediakan. Selepas kami membersihkan diri, kami dijemput oleh tekong dan awak-awak untuk menikmati makan malam bersama mereka.
Lubuk Merah dan Kerapu
Hari kedua, seawal 6.00 pagi kami terus keluar dan menuju ke lubuk yang berikutnya. Dengan teknik perambut 2 mata seperti semalam, kami mula menurunkan umpan secara perlahan-lahan.
Apabila umpan sampai ke dasar dengan pantas rod kami menunjukkan ada tanda getuan ikan memakan umpan yang diturunkan. Rakan-rakan yang lain juga mengalami situasi yang sama. Nampak gayanya ikan-ikan di sini amat pelahap.
Ikan merah, ibu kerisi dan ikan kerapu berjaya didaratkan di lubuk ini. Selepas puas melayan ikan di sini, kami bergerak ke lokasi yang lain. Pelbagai ikan yang menghuni karang berjaya kami naikkan tanpa perlu menunggu lama. Kami meneruskan rutin memancing sehingga petang dan pulang ke chalet seperti semalam. Tanpa disedari kami hampir memenuhkan tong-tong kami.
Hari ketiga kami menyambung rutin kami seperti hari-hari sebelum ini. Memandangkan ini hari terakhir kami memancing bersama Tuna Biru, kami akan memancing sambil menuju pulang ke jeti.
Pelbagai ikan lagi berjaya kami daratkan pada hari ke terakhir. Tepat pukul 3 petang kami tiba di jeti di Bandar Mersing. Ikan kami bahagikan sama rata kepada semua ahli trip dan sempat singgah membeli keropok lekor yang terkenal di Mersing. Selepas selesai urusan kami di sini, kami bergerak pulang menuju ke Kuala Lumpur.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Dalam teks ucapan ahli dewan negara Labuan, Senator Datuk Yunus bin Kurus sempena majlis pelancaran Agropreneur Muda (sempena MyDof Media Tour 2016) bertempat di Jeti
Perikanan Wilayah Persekutuan Labuan menyatakan, perairan Labuan mempunyai sumber tuna yang sangat banyak.
Pendaratan tuna sehingga purata empat tan metrik sehari. Dari jumlah itu hanya satu tan metrik sahaja yang digunakan oleh penduduk Labuan sementara tiga tan metrik lagi dihantar ke negeri jiran seperti Sabah, Sarawak dan Brunei.
Walaupun pada dasarnya ia merupakan satu peluang khususnya warga Labuan untuk menceburi bidang pemprosesan produk makanan berasaskan tuna, secara tidak langsung
ia menjelaskan betapa kayanya perairan Labuan dengan tuna terutamanya tuna sirip kuning atau yellowfin tuna yang merupakan spesies game fish idaman ramai peminat sukan memancing.
Menurut Pengarah Pejabat Perikanan Negeri, Anuar Salam Sulaiman pula, selaku pusat pendaratan utama tuna Labuan juga bersedia untuk menjadi destinasi agrotourism memancing.
Sudah sampai masanya para pemancing menyenaraikan Labuan dalam kalendar trip memancing tahunan.
“Pembinaan payau (unjam) dalam program pembangunan tuna menjadi kunci untuk memastikan populasi tuna sentiasa ada di perairan Labuan.
Walau bagaimana pun bulan September hingga Disember merupakan tempoh terbaik untuk memancing tuna. Terutamanya jika berhasrat untuk memburu yellowfin tuna gergasi sehingga saiz 120 kilogram.”
Selain melihat secara langsung proses produk berasaskan tuna terbaharu iaitu satay tuna yang diusahakan oleh usahawan agropreneur muda, Suzana Ahmad, rombongan media
dalam program MyDof Media Tour di Labuan ini turut berpeluang melihat dan menyentuh tuna sirip kuning seberat 77 kilogram hasil pancingan secara tradisional oleh nelayan tempatan.
Dengan stok ikan dan saiz gergasi yang terdapat di perairan negara ini sebenarnya kita tidak perlu pergi sehingga ke perairan Indonesia untuk memburunya.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Taman Negara Merapoh di Kuala Lipis, Pahang merupakan sebahagian antara taman negara yang telah diwartakan sejak sekian lama. Merapoh boleh dikatakan agak kurang popular berbanding taman negara yang lain.
Antara yang sering mengunjungi Taman Negara Merapoh ialah kaki gunung yang menggunakan laluan ini sebagai laluan untuk mendaki Gunung Tahan. Selain itu antara tarikan lain di sini ialah tarikan daripada gua-gua di Merapoh yang mempunyai nilai estetika yang tinggi selain daripada sungai-sungai yang terdapat di sekitar kawasan ini.
MENGHILIR SUNGAI RELAU
Sebagai kaki pancing, pengalaman pertama ke Taman Negara Merapoh ini pastinya lebih cenderung untuk menduga sungai di sini. Penulis bersama Muaz, Cikgu dan Amang berpeluang menghilir Sungai Relau dengan menaiki kanu dan kayak.
Dengan khidmat dua orang pemandu arah, kami memulakan aktiviti menghilir sekitar jam 11.00 pagi. Keadaan cuaca yang begitu baik menyenangkan lagi perjalanan kami pada pagi itu. Dua buah kanu dan dua buah kayak dijadikan sebagai kenderaan rasmi trip ini.
Ketika menghilir jeram Sungai Relau, kami lebih menumpukan kepada aktiviti mengilat. Terdapat banyak lubuk-lubuk yang berpotensi. Namun kami tidak boleh singgah terlalu lama kerana terpaksa mengejar masa seperti yang dirancang agar dapat tiba ke campsite tertentu.
Hari pertama kami dengan cuaca yang baik. Kelihatan banyak ikan bersimpang-siur di hadapan kami. Mungkin kerana belum biasa dengan aktiviti kayak fishing, agak kelam kabut juga penulis di atas kayak. Begitu pun, Amang berjaya menaikkan 2 ekor kejor saiz sedap makan.
Cuaca mula tidak menyebelahi kami apabila mulai gerimis pada waktu petang. Mujur kami tiba di campsite seperti yang dirancang. Malamnya hujan turun mencurah, dan kami berehat sambil mengharapkan rezeki hari esok pula.
Hari kedua aktiviti diteruskan, namun sayangnya air menjadi keruh akibat hujan semalam. Kami teruskan juga perjalanan dan berhenti pada lubuk tertentu dan melakukan aktiviti pancingan dasar memandangkan teknik mengilat tidak berhasil. Pertukaran teknik nampaknya membawa hasil juga apabila Cikgu menaikkan seekor kejor.
Harapan kami mengharapkan air kembali jernih tidak kesampaian apabila hujan kembali turun pada petang itu, lantas kami bergegas ke campsite kedua. Malam itu walaupun kesejukan kami sempat melayan baung walaupun keletihan.
Harapan hari terakhir nampaknya tipis apabila melihatkan air yang masih keruh. Kami teruskan perjalanan sambil mencuba teknik mengilat sahaja sehingga ke destinasi terakhir. Tiada rezeki kami nampaknya pada hari terakhir, namun keseronokan tetap terpancar setelah menyudahkan aktiviti menghilir ini.
POTENSI BESAR
Potensi Taman Negara Merapoh sebenarnya cukup besar. Keadaan di sini cukup terjaga dan kawalan ketat juga dilakukan. Selain daripada laluan untuk mendaki Gunung Tahan, aktiviti meneroka gua Merapoh juga mendapat maklum balas sangat baik daripada pelancong.
Aktiviti menghilir Sungai Relau pula cukup berpotensi bagi menarik pemancing. Lubuk yang begitu banyak dan ikan-ikan di sini juga masih terjaga dengan baik. Jika cuaca menyebelahi kami, kami yakin pasti banyak ikan yang dapat kami naikkan.
Penulis melihat Taman Negara Merapoh mampu menjadi lokasi tumpuan sedikit masa lagi. Apa yang diperlukan sekarang ialah promosi dan juga perancangan yang sistematik secara berterusan.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...