Tidak lama dahulu penulis berkesempatan berkunjung ke Sungai Perak di sekitar Gerik yang dikatakan antara lokasi yang masih banyak spesies daripada keluarga cyprinidae ini.
Bagi pemancing tempatan, memancing tengalan cukup berkesan ketika musim panas di mana air sungai sedikit turun berbanding paras biasa.
Ketika pertama kali tiba di sini, penulis melihat cukup ramai pemancing memenuhi lubuk di tepi sungai dengan berbekalkan joran masing-masing.
Di Gerik, memancing tengalan boleh dikatakan bermusim dan spesies ini turut menjadi antara spesies kegilaan pemancing di Sungai Perak.
KEMARAU TENGALAN
Sebelum ke sini, rakan penulis iaitu AJ telah mencuba ‘riki’ tengalan di sini selama 3 minggu berturut-turut.
Menurutnya, dalam tempoh itu, hanya sekali dia pulang hampa dengan tangan kosong. Setelah berkira-kira, kami berpendapat kemungkinan mendaratkan tengalan masih tinggi.
Namun hari pertama, kami pulang dengan tangan kosong. Keadaan arus sungai yang deras membawa sampah dan daun-daun kering agak mengecewakan.
Umpan yang dibaling hanya mendaratkan sampah apabila dikarau.
Menurut pemancing di sini, sampah yang dibawa arus menyebabkan umpan menjadi tersorok antara kemungkinan yang menyebabkan kami ‘kumpau’ sampai ke pagi.
Menurut Pak Andak, seorang pemancing tegar yang ditemui, arus deras disebabkan berkemungkinan daripada pelepasan air di empangan sekitar sini.
TENGALAN EXTRA TIME
Hari kedua, kami mencuba lubuk berlainan memandangkan arus sungai masih tidak berubah. Selepas Asar, kami meneruskan misi tengalan di Gerik ini.
Keadaan tidak banyak berubah berbanding semalam, dari petang hingga ke malam langsung membawa ke pagi masih hampa.
Sekitar jam 7 pagi, barulah kami dikejutkan dengan lenturan hujung joran. Bergegas AJ menyentap dan berjaya menaikkan tengalan pertama.
Selepas itu, barulah agak galak ikan menjamah umpan. Dah extra time barulah ikan di sini sudi menjamah umpan.
Pak Andak yang tiba pagi tersebut turut tidak ketinggalan menaikkan tengalan bersaiz sekitar 600 gram.
Menurut Pak Andak, saiz tengalan yang lebih besar sudah sukar diperolehi dengan mata pancing sekarang.
Beberapa pemancing lain yang melabuhkan pancing sekitar kami juga turut berjaya mendaratkan spesies tengalan. Namun saiznya tiada yang bersaiz lebar dua tapak tangan seperti yang diidamkan.
Yang Korang Patut Tau!
Istilah KATEH digunakan oleh pemancing di sini bagi merujuk kepada tengalan juvenil atau tengalan yang bersaiz kecil.
Istilah ‘kateh’ terhapus apabila saiz tengalan tersebut mencapai saiz ‘secekak’ iaitu mampu dicekak oleh tangan orang dewasa.