Oleh: KD Negri
Sungai Timun, Linggi sememangnya terkenal dengan aktiviti memancing udang galah. Sama ada ia udang galah, sepit biru atau jenggo, ia sememangnya spesies yang seronok dipancing dan sedap dimakan.
Selain udang galah, sebenarnya Sungai Timun lebih dikenali dengan kehadiran sang bedal aka buaya.
Mungkin juga dengan kehadiran sang bedal ini maka populasi si sepit biru terkawal di Sungai Timun.
Ada yang berkata, ada udang ada buaya. Itu memang tidak dinafikan, Tapi saya pula berpendapat, ada buaya ada udang.
Maka itulah sebabnya Sungai Timun sentiasa ada udang. Bila ada buaya, maka kuranglah sedikit orang turun menangkap udang.
Begitulah halnya pada saya. Kalau tak kerana join orang setempat, maka sampai bila-bila pun saya takkan berani nak memancing udang galah di Sungai Timun.
Oleh kerana bertemankan orang setempat, maka cara kami memancing udang galah agak berbeza sedikit. Biasanya, orang akan menyewa sampan dan memancing pada sebelah siang hari saja.
Tapi kami berenam menaiki dua buah sampan di Jeti Sungai Timun pada pagi Sabtu dan kembali ke jeti pada petang Ahad, keesokan harinya.
Walaupun Sungai Timun terkenal dengan kehadiran sang bedal tapi tidak bermakna setiap inci sungai didiami buaya. Sungai Timun itu sendiri bukanlah cuma sejengkal.
Sekiranya bertembung juga dengan buaya sekalipun tiada apa yang perlu dirisaukan kerana sehingga kini belum pernah lagi berlakunya kejadian yang tidak diingini antara buaya dan manusia di Sungai Timun.
Berpandukan rakan anak jati Sungai Timun, kami dibawa ke lubuk-lubuk yang berpotensi. Kami memancing di atas sampan sehinggalah ke petang.
Dalam pada masa yang sama kami turut meninjau beberapa kawasan tebing yang sesuai untuk dijadikan tapak perkhemahan untuk kami berehat pada malam hari dan berpotensi untuk pancingan tebing juga.
Hasil seharian memacing di atas sampan bolehlah dianggap lumayan juga bagi kami yang baru pertama kali turun memancing udang di Sungai Timun ni.
Hasil itu kami jadikan juadah pada sebelah malam. Selain alatan ringkas perkhemahan, kami turut membawa alatan mmemasak dan makanan kering. Tentu saja kami tidak lupakan mi segera.
Apa lagi yang lebih enak dimakan selain mi segera udang galah bersama kopi O!
Hasil pancingan dari tebing pada malam harinya agak perlahan. Namun saiz udang yang diperoleh agak kasar-kasar juga. Kami memancing sehingga mana mata larat berjaga.
Keesokan pagi setelah bersarapan ala kadar dengan apa yang ada, kami menyambung kembali aktiviti memancing udang galah di atas sampan sehinggalah kembali ke jeti pada petang harinya.
Biarpun hasil tidak seberapa tetapi dapatlah juga membawa pulang hasil perut Sungai Timun untuk ahli keluarga merasainya bersama.
baca juga Pancingan udang galah 101
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan