lokasi hulu Sungai Gadong yang terletak dalam jaringan hutan Royal Belum di Perak merupakan antara lokasi yang jarang dikunjungi.
Lantas, sungai berarus laju ini dikatakan antara lokasi yang masih kaya dengan spesies air tawar seperti sebarau, tengas, kelah dan lain-lain.
Trip terjah ke Hulu Sungai Gadong di Perak sebenarnya agak lama juga dinantikan. Hampir sebulan juga menanti sejak menerima panggilan daripada rakan-rakan Kelab Raja Rimba
Adventure (RRA) yang meminta supaya bersedia untuk trip ini. Bila-bila masa saja serbuan akan dijalankan.
Beberapa orang rakan-rakan dari kelab pacuan empat roda RRA yang berpangkalan di Grik telah melakukan intipan awal keadaan lokasi dan cuba menduga waktu paling sesuai untuk melakukan serbuan lokasi Hulu Sungai Gadong ini.
Berdebar dan teruja juga ketika menantikan trip ke Hulu Sungai Gadong ini. Set pancing memang sudah tersedia kemas untuk menduga penghuni sungai di sana nanti.
REDAH HUTAN ROYAL BELUM
Setelah hampir sebulan ternanti-nanti, akhirnya panggilan keramat yang ditunggu tiba jua.
Trip ke Hulu Sungai Gadong telah tiba. Team Umpan bersama beberapa orang rakan RRA dari Lembah Klang bertolak menuju ke Grik yang menjadi tempat pertemuan kami.
Kami tiba di bandar Grik pada awal pagi. Setelah berehat seketika, bersarapan dan siap mencari beberapa barang keperluan, 11 buah pacuan empat roda yang menjadi kenderaan
rasmi trip ini mula bergerak masuk ke Hutan Royal Belum untuk menuju Sungai Gadong sekitar jam 10 pagi.
Menyertai trip meredah hutan bersama Kelab RRA ini bukan kerja mudah. Untuk tiba di lokasi utama, sepanjang perjalanan memerlukan semangat kerjasama yang tinggi.
Kami menyusuri jalan balak yang telah lama ditinggalkan dan perlu mengharungi beberapa batang anak sungai dan kawasan berbukit. Hari pertama ternyata kami hanya bermandi peluh untuk tiba di Hulu Sungai Gadong.
Mujur hujan mula renyai ketika lewat petang saat kami hampir tiba di kem utama. Setelah mendirikan kem utama, masing-masing berehat bagi mengembalikan tenaga untuk sesi pancingan esok hari memandangkan hari sudah semakin gelap.
GELEDAH PENGHUNI LUBUK
Awal pagi hari kedua, kami bersiap untuk menduga penghuni di sini. Kami berpecah kepada beberapa kumpulan dan berjalan menyusuri sungai ke bahagian hulu.
Banyak lubuk cantik sepanjang laluan sungai. Setiap lubuk yang dilintasi, pasti akan dilontarkan dengan sesudu bagi menduga pemilik setiap lubuk.
Penulis memilih sesudu Abu Island II warna emas sebagai taruhan. Taruhan tidak sia-sia apabila beberapa kali sesudu dihentam kuat setelah dibaling berhampiran tunggul kayu.
Sesudu warna emas sering dihentam sebarau. Tengas juga tidak segan menghentam sesudu walaupun tidak segalak sebarau.
Kebanyakan setiap lubuk di sini selalunya pasti ada yang mengawalnya. Jika sudah menghentam sesudu yang dibaling, kami akan berpindah ke lubuk seterusnya.
Rakan-rakan yang mengilat yang lain berjaya menaikkan kebanyakannya sebarau dan terdapat juga beberapa ekor tengas.
Selain tengas, Amang berjaya menaikkan spesies bujuk selepas sesudu yang dibiarkan tenggelam sebelum dikarau berjaya menggoda spesies ini.
Setelah penat mengilat, kami bertukar ke acara pancingan dasar dengan cengkerik sebagai taruhan umpan. untuk pancingan dasar di sungai yang tidak atau jarang dikunjungi
sememangnya tidak perlu tunggu lama, sang tengas pasti berebut-rebut melarikan tali utama. Memang puas seharian dapat melayan sampai kenyang pecutan spesies berarus laju ini.
Lewat petang itu, kesemua kami kembali ke kem utama dan mengumpulkan kesemua hasil yang berjaya dinaikkan.
Masing-masing seakan-akan terlupa akan penat kerana puas melihat hasil yang berjaya cungkil dari dalam perut Sungai Gadong ini.
Waktu malam pula sambil bersantai, joran tetap dilabuhkan bagi menduga baung. Rupanya baung akar mendominasi sekitar kawasan berdekatan kem utama kami apabila mula menjamah umpan.
Ketika keadaan baru hendak rancak, tiba-tiba hujan mulai turun dengan lebat menyebabkan aktiviti pancingan malam kami terhenti lebih awal.
PENAT TAPI PUAS
Pagi hari ketiga, kami mula bergerak keluar sekitar jam 10 pagi. Namun hujan semalam menyebabkan jalan menjadi becak dan berselut.
Laluan semakin sukar dan lebih mencabar berbanding ketika masuk. Mahu tak mahu kami perlu mengerahkan lebih tenaga bagi mengatasinya.
Hujan renyai-renyai sedikit melambatkan pergerakan kami selain sedikit kerosakan kecil pada kenderaan pacuan rakan kami. Namun semua itu berjaya juga diatasi.
Kami selamat keluar dan tiba di Grik sekitar jam 9 malam, beberapa jam melewati jangkaan awal kami.
Setelah membersihkan diri dan berehat, masing-masing duduk melepaskan penat. Namun di wajah tetap mengukir senyuman puas.
Penat memang penat, tapi lebih puas dapat menggeledah penghuni Hulu Sungai Gadong!