Trip Retro – Operasi Terjah Pemangsa Apung

Share

 

Diiringi doa dan tawakal kami memancing secara santai selama 3 hari 2 malam di sekitar laut Bagan Tengkorak, Tanjung Karang, Selangor.

Kami menaiki bot milik salah seorang tekong tersohor di Bagan Tengkorak iaitu Wak Jeman Sparrow. Bot beliau mempunyai keluasan 18 x 70 kaki sememangnya memberi banyak ruang untuk pemancing.

 

Di sebalik musim tengkujuh, tersirat rahsia di sebalik fenomena alam ini. Memandangkan sering berlakunya angin kencang dan hujan lebat di daratan.

Ia telah menyebabkan banyak pokok-pokok yang terdapat di kawasan muara sungai tumbang dan dihanyutkan ke tengah-tengah laut.

 

 

Pokok atau sampah hanyut yang digelar ‘apungan’ oleh pemancing di sekitar Tanjung Karang sebenarnya merupakan tempat yang paling sesuai untuk memancing ikan pecah periuk atau dikenali dengan nama lain iaitu ikan siakap batu. Apungan yang banyak ketika inilah yang menjadi sasaran trip kami kali ini.

 

Selepas bergerak keluar dari jeti Bagan Tengkorak, kami terus bergerak ke salah satu lubuk terdekat untuk sesi pemanas badan.

Kami dimaklumkan lubuk tersebut didiami oleh ikan merah bersaiz kasar. Apa yang dinyatakan oleh tekong Wak Jeman Sparrow memang benar, hanya beberapa minit melabuhkan umpan.

 

 

Set pancingan milik Firdaus Arif menerima sambaran kuat. Ikan merah bersekala 1.5kg telah berjaya dinaikan beliau.

Kemudian diikuti oleh Saiful yang menerima sambaran ikan yang sama. Kurang dari setengah jam kami berjaya menaikan beberapa ekor ikan merah dengan disusuli dengan ikan gelama.

 

Kemudian Tekong Wak Seman Sparrow mencadangkan supaya bergerak untuk mencari apungan yang hanyut. Dengan mudah beliau mengesan beberapa apungan berhampiran dengan lubuk pertama.

 

PESTA PECAH PERIUK

 

Semua ahli trip amat teruja apabila bot mula mendekati apungan. Beberapa saat sahaja apabila umpan mencecah air, ikan pecah periuk mula menjamah umpan. Suasana ketika itu amat syok sekali kerana ikan tersebut tidak henti-henti menjamah umpan.

 

 

Selepas puas memancing ikan pecah periuk, kami berhenti sebentar di sebuah unjam untuk mencari ikan appollo sebagai bekalan umpan pada waktu malam. Selama 2 jam kami bersantai sambil melakukan appollo, pelbagai jenis ikan berjaya diperoleh.

 

Selain kembung dan selar, kami juga mendapat banyak ikan cencaru dan talang pandan. Sekurang-kurangnya hasil ikan cencaru dan talang pandan yang diperolehi boleh dibuat lauk di atas bot dan selebihnya dibawa pulang.

 

Destinasi kami seterusnya ialah ke ‘Lubuk Kapal Kain’. Lubuk dinamakan sempena sebuah kapal yang mengangkut kain dan baju bundle yang karam di situ.

Ujar tekong lagi, lokasi ini terkenal dengan ikan jenahak dan ikan gerut-gerut. Perjalanan ke sana mengambil masa sejam setengah. Cuaca juga menunjukkan tanda-tanda yang baik.

 

 

PANCINGAN MALAM

Selesai makan malam yang disediakan oleh Chef PT, kami akhirnya tiba di lubuk yang di maksudkan. Air kelihatan amat laju di dasar dan memberi kesukaran kepada ahli yang menggunakan set manual.

Manakan tidak, batu saiz 24 pun masih hanyut jauh dibawa arus. Beberapa kali juga saya lihat tekong Wak Jeman cuba untuk membetulkan posisi bot yang terpesong ditolak arus.

 

Walupun begitu, hentian kami di sini tidak sia-sia. Beberapa ekor ikan gerut-gerut bersaiz kasar banyak dinaikkan.

Faizal juga amat bertuah kerana berjaya memperolehi satu-satunya ikan jenahak dalam trip kali ini. Namun menjelang subuh suasana menjadi sepi. Hanya ikan gelama sahaja sudi melayan kami.

 

 

Hari kedua kami ditemani hujan lebat dan angin yang kuat. Hujan mula turun selepas menjelangnya waktu subuh.

Aktiviti untuk menjejak apungan telah menjadi sukar memandangkan jarak penglihatan tidak begitu jelas. Kami hanya mampu bertahan dan berharap semuanya selamat.

 

Hujan masih tidak menunjukkan tanda-tanda ia akan berhenti, Tekong cuba untuk bergerak lebih jauh untuk mengelak fenomena alam ini. Memang azab kami menahan gelora ombak dan angin di atas bot.

 

Kawasan perairan ini pula tiada pula kawasan atau pulau kecil untuk di jadikan perlindungan. Aktiviti tidur lebih afdal ketika ini.

Kebanyakan ahli-ahli trip mengambil kesempatan untuk tidur dan berehat. Mana yang tahan, mereka sekali sekala mencuba juga untuk memancing.

 

 

KURAU SELEPAS RIBUT

Dari awal pagi sampai petang kami dilambung ombak. Tetapi semua ini tidak mematahkan semangat kami. Apa yang dibanggakan tiada seorang pun yang mabuk ketika bot dilambung ombak sepanjang hujan ribut.

Selepas hujan reda pada waktu petang, tekong membawa kami menjengah Lubuk Alor Parit. Ikan sasaran di lubuk ini ialah ikan kurau.

 

Lubuk ini juga saya dapati lebih dalam dari lubuk sebelum ini. Kedalaman lebih 80 meter serta penggunaan batu ladung saiz 32 amat menyukarkan kaki manual.

Berkat kesabaran kami, beberapa ekor gerut-gerut dapat kami perolehi. Selain itu ikan gelama masih mendominasi tangkapan kami ketika berada di Lubuk Alor Parit ini.

 

 

Secara tiba-tiba rod pancing milik Halim Hussin ditarik kasar oleh ikan. Set milik beliau iaitu rod JM Power Spell Pe1.5- 4 dan kekili Daiwa Saltiga 3500 series berserta tali utama Daiwa Dendoh Braided 35lb menjerit nyaring ketika ditarik ikan.

Perlawanan tampak sukar memandangkan penggunaan batu ladung yang berat serta keadaan dasar laut yang berarus laju.

 

Hampir 30 minit Halim melayan ikan, akhirnya seekor ikan kurau timbul di permukaan air menandakan ikan tersebut telah menyerah kalah.

Halim bersorak gembira kerana ini merupakan lesen kurau pertama dalam hidupnya. Ikan tersebut ditimbang dan angka 5.8kg menunjukkan berat ikan tersebut.

 

Kemudian kami menyambung semula aktiviti memancing dengan harapan dapat menaikkan ikan kurau sebesar ikan kurau milik Halim.

Tetapi harapan kami punah kerana selepas 1 jam Halim memperoleh ikan Kurau, hujan lebat turun kembali disertai angin kuat sehingga tengah malam.

 

 

KEMBALI PULANG

Selepas sarapan pagi, tekong mencadangkan supaya pulang ke jeti memandangkan keadaan cuaca yang belum menunjukkan tanda akan pulih. Cadangan tekong disambut baik oleh kami.

 

Sepanjang perjalanan pulang, kami membahagikan hasil tangkapan sama rata kepada semua ahli. Saya tidak menyangka, rupa-rupanya banyak juga hasil yang kami peroleh kerana jika dikira balik, kami hanya dapat memancing selama sehari semalam sahaja dan selebih harinya kami telah dilambung hujan dan ombak.

Published by
Amang