Trip Retro: Menduga Perairan Merchong

Share

 

Selain memancing bersama rakan sekepala, kerap juga saya memancing bersama keluarga, lokasi perairannya di Merchong, Pekan, Pahang boleh dianggap destinasi tahunan yang wajib memancing bersama keluarga.

 

Sebab apa saya pilih Merchong? Tak tahulah kenapa. Agaknya saya sudah serasi dengan perairannya dan juga khidmat tekong yang ada di sana. Lagipun, boleh dikatakan setiap kali trip saya dan keluarga ke sana, hasilnya jarang mengecewakan.

 

Sempena cuti umum yang lalu, sekali lagi trip keluarga diatur dan seperti biasa, kami akan bertolak awal sehari dari Kuala Lumpur ke Pekan dan akan berehat seketika di Chalet Kampung Merchong sebelum turun ke laut.

 

 

Kami menggunakan khidmat tekong Zamri, salah seorang dari enam tekong berpengalaman yang ada di sini. Biasanya, jika turun ke sini, saya tidak menetapkan sebarang target ikan sasaran.

 

Apa sahaja ikan yang boleh dibuat lauk saya terima. Lagipun, teknik yang kami gunakan, bottom dan juga pancingan apollo memang untuk memancing spesies demersal dan juga ikan-ikan karang.

 

Dengan bot fiber kapasiti 6 orang, tekong Zamri membawa ke lubuk-lubuk karang kegemarannya. Sebelum tiba, kami akan mengunjun apollo terlebih dahulu di unjam-

unjam yang terdapat di sini untuk mendapatkan ikan karang sebagai lauk yang boleh dibawa pulang.

 

Tiba sahaja di lokasi sasaran, tanpa berlengah lagi saya yang menggunakan kekili Daiwa Fream Kix 3500 dan rod Eupro melabuhkan umpan hidup ke bawah.

Tanpa menunggu masa yang lama, kekili berbunyi kuat, memandakan tali ditarik ikan dan serta-merta juga hujung rod saya melentur mencecah permukaan air.

 

Nampaknya, kudrat melawan makhluk di bawah sana memang kuat dan berdasarkan larian padunya, tekong mengandaikannya, ia penangan gerong belang, hampir 10 minit

bertarung, akhirnya ikan yang betul diteka oleh tekong memunculkan diri di permukaan air.

 

 

Selang berapa lama, dua orang abang ipar saya turut menerima henjutan padu serentak, apalagi agak kelam-kabut dibuatnya. Mujurlah salah seekor ikan tidak menjunam ke bawah bot serentak, kalau tidak, alamak habislah tali berbelit.

 

Selepas berhempas pulas, akhirnya berjaya juga abang ipar saya menaikkan ebek dan juga gerong belang sekitar 3 hingga 4 kg. Masing-masing tersenyum lebar.

Nampaknya memang rezeki kami, sudah dapat lesen bergasak dengan ikan yang terkenal memiliki daya juang yang tinggi.

 

Sebelah petangnya, tekong Zamri mengajak kami ke satu lubuk karang terbelah, kira-kira setengah jam dari lubuk pertama. Di sini, kami berjaya menaikkan beberapa ekor lagi ebek dan aruan tasik, cermin dan sagai sebagai habuan untuk dibawa pulang.

 

Lewat petang, kami menamatkan trip dan pulang semula ke jeti Kampung Merchong. Syukur, kerana trip kali ini berjaya menaikkan beberapa spesies yang kuat melawan dan ikan-ikan kecil lain untuk dibawa pulang ke Kuala Lumpur.

(Oleh: Sufian Nayan)

 

Published by
Amang