Ikan kuku? Ikan kuku ni macam mana? Sedap sangat ke? Tempat mana kalau nak pancing ikan ni? Umpan apa nak pancing ikan ni?
Itu antara persoalan yang menerjah benak penulis beberapa purnama yang lepas. Harus diakui penulis sendiri agak jarang mendengarkan spesies ini menjadi perbualan biarpun di kalangan kaki pancing tempatan.
Untuk itu penulis terpaksa buat kajian dan mencari informasi berkaitan ikan ini. Setelah 3 purnama berguru dan turun ke lapangan pancing, ternyata tidak mudah untuk mendaratkan spesies kuku, tapi kepuasannya memang lain macam.
Patutlah geng-geng kaki menguku sering menyebut, sekali terkena getah kuku ni, alamatnya asyik nak menguku je!
SPESIES BERMUSIM GRED A
Ikan kuku atau seabream merupakan spesies muara yang dikelaskan daripada genus Acanthopagrus.
Ikan kuku sebenarnya lebih terkenal di kalangan pemancing di kawasan Pantai Timur Semenanjung malah di Sabah dan Sarawak juga terdapat pemancing yang memang saban tahun menunggu putaran musim untuk menerjah kandang kuku ini.
Menurut kebanyakan kaki menguku, spesies ini merupakan antara spesies ikan muara yang paling sedap isinya.
Malah jika mereka sendiri membuat analogi, jika dihidangkan pilihan hidangan ikan kuku dan siakap putih, maka hidangan siakap putih pastinya akan ditolak mentah-mentah.
Walaupun agak keterlaluan bunyinya, namun rata-rata pemancing kuku sependapat dalam perbandingan antara kedua spesies tersebut.
Mungkin juga dek kerana faktor kesukaran mengail spesies kuku, namun ini tidak menghalang untuk spesies kuku berada di dalam kelas ikan muara gred A.
Apa yang menariknya lagi, untuk memancing spesies ini bukannya sepanjang tahun. Sebaliknya terhad kepada masa tertentu dalam kitaran satu tahun.
Bagi pemancing di Pantai Timur, ketika musim tengkujuh atau musim hujan, inilah waktu yang paling sesuai untuk mula memancing ikan kuku.
Apabila musim hujan tiba, dikatakan spesies kuku akan mulai memenuhi kawasan muara sungai utama.
Terdapat dua jenis ikan kuku yang lebih dikenali iaitu kuku putih dan kuku batu. Kuku putih mempunyai warna yang lebih cerah manakala kuku batu pula lebih gelap.
Malah, rupanya juga berbeza sama sekali. Namun biasanya, pemancing kuku lebih cenderung memburu spesies kuku putih kerana dikatakan mempunyai rasa yang lebih sedap berbanding kuku batu.
BERGURU DENGAN GENG NGAIL KUKU
Setelah melihat report dari geng pemancing di Pantai Timur, penulis menghubungi grup pemancing kuku yang dikenali Geng Ngail Kuku atau GNK untuk cuba merasai sendiri rahsia teknik pancingan spesies kuku ini.
Setelah menyusun jadual, akhirnya trip mengail kuku dibuat dengan tip dan tunjuk ajar daripada rakan-rakan GNK setelah beberapa hari diracun oleh mereka yang kebanyakannya berpangkalan di Kuantan dan Kemaman.
Beberapa lokasi dan spot memancing kuku telah dirancang dalam trip ini kerana tidak mahu mengambil risiko kumpau jika menumpukan pada satu spot sahaja.
Jadi penulis merancang untuk cuba menguku di beberapa spot di Kuantan hingga ke Kuala Terengganu.
Tiba di Kuantan, penulis bertemu dengan Abang Rosdi (atau lebih dikenali sebagai Kail Beracun di FB), Teuku Munawir dan beberapa orang rakan dari GNK.
Mereka yang banyak memberikan rahsia teknik dan tip memancing sang kuku ini. Bertempat di Tanjung Api, kami memulakan cubaan memancing kuku.
Bukan mudah rupanya nak memancing kuku kerana spesies ini agak cerewet ketika memakan umpan.
Biasanya tali utama perlu dipegang untuk merasai sang kuku mengetuk umpan yang dihulurkan.
Selain itu, spesies pengacau seperti gelama dan kitang turut sama akan meligan umpan anda, namun sesekali tak rugi kerana siakap merah juga gemar membaham umpan yang dihulur untuk sang kuku.
Tetapi kesabaran dalam memancing kuku memang memberikan kepuasan jika anda berjaya menggoda sang kuku hingga ke daratan.
Semalaman di Tanjung Api membuahkan hasil dengan beberapa ekor kuku juvenil dinaikkan.
Spot kedua penulis memilih untuk singgah di Sungai Paka. Cubaan lapangan di Sungai Paka lebih singkat kerana memancing pada awal pagi hinga ke tengah hari sahaja kerana perlu menuju ke Kuala Terengganu pula.
Begitu pun, seekor kuku dan siakap merah berjaya dinaikkan dengan berumpankan ketam angin.
Cubaan di spot seterusnya iaitu Kuala Ibai agak suram kerana tiada hasil. Biasalah newbies main terjah sahaja.
Melihatkan seakan tiada potensi, kami memilih bertukar spot di benteng belakang Permai Inn.
Pilihan tersebut nyata membuahkan hasil apabila Rasul tidak semena-mena menaikkan kuku lebih 1kg menggunakan umpan udang hidup.
PENGHUJUNG TRIP PERGURUAN
Untuk menamatkan trip jelajah terjah kuku ini, spot Tanjung Api sekali lagi menjadi pilihan sebelum pulang ke Shah Alam.
Kali ini lebih meriah dengan ramai ahli grup GNK turut serta. Alang-alang berkumpul ramai, Along iaitu pemilik kedai pancing setempat turut berbesar hati menaja hadiah sagu hati untuk ikan kuku terberat pada malam itu.
Bukan semata-mata untuk memenangi hadiah, acara kecil malam itu lebih kepada berkumpul antara ahli grup selain berkongsi teknik dan tip memancing kuku serta berkongsi pengalaman memancing yang lain.
Penulis sendiri turut berterima kasih kepada pihak GNK terutama Abang Rosdi yang mengalu-alukan kunjungan penulis ke sini.
(Oleh: Namot Rules)
baca juga Info Spesies – Kenali ikan kuku putih
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan