Kami telah memilih boatman dari Kampung Permatang, Faizal kerana beliau sangat memahami kehendak pengilat. Mengilat ke sekeliling pulau sambil menghidupkan enjin menjadi teknik memancing di sana.
Faizal juga pandai memilih spot yang didiami GT iaitu di hujung tanjung yang berombak dan berbatu.
Ramai boatman tidak berani mendekatkan bot ke tepi pulau seperti Faizal. Justeru apabila gewang yang dilontar tidak sampai ke tepian Pulau Lau mengurangkan peluang untuk mendapatkan ikan.
Perjalanan dari jeti ke spot pertama hanya memakan masa 20 minit sahaja. Sampai sahaja kami di pulau Agas balingan dimulakan sambil bot tawaf di sekeliling pulau.
Tidak sampai 10 minit mengilat pancing saya sudah mengena GT. Balingan popper yang hampir dengan pulau memang pantang buat GT.
Hanya dengan beberapa aksi pop dari popper ia terus disambar oleh GT bersaiz sederhana.
Ads
Larian Gt biasanya akan membawa tali ke arah karang namun saya berjaya menahannya dengan joran yang Viper Hybrid yang agak keras.
Tali yang baru ditukar juga membuatkan saya begitu yakin menahan dengan mengetatkan drag ke tahap maksimum.
Selain dari GT biasanya banang atau todak sering mengganggu gewang yang dilontarkan. Yang paling tidak digemari pemancing ialah banang sering memutuskan tali perambut.
Bila terpaksa mengikat semula perambut dengan ikatan FG ramai pemancing mengeluh kerana ia boleh menyebabkan mabuk laut.
Kami bergerak dari sebuah pulau ke sebuah pulau. Apabila habis satu pusingan satu-satu pulau dan tidak ada sambaran kami terus berpindah dan jika ada sambaran satu lagi
pusingan di lokasi yang sama akan dilakukan oleh kerana Faizal yakin ada kawanan GT yang lain ada di tempat yang sama.
Ads
Apabila sampai di Pulau Batu Putih kami meneruskan teknik mengilat sebanyak dua pusingan kerana ia agak kecil dari pulau lain.
Faizal membawa kami keluar sedikit dari pulau apabila tiada sebarang sambaran dan mula memberi isyarat bahaya sudah tiba masanya untuk menurunkan jig.
Beliau berpandukan sonar dan bot berhanyut sahaja semasa kami jigging. Semasa jigging di Pulau Batu Putih saya berjaya menaikkan jemuduk yang pada awalnya saya sangkakan GT. Jig O-pass yang diunjun dengan laju tiba-tiba disambar dengan agak kasar.
Untuk menambahkan peluang untuk mendapat sambaran biasanya jig harus dilepaskan hingga ke dasar sebelum di karau. Namun begitu pemancing harus berhati-hati kerana ia sering menyebabkan jig sangkut ke karang.
Ads
Pulau Lalang
Pulau Lalang merupakan pulau yang berpantai dan dilengkapi dengan kemudahan seperti tandas dan bekalan air tawar dari air bukit yang berdekatan.
Jadi ia destinasi wajib yang perlu dilawati pemancing kerana ia sering di jadikan tempat berehat setelah separuh hari mengilat.
Saya mengambil peluang untuk mandi dan menyegarkan badan dengan tidur seketika sebelum menyambung untuk mengilat sesi petang.
Kebiasaannya kami tidak turun terlalu awal selepas berehat, Ini adalah kerana GT biasanya lebih galak menyambar gewang semasa lewat petang.
Daripada kami berpanas dan mengilat tanpa sebarang hasil lebih baik dipanjangkan sahaja masa berehat.
Semasa mengelilingi Pulau Nipis jam di tangan saya sudah menunjukkan angka 6.30 petang dan saya menyangka Faizal ingin terus pulang kerana sudah lewat petang.
Setelah Zali menaikkan GT yang terakhir saya sudah bersiap sedia untuk menyimpan pancing tetapi rupanya sesi mengilat kami masih belum habis.
Faizal berpatah balik ke Pulau Batu putih dan memberi kami peluang untuk mencuba di saat akhir. Kami mengilat sehingga hari betul-betul sudah gelap dan apabila tiada sebarang sambaran barulah Faizal membawa kami pulang.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Tanggal 12 April 2015, terpahat sebagai tarikh berlangsungnya acara Battle of Jigger, Pelindung Challenge 2015 yang mana merupakan edisi sulung pertandingan light jigging yang diadakan di Pantai Pelindung, Beserah, Kuantan.
Edisi sulung ini memperlihatkan sambutan penyertaan yang sangat memberangsangkan daripada kaki pancing khususnya peminat light jigging.
Menariknya, pelan asal pertandingan ini merupakan sekadar battle sesama rakan terdekat hasil usaha daripada Shah Right, Kay Red D, Nazim Nordin dan Epu Burn, namun tanpa diduga menjadi sebuah acara yang menghimpunkan 37 orang peserta dengan 9 buah bot digunakan sepanjang pertandingan.
Malah pertandingan ini juga turut menarik minat penaja iaitu Angler Buff Malaysia dan Pure Fishing Malaysia untuk turut sama menaja bagi memeriahkan pertandingan ini.
Menurut Shah Right, salah seorang pengelola utama pertandingan, melihatkan sambutan daripada kaki pancing terutama sekitar Kuantan dan Lembah Klang, pihak penganjur bercadang mahu menjadikan Pelindung Challenge sebagai acara tahunan.
Penganjuran yang lebih besar mungkin akan dirancang pada edisi seterusnya dan diharap Pantai Pelindung mampu menarik penaja yang lebih banyak untuk lebih memeriahkan edisi akan datang.
Pada hari pertandingan, para peserta berkumpul seawal jam 7.30 pagi untuk sesi taklimat ringkas dan bergambar. Jam 8.00 pagi, peserta menaiki bot masingmasing di Pantai Pelindung untuk terus memulakan pertandingan menaikkan ikan buruan menggunakan teknik jigging sehingga jam 6.00 petang. Hanya ikan hasil tangkapan dengan teknik jigging sahaja layak dipertandingkan.
Di akhir pertandingan, Sahbudin Selan berjaya mencipta reputasi sebagai juara sulung Pelindung Challenge 2015 apabila menaikkan gerong belang seberat 4.96 kg. Muhammad Zuhari Rosli dan Muhammad Imran Hafiz Muhammad Azzam pula tidak kurang hebat memberi saingan untuk keluar sebagai pemenang tempat ke-2 dan ke-3 dengan masing-masing menaikkan ebek (3.2 kg) dan talang seberat 2.98 kg.
Perkenalan dengan rakan dari Sabah, iaitu Ralf dan Alam yang bekerja di Semenanjung telah membuka pintu untuk saya sampai ke sana. Itupun selepas mereka meracun saya dengan gambar-gambar tembaring dalam trip mereka terdahulu.
Selepas berbincang, lepak di kedai makan dan bersembang di whatsapp, saya akhirnya menjejakkan kaki kali pertama di bumi Sabah atau lebih tepat lagi di Sandakan iaitu di kampung halaman mereka sendiri.
Setibanya di Lapangan Terbang Sandakan, kami bertiga, saya, Ralf dan Alam dijemput oleh adik Alam, Ulek dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda menuju ke Kampung Sugut yang terletak kira-kira 4 jam perjalanan dari Sandakan.
Hari pertama tiba di Kampung Sugut, kami hanya berehat sahaja di rumah dan saya mengambil kesempatan bersiar-siar di sekitar kampung. Malamnya kami menyiapkan peralatan senjata tempur.
JUMAAT (Day 2/6)
Selepas bersarapan, kami menuju ke di jeti berhampiran kampung berkenaan. Hanya lima minit sahaja dari rumah Alam dan lokasi pencarian tembaring adalah di Sungai Paitan. Selain nama tembaring dan kanai, orang di sini juga menyebutnya dengan nama ‘temaing’.
Di situ telah tersedia dua buah bot dan rakan lain yang menunggu kami. Saya, Ralf, Ujang menaiki bot yang dibawa oleh Daus. Manakala sebuah bot lagi yang dibawa oleh Farhan dinaiki oleh Ustaz Syukri, Alam dan Ulek.
Selepas 30 minit menaiki bot, kami memulakan trolling dan juga casting. Menurut Daus, mereka di sini lebih gemar bermain trolling dan bottom. Sesekali sahaja melakukan kaedah casting. Namun pagi tersebut, kami kumpau sekumpaunya.
Selepas solat Jumaat, kami sekali lagi turun ke lokasi tidak jauh dari susur sungai yang pertama tadi. Hasilnya kami berjaya memperoleh siakap merah, kerapu, baby GT dan juga anak alu-alu. Tiada tembaring berjaya diperolehi.
Setibanya di sebuah persimpangan sungai yang agak strategik dengan keadaan struktur kayu bakau dan nipah yang tenggelam kami memberhentikan sampan. Menurut tekong,
inilah lokasi di mana banyak tembaring bersaiz mega pernah dinaikkan. Apa lagi tanpa membuang masa saya dan Ralf memulakan sesi casting. Setelah lama memujuk penghuni dasar tiada seekor pun yang sudi menjamah.
Kami meneruskan sesi trolling di kawasan tersebut. Baru seminit Ralf menunda dah menerima sentapan kasar. Gewang Zerek saltwater series dengan kekuatan tali sulam 40lb berserta tali perambut Sufix 50lb ditekan ke bawah.
Keadaan menjadi kelam kabut disebabkan tali keluar mencurah-curah. Hanya beberapa minit bertarung ikan berjaya melepaskan diri. Kami melihat kesan ragutan ikan memang
sah ini tembaring. Jelas tertera gigitan bersaiz 1 inci seperti pontianak bak kata tekong kami. Anggaran saiz dalam 3 kilo ke atas.
Di penghujung waktu petang, saya dikejutkan bunyi sambaran yang kuat oleh bot di sebelah. Rupa-rupanya Ustaz Syukri yang melontarkan gewang pensil ke arah tebing, telah
mendapat satu sentapan kuat. Saya melihat bagaimana Ustaz Syukri bergasak menahan tali dari terus keluar dari spool kekilinya.
Disebabkan setup yang digunakan oleh Ustaz Syukri agak kasar, iaitu rod PE 1-3, kekili Penn Conflict 4000, tali braided 40lb dan perambut 50lb, akhirnya tembaring seberat 3.7
kg memihak kepadanya. Kami semua tumpang gembira dengan tangkapan tersebut, lebih-lebih lagi empunya diri yang baru berjinak dengan teknik casting.
Ini menambahkan lagi semangat kami yang tengah berkobar-kobar memburu ikan pujaan kaki casting Lewat petang, kami pulang semua ke jeti Kampung Sugut sambil memujuk hati saya, “esok masih ada”.
SABTU (day 3/6)
Awal-awal pagi lagi, saya telah bangun dan bersiap. Saya membelek apakah warna gewang yang mahu dipertaruhkan. Antara gewang yang saya bawa termasuklah top water, minnow
dan juga selaman dari jenama Rapala, Storm serta Halco, termasuklah gewang yang dikatakan killer Halco Sorcerer 125. Manakala set joran yang saya bawa adalah joran 10-
25lb berserta kekili Daiwa Ryoga 160HL yang dipadankan dengan tali 25LB dan perambut 40lb.
Kami melalui banyak spot yang berpotensi. Namun hanya GT juvenil dan siakap merah sahaja menjadi penghibur. Sentapan yang kuat pada mulanya saya anggap tembaring, tetapi hanyalah siakap merah yang terlekat di mata tiga gewang.
Situasi yang sama juga berlaku pada sebelah petangnya. Kali ini lebih teruk kerana perubahan air pasang surut yang terlalu cepat bagaikan torpedo menyebabkan ia langsung tidak sesuai untuk casting dan juga trolling.
Apa yang menggerunkan saya adalah, selain tembaring, sungai ini juga dipenuhi buaya dan mereka menasihati, buat tidak tahu sahaja fasal itu. Setakat ini, buaya di Sungai
Paitan pernah tidak kacau orang. Walau diberi jaminan oleh mereka, rasa gerun itu sebenarnya tidak boleh dielakkan.
Pada sebelah petangnya kami mencuba nasib di sebuah anak sungai yang agak terpencil yang dipenuhi dengan daunan nipah yang tenggelam.
Kami mencuba menggunakan gewang selaman dalam tetapi hanyalah kawanan bulan yang sudi menyambar.
Kami menukar teknik menggunakan gewang permukaan. Sentapan pertama hasil daripada lontaran Ujang telah disambut oleh sang tembaring.
Aksi akrobatik ikan yang menyambar gewang di tepi sampan kami membuatkan semua tergamam tapi sayangnya kurang kemas.
Semua yang berada di atas sampan menukar gewang pensil termasuk la saya sekali. Balingan ke celah-celah dahan nipah yang tenggelam membuahkan hasil apabila disambut kemas sang kanai.
Ternyata kudrat ikan ini amat dasyat! Kekili dan joran saya di henjut habis, saya cuba mengetatkan drag sedikit demi sedikit dan akhirnya tembaring berskala anggaran lebih 3 kilo menunjukkan dirinya di tepi sampan.
Di dalam hati saya, “Yesss akhirnya dapat lesen!” Tetapi sayang sekali henjutan ala-ala torpedo di saat akhir membuatkan saya berputih mata. Sahabat saya, Ralf yang berada
di belakang sampan membuat lontaran yang sama ke arah belakang dan akhirnya menerima sambaran sang kanai dan berjaya mendaratkan kanai berskala 1.5kg.
Kami semakin bersemangat untuk memburu spesies ini. Semakin hari menjelang malam semakin banyak sentapan ganas sang kanai diterima, tetapi semuanya tidak berjaya didaratkan. Hati semakin membara untuk membalas dendam pada keesokan hari.
AHAD (day 4/6)
Hari ketiga casting, saya berdoa semoga ada tembaring yang berjaya didaratkan. Daus dan Farhan membawa kami ke jaluran delta Sungai Paitan yang lain pula. Kali ini berhampiran dengan muara laut.
Pagi itu, kami memulakan aksi dengan trolling terlebih dahulu. Daus berkata kepada saya, hari ini kami pasti akan berjaya mendaratkan hasil. Malangnya sehingga ke tengah hari
saya masih belum mendapat apa-apa sambaran. Hanya todak dan baby GT sahaja yang sudi menyambar gewang. Bot yang satu lagi juga belum ada menampakkan tanda tembaring akan diperoleh.
Sesi sebelah petang, kami bertukar lokasi lagi. Akhirnya, tiba di satu spot yang berpotensi, saya melontarkan gewang permukaan Zerek trail weaver 65cm ke arah tebing. Karauan
selepas lontaran kali ketiga, tiba-tiba sahaja air di permukaan berkocak perlahan dan terus serta-merta sahaja tali menegang.
Saya hanya mampu menahan tali yang mencurah keluar dari kekili Ryoga 1016HL dengan karauan begitu sukar dilakukan. Akhirnya larian yang disyaki tembaring ini gagal dikawal dan akhirnya putus selepas ia memasuki reba. Terkesima saya seketika.
Ralf akhirnya memecah kebuntuan apabila dia menaikkan seekor tembaring yang masih baru. Tidak lama kemudian, dua kali lagi Raif menerima strike, namun tetap gagal menaikkan apabila dengan mudah gewang tersangkut direba.
Di lubuk berhampiran, saya sekali lagi mendapat sambaran, namun gagal menaikkan ikan ini. Kesnya sama sahaja iaitu, tali mencurah keluar bagaikan air walaupun drag diketatkan habis.
Malam itu, kami rancak bercerita perihal kejadian yang berlaku disiang harinya sambil saya sempat juga berkenalan dan lepak dengan beberapa orang pemuda kampung yang pulang
dari memancing dasar. Dengan menggunakan umpan ikan jenjulung dipotong dua, mereka pun berjaya memperoleh tembaring dan kerapu.
ISNIN (Day 5/6)
Ia hari terakhir saya di Sungai Paitan ini. Sama seperti hari semalamnya saya beranggapan hari ini tuah akan mengiringi nasib saya. Namun malangnya, saya dan Ralf asyik dibuli
sahaja. Kami hanya merasai tarikannya sahaja. Alam akhirnya berjaya memperoleh seekor tembaring, namun ia masih bersaiz juvenil.
Saya pula masih kumpau. Hari itu, kami hanya memperoleh siakap merah dan alu-alu sahaja.
SELASA (Day 6/6)
Dalam kapal terbang pulang ke Semenanjung, saya masih terbayang peristiwa sepanjang memancing di Sungai Paitan ini.
Saya begitu mengagumi kehebatan dan kegagahan tembaring ini. Peristiwa dibuli tembaring menyebabkan saya bertekad untuk datang lagi ke Sungai Paitan ini.
Biasanya saya akan mengikut nenek dan sepupu bila memancing. Daripada merekalah saya mendapat pengetahuan tentang betapa seronoknya memancing. Bila waktu ini, saya selalu berkunjung ke rumah nenek yang tidak jauh dari rumah saya.
Yang seronoknya bila saya datang, semua peralatan pancing telah pun sepupu saya sediakan sehinggalah bab nak pasang umpan cacing.
Kami akan berbasikal atau berjalan kaki di permatang berhampiran tanah sawah milik nenek. Bila ada lokasi berpotensi dan nampak deburan air, tanda ikan bermain, terus sahaja umpan dihulur.
Paling seronoknya, ialah bila ikan puyu menjamah umpan, hujung joran teleskopik melentur habis.
Kadang-kadang, bila saya lambat sedikit je sentap, ikan puyu berjaya masuk ke celah pokok kangkung air. Ada kalanya, saya bersama sepupu berlumba siapa yang paling banyak berjaya menaikkan ikan.
Selain ikan puyu, ikan lain seperti haruan, selat dan keli juga berjaya saya naikkan. Sebenarnya nama-nama ikan ini saya ketahui dari nenek saya. Pernah saya terperanjat dan lari lintang-pukang sampaikan menangis sebab terkejut bila saya terpancing ular.
Tetapi nenek dan sepupu saya terus sahaja ketawa sebab katanya itu bukanlah ular, tapi sebenarnya belut yang telah pun memakan umpan saya. Kemudian barulah saya tahu, rupa-rupanya itu adalah belut, bukannnya ular dan boleh di makan.
Nenek selalu memberikan sihat kepada saya dan sepupu yang lain, memancing ini perlu sentiasa sabar, tidak boleh bising dan kena hormati hak makhluk lain.
Kata nenek, kalau kita tidak mahu ikan tersebut, hendaklah lepaskannya semula. Begitu juga dengan saiz yang kecil, sebaiknya kita hendaklah lepaskannya semula.
Ikan puyu memang sedap dimakan, lebih-lebih lagi dimasak pedas, lemak, bahkan goreng pun sedap. Yang seronoknya, bila selesai memancing, nenek sudah tahu apa yang ingin dimasak. Selalunya apa yang nenek masak memang sedap.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...