Trip Retro – Misi memburu haruan versi lama dan baru!!

Share

 

Komplot memancing haruan sambil bersantai ini memang telah lama dirangka. Trip sebegini boleh dikatakan sebagai salah satu aktiviti wajib bagi Kelab Memancing Tasik Puchong Prima dan Puchong Prima Fishing Boat Charter.

 

Bezanya, kali ini, aktiviti berkonsepkan pertandingan untuk mencari juara yang dapat menjinakkan haruan terbesar. Biarpun berkonsepkan pertandingan, namun tiada yuran penyertaan akan dikenakan kepada ahli.

 

 

Jom like & See First www.facebook.com/umpanmania101

 

Jeffry selaku organizer trip kali ini juga memperkenalkan sedikit twist untuk aktiviti kali ini. Twist yang dimaksudkan ialah melalui trip ini mereka akan mengetengahkan teknik casting cara tradisional dan moden. Justeru itu, trip kali ini telah diberi nama “Tradisional vs Moden: Katak vs Lure”

Apabila tiba hari yang dinantikan, semua ahli yang menyertai trip ini berkobar-kobar untuk ke lokasi yang di maksudkan iaitu di kawasan Dengkil, Selangor. Untuk ke lokasi ini, perjalanannya agak mencabar juga kerana ia bolehlah dikatakan agak terceruk sedikit.

 

Apa pun, demi misi trip kali ini, semuanya kami tolak ke tepi. Trip kali ini telah disertai oleh 18 orang ahli. Pada asalnya 25 orang dijangka menyertai komplot ini, namun atas sebab-sebab tertentu hanya bilangan ini sahaja yang dapat mengikuti trip yang dianjurkan untuk kali yang ke-4 ini.

 

Sampai sahaja ke lokasi, kami mendapati banyak spot yang amat berpotensi untuk menduga spesies berkepala ular ini. Mana tidaknya melihat keadaan air berwarna gelap sahaja telah membuatkan semua ahli trip berkobar-kobar.

 

Tanpa membuang masa semua ahli mempertaruhkan umpan masing-masing. Daripada katak hidup, ke katak tiruan dan pelbagai jenis gewang lain telah dihulurkan untuk menjinakkan spesies ini. Sebaik sahaja umpan dilabuhkan tidak menang tangan kami dibuatnya. Ada yang strike, namun banyak juga yang rabut akibat kelicikan spesies ini.

 

Apa yang dapat disimpulkan melalui trip ini ialah, spesies haruan ini tidaklah begitu memilih umpan. Apa sahaja yang lalu di hadapannya pasti akan disambar tidak kiralah katak hidup mahupun gewang.

Melalui hasil yang diperolehi oleh peserta trip ini, kami amat berpuas hati dan objektif utama penganjuran memang dapat dicapai melalui trip singkat ini.

 

 

Jom like & See First www.facebook.com/umpanmania101

 

Aktiviti kemuncak trip ini merupakan majlis penyampaian hadiah bagi juara haruan terbanyak dan terbesar yang dipancing menggunakan katak hidup dan gewang. Bagi kategori katak hidup, Ia telah dimenangi oleh saudara Zulkifli, manakala bagi kategori gewang pula, gelaran juara disandang oleh saudara Muhamad Riduan. Zamivan pula menggondol kategori tangkapan terbanyak bagi trip kali ini.

 

Diakhir acara, pihak organizer juga turut membuat kutipan derma untuk disalurkan kepada rumah anak-anak yatim yang terpilih. Melalui kutipan ini, Ia telah berjaya mengumpulkan RM200 untuk disalurkan kepada pihak yang memerlukan. Aktiviti sebegini dianggap sebagai suatu yang positif dan amat wajar dicontohi oleh kelab memancing yang lain.

 

Akhir kata, untuk trip akan datang, diharapkan agar aktiviti sebegini dapat diteruskan lagi. Di samping dapat melepaskan gian terhadap dunia memancing, sekurang-kurangnya aktiviti sebegini juga mampu mengeratkan hubungan silaturahim dan pada masa yang sama turut membuat amal jariah untuk membantu pihak yang kurang bernasib baik.

 

 

Jom like & See First www.facebook.com/umpanmania101

Published by
Amang