Uncategorized

Trip Retro – Menebing Pantai Merdeka!!

Share

 

Saya yang berkunjung ke Kedah baru-baru ini turut berkesempatan mencuba memancing di pantai berkenaan. Trip ini turut disertai oleh beberapa orang rakan Addin dan keluarganya.

 

Pada awalnya, kami mengambil keputusan untuk memancing di sekitar muara yang mengunjur ke arah Pantai Merdeka. Kawasan ini juga turut dikenali dengan nama Bakar Arang ataupun Bukit Penjara.

 

Untuk ke kawasan tersebut, terpaksa berjalan kaki hampir 1 kilometer sebelum tiba di lokasi yang sesuai untuk aktiviti memancing. Ini kerana, di kawasan muara ini terdapat banyak langgai yang dipasang di sekitar muara.

Memancing di kawasan langgai ini bukanlah pilihan yang bijak kerana potensi untuk mata kail tersangkut di jaring langgai adalah amat tinggi.

 

Mujur semasa perjalanan ke lokasi, air masih surut. Kalau tidak penatlah juga meranduk air. Setelah tiba di lokasi yang sesuai, kami pun mula memacak khemah dan menyediakan unggun api untuk sesi pancingan sebelah malam.

 

Pada masa yang sama Pak Hassan cuba menjala tidak jauh dari khemah dipasang untuk mencari bekalan umpan udang. Sementara menunggu umpan dicari, kami mengambil kesempatan untuk mengikat perambut dan mata kail untuk sesi pancingan kami nanti.

 

Mat yang terlebih dahulu menyiapkan set pancingnya mengambil keputusan untuk mencuba nasib dengan berumpankan isi ikan termenung. Tidak sampai seminit umpan dihulurkan, pancing Mat terus direntap penghuni muara. Hasilnya, terkulai seekor ikan duri berskala 100 gram di hujung mata kail Mat.

 

 

Jom like & See First www.facebook.com/umpanmania101

 

Melihatkan ada getuan dari sang ikan, kami pun terus bersemangat untuk memulakan sesi pancingan. Apa lagi satu persatu ikan duri dan gelama berjaya kami daratkan. Memang seronok memancing di sini. Apa tidaknya setiap kali umpan tiba di dasar ada sahaja yang sudi menyambar. Tidak menang tangan kami melayani penghuni muara pada petang itu.

 

Menjelang senja, bekalan umpan untuk kami sudah lebih daripada mencukupi. Bayangkan sahaja satu tong yang kami bawa dipenuhi dengan udang pelbagai saiz hasil daripada Pak Hassan menjala. Ini belum lagi dicampur dengan umpan isi ikan termenung yang dibawa sebagai umpan tambahan.

 

Menurut Pak Hassan, untuk menjerat ikan pari, tuka, siakap, kerapu, tanda, serkut, dan gelama di sini, umpan udang hidup adalah yang paling sesuai sekali. Manakala bagi ikan duri pula, umpan isi ikan termenung lebih umphh untuk menarik perhatian spesies bersengat ini.

 

Apabila suasana bertukar gelap kami terus dihujani dengan pelbagai spesies ikan. Kali ini bekalan umpan yang ada semakin bertambah. Kebanyakan hasil yang tewas di tangan kami adalah ikan duri dengan berat skala 100 – 200 gram.

Adam yang baru berusia 8 tahun menjadi hero pada malam ini apabila jorannya paling kerap digetu ikan. Hasilnya, spesies duri dan gelama yang bersilih ganti.

 

 

Jom like & See First www.facebook.com/umpanmania101

 

AIR PASANG MALAM

Sekitar jam 9 malam, air mulai bergerak pasang. Dalam waktu ini kami perlu lebih berhati-hati kerana air bergerak pasang dengan sangat pantas di kawasan muara ini.

Disebabkan kawasan tebing yang sangat terhad di kawasan muara ini, kami mengambil keputusan untuk menuju ke hilir muara yang lebih dekat dengan kawasan parkir kenderaan kami. Ini bagi mengelakkan daripada kami terpaksa mengharungi air yang dalam.

 

Setibanya di kawasan yang agak bertebing, kami pun meneruskan sesi pancingan kami. Di sini, lebih banyak spesies ikan lain yang turut meragut umpan kami. Jika sebelum ini hanya duri dan gelama sahaja yang mendominasi, kini, ikan gerut-gerut, kuku, cermin, tanda dan bolos (atau turut dikenali dengan nama puting damak bagi orang Utara) turut tumpas di tangan kami.

 

Pesta ikan ini berlanjutan hingga ke jam 11 malam sebelum kami mengambil keputusan untuk pulang. Disebabkan keadaan air yang mulai penuh, kami terpaksa juga meredah air sebelum tiba di kawasan parkir kenderaan kami.

 

Jom like & See First www.facebook.com/umpanmania101

 

POTENSI MEMANCING

Melalui trip singkat penulis ke pantai Merdeka ini dapatlah penulis simpulkan bahawa lokasi di sini memang amat berpotensi untuk diketengahkan terutamanya untuk pancingan land-based. Walaupun hasil di sini bukanlah bersaiz mega, namun keseronokan memancing dan bersantai bersama rakan mahupun seisi keluarga itu dapat penulis rasai di sini.

 

Cuma sedikit yang penulis kesalkan ialah lambakan langgai yang ada di sekitar muara ini. Bukannya apa, penulis khuatir dengan nasib anak-anak ikan yang turut terperangkap di jaring langgai tersebut.

 

Sedikit sebanyak ini boleh menyumbang kepada kemerosotan stok ikan yang ada di sini. Bagi pendapat penulis alangkah baiknya jika langgai ini dihapuskan atau dihadkan penggunaannya di sekitar muara ini.

 

Penulis percaya jika kawasan ini dijaga dan diberi perhatian oleh pihak berwajib, pastinya ia akan dapat menggamit lebih ramai pengunjung mahupun pemancing untuk berkunjung ke sini.

Published by
Amang