Trip Retro – Meranduk Khazanah Bandar Tenggara

Share

 

(Oleh: Mohd Hazrizal)

Negeri Johor antara negeri di Semenanjung yang memiliki banyak tasik sama ada yang buatan mahupun semula jadi.

Antaranya Machap, Bekok, Sembrong, Lebam, Labong, Ulu Sedeli dan banyak lagi yang majoritinya berfungsi sebagai kawasan tadahan air.

Namun, bukan semua boleh dimasuki sembarangan oleh orang awam kerana pihak bertanggungjawab tidak mahu ia terdedah kepada risiko pencemaran.

 

Di tengah-tengah antara bandar Kulai, Kota Tinggi dan Kluang terdapat sebuah tasik yang berfungsi sebagai sebuah empangan.

Kunjungan kami ke sini di undang oleh seorang rakan bernama Amri yang memberi lampu hijau untuk menduga spesies yang ada tasik berkenaan.

 

Tanpa banyak soal, saya ‘on’ sahaja. Tidak terkecuali beberapa lagi rakan juga ingin turut serta.

Lantas jalinan akrab grup whatapps diwujudkan bagi memudahkan meng ‘update’ perjalanan trip.

 

 

Air surut

Tinggal dua minggu sebelum trip dijadualkan berlangsung, kami diberitahu berita kurang gembira oleh Amri yang mengatakan paras air empangan berkenaan surut dengan begitu

mendadak, ekoran airnya telah dilepaskan bagi operasi pembersihan muka sauk empangan.

 

Walaupun kurang syok mendengar (kerana terbayangkan suasana surut di empangan lain seperti di Air Ganda), kami tetap ‘on’ juga.

Lagipun ada rakan yang dah awal-awal ambil cuti dan kami pula majoritinya belum pernah melihat dengan mata sebenar rupa tasik ini.

Namun, kami mengambil keputusan mengurangkan dari 3 hari 2 malam kepada 2 hari 1 malam sahaja.

 

Jam 11 malam saya bersama Zul Caster, Pikok, Pacai, Man Cenonet, Cikgu Misbah dan Fahiz Hussin bergerak dari Shah Alam menaiki dua buah kenderaan dan tiba di Bandar Tenggara sekitar jam 5 pagi.

Di sini kami bersua muka dan berjabat tangan dengan Amri yang telah pun menunggu kami bersama Pak Don dan juga Yob yang akan turut serta.

 

 

Usai solat Subuh dan membeli sedikit lagi kudapan, kami bergerak masuk. Agak jauh jugalah kerana ia melewati kawasan lading kelapa sawit, kebun dan juga hutan sekunder sebelum sampai sejam selepas itu.

 

Hari pertama

Di situ, kami diperkenalkan dengan seorang lelaki yang menggelar dirinya sebagai Wak yang telah pun sedia menunggu kami.

Dialah yang menguruskan makan minum dan aktiviti pancingan kami selama 2 hari 1 malam di sini.

 

Dalam erti kata lain, pondok yang kami berteduh ini adalah miliknya kerana Wak juga seorang nelayan darat yang mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa untuk menangkap ikan di sini.

 

Selepas tiba dan mengemaskan peralatan, semua ahli komplot dan rakan-rakan telah pun bersedia di gigi air untuk turun casting.

Benarlah kata Amri bahawa air di tasik ini sedang surut ke hampir ke paras maksimum.

 

 

Sebanyak 3 buah bot digunakan dengan Amri, Yob dan Pak Don berperanan sebagai guide dan semua bot berpecah menuju destinasi masing-masing.

Sasaran kami di tasik ini adalah sebarau dan juga toman. Tidak terkecuali spesies zebra tilapia yang dikatakan bersaiz pinggan turut mendiami tasik ini.

 

Seperti biasa, suak-suak dan juga reba kayu balak menjadi sasaran kami melontarkan gewang. Namun segala-galanya kosong.

Di kawasan highway, kami mencari riak air tanda sang toman muncul di permukaan mengambil udara.

Ada, tapi sayangnya jauh-jauh ia timbul dan bila kami ke sana, ia timbul jauh. Akhirnya tak terdaya kami mengejarnya.

 

 

Apa boleh buat, bila toman tidak agresif. Saya menyarankan kepada Amri agar mencari punca sungai pula untuk casting.

Tapi sayangnya, bot tidak lagi boleh melaluinya alur sungai kerana laluan masuk amat cetek dan ‘terpagar’ dengan tunggul-tunggul kayu yang begitu banyak berceracak kelihatan.

 

Jam 12 tengah hari semua bot pulang ke jeti dan berkumpul semula di bangsal milik Wak untuk makan tengah hari dan berehat.

Keputusannya pada sebelah pagi menyaksikan beberapa ekor sebarau curut berjaya diperoleh oleh Pacai, Zul Caster dan Man Cenonet menggunakan mikro jig. Yang lain keputusannya kumpau.

 

Pada pemerhatian saya agak sukar mengesan kedudukan ikan memandangkan bot kami tidak dapat rapat ke suak-suak-suak berpotensi kerana faktor keselamatan bimbang terlanggar tunggul kayu yang tidak kelihatan.

Selain itu, paras air yang surut juga membuatkan kualiti air agak teruk, iaitu keruh dan berkeladak, terutama di kawasan-kawasan cetek.

 

 

Petang itu saya bersama Cikgu Misbah turun menaiki bot yang dikemudikan oleh Wak.

Agak lewat kami berdua turun berbanding 3 buah bot yang lain kerana terpaksa menunggu botnya ditampal kerana mengalami sedikit kebocoran.

 

Saya berhasrat ingin menduga sang toman seperti pagi tadi, tetapi tiupan angin pada petang itu agak kuat sehingga permukaan tasik menjadi gelora.

Wak kemudiannya membawa kami menyusuri kawasan berteluk yang cukup banyak tunggul-tunggul balak.

 

 

Dia berkata di sinilah istana sang bujuk, kerandang dan juga haruan semasa waktu biasa.

Namun, sudah nasib kami agaknya, seekor spesies snakehead langsung tidak kelihatan walaupun spot tersebut memang cantik. Kosong! Pelik betul.

 

Cikgu Misbah berjaya juga memperoleh seekor sebarau. Walaupun berstatus juvenil, janji dapat lessen sebarau negeri Johor katanya.

Saya pula berjaya memperoleh strike yang dipercayai sang sebarau bersaiz kasar.

Sayangnya, ia terlebih dahulu membelit di celahan bangkar kayu yang berselerak di dasar tasik dan dengan mudah ia putus.

 

 

Tiba di bangsal, kelihatan Amri sedang sibuk menyiang ikan-ikan yang sebagai makan malam.

Rupa-rupanya petang tadi sempat juga Amri memancing dasar berumpankan cengkerik. Zul Caster, seorang caster tegar akhirnya terjebak bila turut memancing dasar.

“Terpaksa beb. Asyik geng bottom je yang dapat,” katanya.

 

Malam itu, sekali lagi Amri bersama Pak Don turun memancing baung. Tetapi agak kurang mendapat getuan, mungkin salah perkiraan lubuk agaknya atau cuaca yang sudah lama tidak hujan membataskan nafsu sang baung untuk berkeliaran.

 

Hari terakhir

Pagi hari kedua dan terakhir ini, semangat untuk memancing sedikit menurun disebabkan hari semalam yang boleh dikatakan tidak memberangsangkan ekoran faktor air yang begitu surut mendadak.

Pun begitu, kami semua bertekad untuk turun lagi. Alang-alang hari terakhir ini.

 

Kali ini, dua buah bot sahaja yang turun. Sebuah bot yang dinaiki Faiz dan Zul Caster sejauh mana yang boleh.

Kata Faiz dan Zul Caster, tak kisah ikan apa pun yang bedal gewang, janji strike. Tetapi nasib malang kami berterusan tetap tiada sambaran yang memberangsangkan.

Hanya anak toman bersaiz lengan saja yang diperolehi oleh Pahiz. Mama nya tetap timbul, tetapi apabila bot cuba rapat, ia timbul di tempat lain pula.

 

 

Tengah hari tersebut, kami kembali ke jeti. Selepas berkemas, kami menikmati dahulu hidangan tengah hari istimewa sebelum berangkat pulang ke Shah Alam.

Walaupun hasil pancingan tidak seberapa dan ada rakan yang kumpau, tapi kami semua bersyukur kerana dapat juga merasai pengalaman memancing dan menikmati pemandangan indah tasik di Bandar Tenggara ini.

 

Published by
Amang