Jam 9 pagi, kami tiba di Matu Daro. Sebaik tiba, kami bertiga masing-masing menyiapkan set pancing. Tanpa membuang masa, kami terus sahaja casting sebaik kereta diletakkan di bahu jalan sambil emergency signal dihidupkan.

 

Di lubuk pertama, lontaran jump frog melewati kawasan terbuka yang airnya hitam (air tanah gambut) terus disergap oleh si pemangsa, tetapi rabut. Ini sudah baik kata saya, beberapa kali melontar lagi, akhirnya saya berjaya mendapat strike, hasilnya haruan.

 

Di seberang jalan, Lai Malie dan Zafri, masing-masing juga berjaya memperoleh haruan dan juga bujuk.

Ini sudah bagus, cuma saya sahaja yang belum dapat sang bujuk lagi. Akhirnya sebaik sahaja saya berjalan kaki menukar spot, saya memperoleh sang bujuk pertama.

 

Untuk memperoleh bujuk, saya mengikut saranan mereka agar jump frog perlu dilontar serapat mungkin dengan reba kayu. Kerana di situlah bujuk berdiam diri, tidak seperti

haruan yang boleh diperolehi di pinggir tebing atau celah rumpai. Lontaran pula perlu dilakukan berhati-hati dan tepat bagi mengelakkan kes ‘terbabas’ iaitu tersangkut dia atas atau dahan pokok yang akan menyebabkan ikan culas.

 

Kami tidak menunggu lama di sesuatu spot, kerana terdapat banyak lubuk yang perlu di terjah. Kami memperuntukkan kira-kira 10 minit untuk menunggu.

Sekiranya kurang sambaran atau saiz yang sama kami akan berpindah.

 

Berbanding trip dahulu, kali ini saya menggunakan 100 peratus jump frog tajaan oleh Farang Ba.

Ads

Jadi ada kelemahan dan kebaikan ketika saya menggunakan umpan jenis ini berbanding umpan katak getah @ plastik.

 

Kelemahannya, ia susah untuk menjerat snakehead bersaiz kecil. Asyik rabut sahaja, ekoran spesies sasaran tidak boleh menyambar jump frog berkenaan.

Disebabkan itu juga, saya gagal mendapat runtu pada hari itu berbanding Zafri dan Lai Malie yang berjaya memperoleh runtu menggunakan katak getah.

Untungnya saya pula berjaya strike bujuk dan haruan yang besar-besar.

 

 

Apa yang membuatkan saya jealous bila berkunjung ke Matu Daro ini adalah, spesies snakeheadnya begitu banyak, cukup di tepi jalan raya sahaja.

Buka pintu kereta dan boleh cast. Momen begini pasti saya tidak akan saya jumpai di Semenanjung, di mana setiap kali di spot yang saya berhenti, strike demi strike pasti akan saya perolehi.

Ads

Setiap lontaran yang dibuat, jantung saya pasti berdebar, kerana deburan kuat terutama sang bujuk besar pasti akan menghentam jump frog yang saya lontarkan.

 

Mengapa spesies ini cukup banyak di daerah ini dan tidak di tempat lain. Dua kali saya bertandang ke sini, saya dapat merumuskan beberapa faktor.

Yang pertama, spesies snakehead ini hidup dengan bebas tanpa sebarang tekanan daripada pemancing.

Walaupun terdapat geng caster yang semakin berkembang di sini, tetapi spesies ini bukanlah dijadikan sebagai hidangan.

 

Senario ini berbeza dengan di Semenanjung yang menjadikan spesies snakehead terutama bujuk dan haruan sebagai antara ikan yang dilihat sedap dimakan, selain untuk kegunaan

perubatan dan sebagainya. Selain itu, harganya yang tinggi, menjadi punca lain spesies bujuk dan haruan diburu.

 

Ads

Oleh sebab Matu Daro berhampiran laut, masyarakat yang majoritinya kaum Melanau di sini lebih terarah kepada ikan laut.

Ia juga antara sebab mengapa grup memancing yang ada di sini lebih gemar kepada pancingan muara dan jigging.

 

Faktor keduanya adalah faktor persekitaran di mana muka buminya yang lembap dan luas, berpaya, bersaliran baik dan tanah gambut (air hitam) antara sebab mengapa ikan tumbesarannya sihat.

Selain itu, daerah Matu Daro serta kawasan lain seperti Dalat, Oya dan Mukah adalah kawasan tanaman padi tradisional dan penanaman pokok sagu.

Jadi tidak hairanlah ia habitat terbaik untuk spesies-spesies ini membiak dengan baik, bertubuh sihat lagi montok dan warna yang cukup menarik.

 

 

Lewat petang kami menamatkan trip. Rupa-rupanya kami memperoleh lebih 30 ekor strike setiap orang terutama bujuk yang paling banyak diikuti haruan.

Runtu pula agak menyepi kali ini dengan hanya kurang dari 5 ekor sahaja. Kesemua tangkapan di lepaskan kembali ke habitat asal. Sememangnya bujuk Matu Daro memang ohsem la!!!

 

Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!

Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan

Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI