Trip Retro – Mudik Ke Rumah Rakit Haji Nan!!

Share

 

Untuk ke Hulu Tembeling, ada dua cara sama ada mudik melalui Kuala Tahan atau mudik dari Kuala Tembeling. Sekarang jalan berturap sedang rancak pembinaannya.

Sedikit masa lagi perjalanan menjadi lebih lancar serta menjimatkan masa dengan menaiki kenderaan dari Kuala Tahan terus ke Kampung Mat Daling.

 

Bila sebut Hulu Tembeling atau Taman Negara, bagi pemancing khususnya peminat sungai pergunungan pasti terbayangkan kelah serta saudaranya kejor dan tengas.

Tidak terkecuali sebarau dan abangnya badong serta ikan legenda di sini, temalian atau temoleh dan juga tapah monster.

Terpahat niat di hati menunduk dan memangkunya di pinggir sungai sambil tersenyum bergambar. Akan tetapi trip kali berlainan pula agendanya.

 

Sekitar jam 11.00 pagi kami sampai ke Rumah Rakit Haji Nan yang terletak di kawasan yang dikenali sebagai Tempan.

Rakan-rakan yang sampai satu jam lebih awal daripada saya kelihatan asyik melayan pancing masing-masing.

Setelah berehat seketika, saya mengepal umpan dedak yang telah digaul kelapa sawit masam yang disediakan Haji Nan.

 

Patin lawang, kerai kunyit, jelawat, kelabau dan tengalan di antara spesies yang kebiasaannya dipancing sekitar rumah rakit ini.

Mata bom yang dilengkapi gelung spring bersama beberapa bentuk mata kail digunakan agar dedak tidak mudah pecah dihakiskan arus.

Bagi yang ingin mendapatkan udang galah, umpan anak udang dipertaruhkan.

 

Tengah syok melayan pancing, Haji Nan memanggil saya ke perahu untuk menahan tajur. Umpan anak keli yang dibawa, dimasukkan ke dalam baldi.

Haji mengemudi bot manakala saya memasang umpan anak keli ke mata tajur. Tali tajur yang putus kerana mengena ikan yang besar diganti tali serta mata kail baru.

Belida, patin, tapah, baung serta temoleh antara yang berkemungkinan besar terpedaya dengan umpan ikan hidup yang dipasang.

 

MASAKAN KAMPUNG HJH. AMINAH

 

Ini antara keistimewaan rumah rakit ini. Hidangan ikan segar dari ‘ladang’ serta sayur kampung memang berpeluh dahi dibuatnya. Setakat dua pinggan selamba je!

 

“Jangan malu-malu. Tiga pinggan kalau di sini biasa…” kata Haji Nan apabila ada rakan yang ‘malu-malu kucing’ hendak menambah.

 

Setelah selesai makan tengah hari kami berehat seketika menghilangkan penat perjalanan. Sesi pancingan pada sebelah petang, Haji Nan menghantar kami menggunakan bot fiber untuk memancing di lubuk kegemarannya.

 

Beberapa ekor ikan berjaya dipancing. Lewat petang, Haji menjemput kami pulang ke rumah rakit.

Belum pun sempat kaki melangkah ke lantai rumah rakit, rakan memberitahu seekor baung yang besar telah mengena tajur tapi sayang episod duka menjelma apabila tali putus setelah bergeser dengan tongkah kayu hanyut.

Nasib kau lah baung. Kalau tidak gulai tempoyak pastinya.

 

Acara pancingan diteruskan pada sebelah malam. Sambil bersembang bersulamkan kopi ‘o’ panas, joran yang dikepit loceng di hujungnya setia menanti mangsa.

Apabila mata mula terasa ‘kelat’, kekili dikarau dan perambut ditukar.

 

Sebiji sawit ranum yang secukup rasa masamnya dicangkuk ke mata kail dan dilepaskan ke dasar. Selepas membaca ayat kursyi dan mengucap, kepala direbahkan ke bantal.

Sebelum mata dipejam masih sempat berharap agar ada penghuni Sungai Tembeling yang akan menggegarkan loceng tatkala sunyi dinihari. Kalau tidak kelah, patin buah pun jadilah!

 

DATANG MAKAN

 

Hari terakhir di sini kami masih lagi memancing pada sebelah pagi. Kami akan bertolak pulang lebih awal dari jadual asal (makan tengahari lebih awal) kerana ada tetamu dari sebuah jabatan kerajaan yang akan ‘datang makan’.

 

Bagi sesiapa yang ingin berkunjung bolehlah merancang satu trip bersama keluarga atau rakan pancing. Haji Nan yang menghubungi penulis memberitahu beberapa ekor patin buah berjaya dia perolehi.

 

Stok ikan sungai hidup yang disimpan di dalam sangkar di rumah rakit yang mencecah nilai ribuan ringgit menanti anda. Tanya selera, tepuk saja poket.

Di samping melayan strike, sesekali menikmati hidangan ikan sungai di atas sungai, apa salahnya. Berpeluh dahi weh!

 

(Oleh: Wannazir Wanosman)

 

Published by
Amang