Kampung Beng adalah sebuah perkampungan tradisional berkedudukan di pinggir Empangan Chenderoh, di pinggir Hutan Simpan Piah dan pergunungan Piah serta di
pertengahan Banjaran Titiwangsa. Maka ia bukan sesuatu yang lucu warga Kampung Beng menterjemahkan Beng sebagai sejuk.
Keunikan Kampung Beng Panorama dan keunikan Kampung Beng telah menarik minat penggiat industri perfileman untuk melakukan penggambaran filem, dokumentari mahupun iklan.
Selain popular dengan perkhidmatan inap desa atau homestay, perusahaan ikan pekasam juga gah di Kampung Beng.
baca juga MCT lake tour kg beng
Tasik Beng yang terbentuk dari limpahan air Empangan Chenderoh yang mengalir dari Sungai Perak dan bercantum dengan Tasik Raban melalui Sungai Perak ini mula menarik kaki-kaki pancing khususnya kaki mengilat.
Dengan melabel pakej memancing di Tasik Beng sebagai Mini Amazon Malaysia, usaha penjenamaan Roslan Abd Rahman (Abang Lan) itu ternyata menjadi satu fenomena.
Kaki-kaki mengilat, khususnya peacock bass atau ikan raja menurut panggilan di Perak mula menjadikan Kampung Beng sebagai padang pancing yang wajib dicuba.
Termasuklah saya sendiri yang terpesona melihat panorama suak-suak di Tasik Beng yang ala-ala Amazon.
Agak lama juga saya memantau perkembangan potensi sukan memancing di Mini Amazon Kampung Beng ini.
Khususnya di Facebook namun perancangan bersama rakan untuk ke sana selalu saja tergendala. Akhirnya, tanpa perancangan saya dan Anhar buat trip balik hari ke Kampung Beng!
Jam 3 pagi saya dan Anhar bergerak dari Shah Alam ke Kampung Beng. Penanda ke Kampung Beng tidaklah sesukar mana.
Melalui Jalan Baling-Kuala Kangsar sebelum tiba di Lenggong, ambil simpang menghala ke Galeri Arkeologi dan seterusnya ikut papan tanda arah ke Kampung Beng sehingga habis jalan.
Di penghujung jalan mati, sudah sedia menanti untuk membawa kami ke kediamannya di pinggir Tasik Beng yang juga merupakan pusat operasi fishing charter services yang beliau usahakan.
Selain hidangan nasi lemak sebagai sarapan pagi, yang turut sedia menanti ialah 8 orang caster dari Gombak yang mengambil pakej memancing selama 2 hari.
Usai bersarapan, saya dan Anhar agak bertuah kerana mendapat khidmat Abang Lan sendiri selaku guide meneroka suak-suak di Mini Amazon Malaysia.
Suak-suak limpahan air Sungai Perak rata-ratanya keruh ekoran hujan lebat yang turun kelmarin hari.
baca juga kenali ikan peacock bass
So’do Tok Wan
Faktor kekeruhan air itu merungsingkan sedikit Abang Lan namun kami yang sudah biasa dengan title kumpau ini tenang-tenang saja.
Cuma berharap bangau yang memayungi kami di Tasik Temenggor dahulu tidak terbang mengekori kami ke Tasik Beng.
Tambah pula kali ini kami bergandingan dengan satu misi; untuk menguji sesudu atau So’do aneka warna Tokwan yang dalam proses ujikaji atau prototype.
Suak Terpa yang juga kawasan takungan air dari limpahan Sungai Perak merupakan suak kedua yang kami susuri dengan bot fiber 12 kaki dengan enjin 15cc.
Di suak ini saya menggunakan so’do 7gram warna putih pula setelah menggunakan warna oren di Suak Cuas.
Setelah dibaling dan dibiarkan tenggelam dalam kiraan 5 dan dikarau laju, satu sambaran dirasakan namun rabut.
Balingan ke kawasan bangkar yang sama untuk kesekian kalinya ada satu lagi sambaran tapi kali ini solid hook-up dan seekor spesis sasaran berjaya didaratkan.
Tidak lama kemudian giliran Anhar pula memperolehi lesen Mini Amazon Kampung Beng.
Setelah beberapa ekor peacock bass berjaya didaratkan di Suak Terpa hasil penggunaan so’do warna putih dan gold plated, Abang Lan membawa kami ke suak-suak lain pula. Namun suak-suak berikut agak kurang berpotensi ekoran air yang lebih keruh.
Menjelang tengahari, sebagaimana yang tertera dalam pakej memancing, pulang ke pengkalan untuk makan tengahari hidangan ala kampung. Tentu saja ikan pekasam buatan Abang Lan sendiri menjadi menu wajib.
Suak Terpa Tepat jam 2.30 petang, sesi memancing disambung kembali. Jika sesi pagi kami mewajibkan penggunaan So’do Tokwan (termasuk Abang Lan dengan sukarela
menggunakannya), sesi petang lebih kepada acara bebas. Bukan saja penggunaan gewang, spesis sasaran juga bebas.
Sebarau dan toman yang berkongsi lubuk sama dengan peacock bass akan turut diburu juga. Suak-suak dan lubuk-lubuk yang sebelum ini tidak pernah mengecewakan Abang Lan diperkenalkan kepada kami.
Namun aksi-aksi boiling langsung tidak kelihatan. Kelibat toman turut sama seperti berwaspada untuk meneguk udara.
Menjelang petang kami request ke Suak Terpa lagi. Hati kembali berbunga apabila menyusuri pintu masuk suak yang sempit kelihatan ada kelibat pemangsa mengerjakan anak-anak ikan.
Namun kegembiraan tidak kekal lama, sejurus memasuki suak kelihatan sudah ada nelayan sungai sedang merentang jaring panjang hingga ke hujung suak.
Spot-spot yang membuahkan hasil pagi tadi juga sudah tidak boleh diakses ekoran sudah direntangi jaring.
Kami memasuki lebih jauh ke dalam suak, pun ada juga nelayan sungai sedang bersantai menanti waktu jaringnya dilanggar ikan untuk dijadikan pekasam.
Sebelum beredar keluar dari Suak Terpa, sempat jugalah kami mencuba mama toman membawa anak.
Nasib ternyata menyebelahi mama toman namun nasib anak-anaknya yang masih merah itu belum dapat dipastikan kerana ada nelayan yang memburu anak toman untuk dijadikan umpan taut sedia menanti dengan kelengkapannya.
Sebelum senja kami kembali ke pengkalan sekaligus mengakhiri trip mengejut ke Kampung Beng.
Meskipun hasil agak kurang memberangsangkan, ditambah pula dengan faktor cuaca, ia sudah cukup melegakan kami kerana tidak kumpau pada kunjungan sulung.
Sekurang-kurangnya ada beberapa perkara yang dapat kami akui keistimewaannya dalam trip ini; pakej memancing yang ditawarkan oleh Abang Lan, potensi Mini Amazon Kampung Beng sebagai destinasi padang pancing yang harus dicuba dan keampuhan So’do Tokwan.
baca juga apa keburukan peacock bass
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan