Tidak lama dahulu penulis berkesempatan berkunjung ke Sungai Perak di sekitar Gerik yang dikatakan antara lokasi yang masih banyak spesies daripada keluarga cyprinidae ini.
Bagi pemancing tempatan, memancing tengalan cukup berkesan ketika musim panas di mana air sungai sedikit turun berbanding paras biasa.
Ketika pertama kali tiba di sini, penulis melihat cukup ramai pemancing memenuhi lubuk di tepi sungai dengan berbekalkan joran masing-masing.
Di Gerik, memancing tengalan boleh dikatakan bermusim dan spesies ini turut menjadi antara spesies kegilaan pemancing di Sungai Perak.
KEMARAU TENGALAN
Sebelum ke sini, rakan penulis iaitu AJ telah mencuba ‘riki’ tengalan di sini selama 3 minggu berturut-turut.
Menurutnya, dalam tempoh itu, hanya sekali dia pulang hampa dengan tangan kosong. Setelah berkira-kira, kami berpendapat kemungkinan mendaratkan tengalan masih tinggi.
Ads
Namun hari pertama, kami pulang dengan tangan kosong. Keadaan arus sungai yang deras membawa sampah dan daun-daun kering agak mengecewakan.
Umpan yang dibaling hanya mendaratkan sampah apabila dikarau.
Menurut pemancing di sini, sampah yang dibawa arus menyebabkan umpan menjadi tersorok antara kemungkinan yang menyebabkan kami ‘kumpau’ sampai ke pagi.
Menurut Pak Andak, seorang pemancing tegar yang ditemui, arus deras disebabkan berkemungkinan daripada pelepasan air di empangan sekitar sini.
Ads
TENGALAN EXTRA TIME
Hari kedua, kami mencuba lubuk berlainan memandangkan arus sungai masih tidak berubah. Selepas Asar, kami meneruskan misi tengalan di Gerik ini.
Keadaan tidak banyak berubah berbanding semalam, dari petang hingga ke malam langsung membawa ke pagi masih hampa.
Sekitar jam 7 pagi, barulah kami dikejutkan dengan lenturan hujung joran. Bergegas AJ menyentap dan berjaya menaikkan tengalan pertama.
Ads
Selepas itu, barulah agak galak ikan menjamah umpan. Dah extra time barulah ikan di sini sudi menjamah umpan.
Pak Andak yang tiba pagi tersebut turut tidak ketinggalan menaikkan tengalan bersaiz sekitar 600 gram.
Menurut Pak Andak, saiz tengalan yang lebih besar sudah sukar diperolehi dengan mata pancing sekarang.
Beberapa pemancing lain yang melabuhkan pancing sekitar kami juga turut berjaya mendaratkan spesies tengalan. Namun saiznya tiada yang bersaiz lebar dua tapak tangan seperti yang diidamkan.
Yang Korang Patut Tau!
Istilah KATEH digunakan oleh pemancing di sini bagi merujuk kepada tengalan juvenil atau tengalan yang bersaiz kecil.
Istilah ‘kateh’ terhapus apabila saiz tengalan tersebut mencapai saiz ‘secekak’ iaitu mampu dicekak oleh tangan orang dewasa.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Tinjauan saya ketika bercuti di Kelantan, kedatangan musim tengkujuh ke negeri ini sebenarnya memberi pendapatan tambahan kepada penduduk di sekitar pantai daerah jajahan Bachok.
Penduduk di sini menggunakan alat dikenali sauk ‘Y’ dan menyusuri sepanjang pantai untuk menangguk ikan belanak yang banyak terdapat di kawasan berkenaan dan dipercayai mencari makanan pada buih ombak.
Tinjauan mendapati sekumpulan penduduk tempatan mengambil peluang musim tengkujuh dengan mencari ikan belanak untuk dijadikan bekalan keluarga dan ada juga untuk dijual kepada orang ramai.
Hasil jualan ikan berkenaan membolehkan penduduk terbabit memperoleh pendapatan sampingan kira-kira RM50 sehari dengan meluangkan masa beberapa jam terutama selepas hujan melanda kawasan itu. Jika cuti umum dan hujung minggu, dianggarkan lebih 100 penduduk setempat dan penduduk luar memenuhi Pantai Bachok.
Ada sesetengah orang tidak mengetahui apa itu remis. Remis adalah sejenis moluska bercengkerang yang boleh didapati di pesisir pantai. Sama seperti yang kita selalu dengar, kerang, lala, siput sedut, mentarang, retak seribu, dan lain-lain spesies yang tergolong dalam kumpulan bercengkerang.
Ketika ombak membadai pantai di situlah muncul satu lagi rezeki yang digelar remis. Bentuk badan menyerupai kerang tetapi bersaiz kecil dan cengkerangnya licin. Berwarna putih dan ada juga berwarna keperang-perangan bertaburan di permukaan pasir.
Bagi penduduk tempatan ia adalah fenomena biasa tetapi bagi pengunjung luar ianya pasti menjadi satu pesta mengutip remis ini. Aktiviti mencari remis menjadi sebahagian perkara menyeronokkan bagi masyarakat setempat dan pengunjung pantai, tetapi kepada ibu bapa yang membawa anak mereka bersama sentiasalah beringat dan menjaga keselamatan anak-anak.
Saya sendiri turut teruja dan mengikut sama menyauk remis menggunakan bekas plastik yang berlubang-lubang kecil. Remis disauk bersama pasir kemudian diayak bagi memudahkan kerja pengasingan. Remis banyak ketika waktu pagi kerana pada malam hari tiada orang yang mencari remis. Jadi siapa yang dapat dahulu dialah yang punya habuan.
Salah satu tip untuk mengeluarkan pasir daripada remis ini adalah dengan merendamkannya dalam air masin (laut) semalaman. Kemudian barulah masak untuk dijadikan santapan.
Remis rasanya agak manis walaupun agak remeh sedikit untuk memakannya kerana bentuknya yang kecil. Tetapi siapa yang telah mencubanya pasti ingin lagi memakannya. Sehinggakan ia menjadi satu ketagihan.
Bagi golongan ini, sudah tentu menghadapi kesukaran untuk turun ke laut pada musim tengkujuh. Kesempatan ini mereka akan menghabiskan masa terluang dengan memperbaiki bot dan jaring. Jaring yang terkoyak tetapi masih kukuh diperbaiki manakala jaring yang reput ditukar dengan jaring yang baru.
Jaring yang baru dibeli tidak boleh terus digunakan tetapi kena ditambah aksesori lain seperti tali dan pelampung. Kerja-kerja pembaikan dan pengubahsuaian jaring ini memerlukan kemahiran yang tinggi.
Calang-calang orang tidak dapat memiliki susunan simpulan tali dan jarak ikatan tali yang sama. Ada sesetengah nelayan sendiri tidak dapat kemahiran ini sebaliknya memberi upah kepada pengait jaring untuk memperbetulkan jaring mereka.
Bagi pengusaha bot memancing pula, inilah masa yang sesuai bagi kerja-kerja pembaikan bot memancing. Papan reput digantikan yang baru, enjin diservis agar dapat kuasa yang optimum, kabin di ‘upgred’ untuk keselesaan pemancing dan akhir sekali proses mengecat agar dapat kelihatan seperti baru.
Waktu ini juga tukang-tukang kayu pun akan dapat imbuhan untuk menampung saraan keluarga. Kebanyakan tukang kayu di Pantai Timur sekarang majoritinya berusia 50 tahun ke atas.
Ke manakah generasi muda?. Adakah bidang ini kurang diminati oleh golongan muda. Tepuk dada tanyalah selera. Sepatutnya seni kerja kayu ini patut diambil ilmunya dari orang lama agar tidak hilang ditelan arus pemodenan.
Dengan bot fiber 12 kaki dan enjin 15 kuda, Jeff memacu bot dengan laju menuju Lubuk Batu Balik. Perjalanan yang mengambil masa 45 minit dari jeti hanya diisi dengan berbual-bual kosong sambil menyiapkan kelengkapan dalam bot.
Walaupun menaiki bot pada waktu malam, Jeff amat arif dengan selok belok sungai ini. Dengan hanya berpandukan lampu kepala kecil, dia mampu mengenal pasti laluan mana yang selamat untuk botnya. Maklumlah dia anak jati kampung ini.
Sauh terus sahaja dijatuhkan sebaik sahaja sampai di lokasi. Jam menunjukkan 10 malam dan masing-masing kelihatan tidak sabar mencampak umpan. Kelihatannya hanya mereka sahaja yang memancing di situ.
Umpan yang baru dibaling tidak menunggu lama untuk diragut ikan. Awong orang pertama yang beraksi. Setelah 5 minit bertarung seekor baung dalam skala 1 kilogram berjaya dinaikkan. Tidak lama selepas itu, joran Jeff pula ditarik dengan kuat. Dia mengambil masa yang agak lama untuk menaikkan ikan itu. Shuk dan Awong berteriak memberi semangat.
Akhirnya seekor belida yang agak besar saiznya berjaya ditumpaskan. Begitulah mereka begitu asyik melayan ragutan ikan sehingga bekalan yang dibawa masih belum diusik dan dijamah lagi. Banyak betul ikan malam tu. Naik lenguh tangan mereka dibuatnya. Ada baung, patin, tapah dan bermacam lagi.
Jam menunjukkan tepat pukul 12.00 malam. Ragutan ikan yang galak tadi tiba-tiba terhenti. Ikan seperti tidak lagi berminat dengan umpan mereka.
“Mana pulak perginya ikan ni. Nak kena tuba kot lubuk ni” kata Shuk geram.
“Aku rasa elok kita balik. Lagipun dah banyak ikan kita dapat ni,” cadang Jeff.
Dia dari tadi tidak sedap hati. Dirasakan olehnya telinganya seolah-olah ditiup sesuatu. Macam bunyi nafas yang mendengus kuat. Cadangannya ditolak mentah-mentah oleh rakannya. Ingin diberitahu takut kalau dikatakan pengecut pula. Baru sebentar tadi dia terlihat kelibat putih atas pokok ara yang memayungi lubuk itu.
Namun dia hanya mendiamkan diri. Shuk dan Awong terus berbual. Sesekali terdengar tawa mereka yang agak kuat dan terbahak-bahak memecah kesunyian malam. Entah apa yang dibualkan. Tiba-tiba bot yang mereka naik seakan bergoyang. Mulanya agak perlahan tapi semakin lama semakin kuat goyangnya. Terkejut tiga sahabat itu. Mereka berpegang dengan kuat pada bot takut terjatuh.
“Kenapa pulak ni?” tanya Awong dengan suara yang terketar-ketar.
Dalam pada itu, Shuk terlihat sesuatu muncul di permukaan sungai dengan jelas apabila lampu kepalanya dihalakan kepadanya.
Hanya kepalanya sahaja yang jelas kelihatan. Itu pun setakat mulut sahaja. Dengan matanya merah, rambutnya panjang dan matanya merenung tajam ke arah mereka bertiga. Jeff dan Awong juga sedar dengan kehadiran makhluk itu yang kira-kira 10 meter dari bot mereka.
Dalam suasana kaget tersebut, tiba-tiba mereka dikejutkan dengan suara perempuan mengilai nyaring diselang seli dengan tangisan bayi. Seram dan naik bulu roma mereka. Tanpa membuang masa tali sauh terus dipotong dan bot terus dihidupkan dan dipacu dengan laju meninggalkan lubuk itu.
Mujur enjin bot dapat dihidupkan dengan mudah. Pucat lesi wajah tiga sahabat itu. Dari jauh jelas kelihatan sekujur tubuh seorang perempuan sedang memandang mereka sambil mendukung sesuatu seperti bayi.
Sampai sahaja di jeti, ketiga orang sahabat tadi senyap membisu tanpa suara. Mereka bagaikan tidak percaya, kejadian mistik yang sering didengar dari orang lain benar-benar berlaku kepada mereka bertiga. Terketar-ketar tangan Shuk ketika menambat tali bot.
Kejadian itu telah menggemparkan penduduk Kampung Kuala Medang. Kebanyakan penduduk tidak berani menghampiri kawasan lubuk itu lagi. Rupanya terdapat kisah lama tentang lubuk itu.
Menurut Pak Andak iaitu orang lama di kampung itu beberapa tahun dahulu, seorang gadis pernah membunuh diri bersama bayinya di situ. Ini kerana dia melahirkan anak luar nikah dan teman lelakinya tidak mahu bertanggungjawab. Disebabkan malu dan tertekan dia mengambil jalan mudah dengan menamatkan hayatnya di situ.
Akibat kejadian itu juga Awong demam hampir seminggu dan sejak dari itu juga, tiga orang sahabat itu mengambil keputusan untuk tidak sesekali turun memancing di lubuk berkenaan dan mereka juga serik untuk keluar memancing pada waktu malam.
Kami memilih Mat Rafi sebagai tekong. Pada awalnya, semasa tiba jam 6.30 pagi di Jeti Kampung Permatang, Teluk Rubiah, langit yang pada mulanya kelihatan cerah telah bertukar mendung dalam sekelip mata.
Hampir 8.15 pagi, barulah kami berlepas selepas laut kembali tenang. Semua ahli trip menggunakan jig dari saiz 18gm hingga 60gm. Bagi casting pula, kami menggunakan spoon, bulu ayam serta gewang seperti Jackson Pintail dan sebagainya.
Lubuk pertama kami ialah sesi casting di kawasan berbatu. Tanpa menunggu lama, saya dan Tompok menerima sambaran hampir serentak namun lucut semasa beraksi. Ia angkara todak yang kelihatan agak banyak dan agresif. Tekong menyarankan kami agar menukar mata tiga kami kepada saiz yang lebih besar bagi memastikan ia tidak rabut lagi.
Setelah menukar mata tiga, rakan saya, Jemik telah membuat lontaran pertama dengan gewang Yozuri bersaiz 12 cm. Sepantas kilat satu sambaran kasar berlaku dan drag terus berbunyi nyaring. Ikan telah lekat dan beliau berhempas pulas mengawal larian dan loncatan todak tersebut. Akhirnya todak yang agak kasar itu berjaya juga dinaikkan.
K.I yang mencuba dengan Pintail turut mendapat sambaran kasar selepas Jemik. todak ini dilihat lebih agresif dan besar ketika meloncat dalam usaha untuk melepaskan mata kail. Akhirnya setelah 3 kali meloncat tinggi, tali perambut kejutan tangsi terputus ketika ia membuat pecutan terakhir dan berkuburlah gewang Pintail K.I.
Mat Rafi kemudiannya mengalihkan bot ke kawasan lain pula kerana kami telah berhanyut jauh dari sasaran. Kebetulan satu ‘boiling’ berlaku kira-kira 20 meter dari bot. Saya yang telah bersedia, tanpa berlengah melontar jig Yozuri Metallic Sardine dan terus menerima asakan kasar ketika baru menutup ‘bail arm’.
Tali mencurah-curah keluar telah memaksa saya mengawal dengan berhati-hati kerana saya menggunakan set ringan Ryobi Zauber 1000 dengan tali 20lb. Aksi tarik menarik berakhir dengan seekor GT tumpas. Walaupun tidak besar, aksinya masih mendebarkan kerana menggunakan set ringan.
Kami berpindah lagi ke satu kawasan yang dipanggil Tukun Jepun. Baru sahaja jig dijatuhkan dan di unjun 2 kali, K.I mendapat sambaran padu.
Jorannya dihenjut-henjut ke bawah. Ketika itu, tiada siapa dapat meneka jenis ikan kerana amat berlainan sekali lariannya. Kelibat jehahak mula kelihatan dan semua bersorak gembira walaupun belum lagi dinaikkan.
Jenahak skala 2kg tersebut tumpas setelah ditangguk. Bertambah semangat semua untuk meneruskan sesi pancangan kali ini!! Saya dikejutkan dengan satu tarikan ketika leka berbual sambil jigging. Tarikannya mudah dikawal. Tanpa disangka, seekor cencaru kuda pula berjaya dinaikkan.
Kami beralih ke Batu Putih pula untuk mencari ‘boiling’ cencaru kuda kerana waktu ini arus air kelihatan amat sesuai. Ketika tiba sambil berpusing-pusing, kelihatan banyak burung sedang mengejar sesuatu di permukaan laut.
Kami bergegas ke situ. Tak sampai seminit, kejadian “boiling” pun berlaku. Masing-masing yang sememangnya telah bersedia, terus sahaja membaling mikro jig. Serentak 3 orang sekali mendapat sambaran. Suasana bertukar kecoh kerana kami perlu menukar poisi kedudukan kami agar tali tidak bersilang.
3 ekor telah tumpas dan misi seterusnya terus menanti ‘boiling’ kedua. Ia berlaku di belakang bot pula. Hanya saya dan Tompok berjaya membaling jig dan saya telah berjaya menaikkan spesies terbesar, anggaran 2kg. Ketika bot mula menghampiri kawasan berbatu, Jemik yang menggunakan gewang berjaya menaikkan seekor lagi cencaru.
Selang 10 minit, K.I pula bertarung dengan ikan. Penggunaan joran halus menyukarkan K.I untuk menarik secara kasar. Seekor delah muncul tanpa disangka dan terus sahaja diangkat masuk ke dalam bot. Oleh kerana telah penat dan jam hampir ke-2 petang, kami memutuskan untuk berehat sambil makan tengah hari di pulau.
Hampir 2 jam juga kami berehat sambil tertidur beralaskan tikar yang dibawa. Badan kembali segar setelah mandi air bukit yang segar. Saya mengajak Mat Rafi ke lubuk sotong mengabang. Pesan saya kepadanya, cukup 3 ekor sahaja yang dicari untuk saya buat lauk anak-anak.
Di sini, hanya candat Yamashita sahaja laku. Kami berlabuh dengan mengikat tali ke boya di situ. Alhamdulillah, saya berjaya mendapatkan 3 ekor mengabang saiz ‘selipar no 8’ yang diidamkan dalam tempoh 30 minit sebelum berpindah ke lokasi lain.
Kami meneruskan kembali aktiviti jigging di satu kawasan yang agak dalam. Selepas 3 kali berhanyut, barulah ada sambaran dan kali ini, Mat Rafi yang kena. Agak lama juga bermain tarik tali sebelum seekor lagi talang berjaya dinaikkan.
Kami berpindah lagi. Mat Rafi juga yang membuka tirai sambaran ketika kami masih lagi terkial-kial hendak mengunjun. Seekor lagi talang skala 3kg dinaikkan. Tompok turut mengena ketika baru sahaja Mat Rafi menyimpan ikan tersebut ke dalam tong.
Kami memutuskan untuk mencuba di kawasan berbatu sebelum berangkat pulang. Bulu ayam, gewang serta spoon kembali menjadi taruhan. Balingan kedua K.I disambut, aksi yamg tampak agresif pada mulanya berakhir dengan mudah. Seekor todak kecil dinaikkan.
Menurut Mat Rafi, keadaan air jernih telah menyebabkan Talang nampak pergerakan mata kail gewang atau bulu ayam tersebut dan tidak akan membahamnya ketika casting. Kami berpindah sebanyak dua kali lagi tetapi hanya todak sahaja yang diperolehi. Tepat jam 6 pm, kami mengajak Mat Rafi pulang.
Tiga tahun mengejar ilmu, akhirnya aku lulus semua ujian ku. Bulan depan aku akan memiliki ijazah sarjana muda ekonomi perniagaan. Sementara itu aku cadang...