Trip Retro – Memburu Penyamun Merah Muara

Share

 

Pancingan ikan siakap merah (Mangrove jack atau digelar MJ), bukanlah aktiviti pancingan biasa dan sama dengan pancingan ikan-ikan lain. Ia membabitkan sebuah kredibiliti tinggi seorang yang digelar pemancing tegar untuk mendaratkannya. Ini kerana, spot siakap merah liar terutama di kawasan muara dan kuala sungai adalah kubu terbaik untuk ikan ini meloloskan diri.

 

Bagi kami sendiri, siakap merah yang kami gelarkan si ‘penyamun merah’ ini, bukanlah spesies yang mudah untuk ditewaskan, kehebatannya persis seorang atlet pecut 100 meter berlari yakni sifat semula jadinya yang licik dan pantas.

 

 

Malah, bagaimana cara pemangsa licik muara ini menarik mahupun mencuri gewang semasa casting di celahan reba juga dikagumi oleh kami. Ia bersembunyi di celahan reba sambil mengintai dan menunggu mangsa yang lalu berhampiran tempat persembunyian.

 

Sebab itulah juga, bila sahaja strike dan kaki pancing terlewat beberapa saat menahan asakannya, pasti akan berputih mata. Sama ada mata gewang tersangkut di celahan reba ataupun mata kail terkangkang.

 

Bagi kaki casting, mengaplikasikan tali dan mata kail yang bersesuaian perlulah diambil kira dalam usaha mencari ikan ini. Jika tidak, siakap merah ini mudah melepaskan diri daripada kawalan pemancing dan kemudiannya memboloskan dirinya begitu sahaja setelah bersusah payah mencuba mengaraunya naik ke permukaan.

 

 

Lubuk Rahsia

Menyedari masih ramai lagi pemancing yang tidak mengamalkan pancingan tangkap dan lepas, kami bersepakat merahsiakan lubuk yang kami lawati kali ini. Memadailah sekiranya berkongsi gambar bersama pembaca melihat ‘kepuasan’ yang kami sama-sama rasai.

 

Sudah Rezeki Kami

Dalam usaha mencari spesies ini, kami turut memperoleh strike dari ikan lain seperti bulan atau tarpon dan juga alu-alau. Elvi Ching sempat melayan alu-alu ini yang turut meronda di kawasan pencarian kami mendapatkan siakap merah.

 

Berderau juga Elvi Ching apabila lontaran gewang yang disangka siakap merah, direntap rakus oleh alu-alu yang turut mendiami di kawasan spot ini. Walaupun akhirnya agak mudah untuk mengekangnya daripada melepaskan diri, tapi semangatnya untuk mencuba melepaskan diri menambah keseronokan bertarung dengan spesies ‘gigi tajam’ ini.

 

 

Pada masa yang sama, kami turut melayan ikan bulan yang kebetulan boiling di permukaan air. Lompatan demi lompatan bulan yang cuba melepaskan diri apabila mula menghampiri bot kami amat mengasyikkan.

 

Jangkaan kami pertembungan dengannya agak mudah, ternyata meleset kerana banyak ekor juga yang `miss`, apabila lompatan akrobatiknya berjaya melepaskan mulutnya dari mata gewang.

 

Suasana di atas bot menjadi riuh rendah seketika apabila berlaku strike serentak. Detik Menarik! Kami kemudiannya meneruskan pemburuan siakap merah dan apabila bot memasuki satu anak sungai, Elvi Ching melontarkan gewangnya di satu spot tidak jauh dari tebing.

 

Tiba-tiba sahaja satu sergapan kuat diterima oleh Elvi dan sepantas kilat, dia melakukan hook-up dan strike! Elvi terus sahaja menahan asakan sambil menahan asakan dan akhirnya selepas beberapa minit kemudian, si ‘penyamun merah’ ini akhirnya berjaya didaratkan.

 

 

Tuah buat Elvi yang berjaya memperoleh siakap merah bersaiz dewasa dan matang. Sudah tentulah, saat ketika strike, ia momen yang amat didambakan oleh kaki-kaki casting.

Sergahan rakus ia menyambar gewang dan terus melarikan gewang merupakan suatu detik yang tidak akan dilupakan oleh mana sahaja kaki casting tegar.

 

Lewat petang, beberapa lagi strike diterima sebelum kami menamatkan pencarian spesies tersebut. 2 ekor yang diperolehi Lim Kim Peng adalah bersaiz kecil dari tapak tangan dan kami telah lepaskan semula.

 

 

Walaupun secara keseluruhannya tidak lumayan hasilnya, kami pasti tidak akan serik untuk bertandang ke sini lagi. Jadi, kepada pemancing di luar sana yang belum ada lagi lesen ikan ini, silalah berbuat demikian, kerana si penyamun merah ada karannya yang tersendiri.

 

Published by
Amang