Jam 8.30 pagi kami bot mula bertolak menghulu sungai untuk ke lubuk ikan lais yang bernama Sungai Mati.
Lubuk yang berada di hulu Sungai Lenggor, Mersing ini dikatakan tempat berkumpul ikan lais ketika musim air besar atau banjir.
Bila air sungai surut semula maka ikan-ikan lais ini akan berkumpul dan terperangkap di sana.
Perjalanan kami perlu berhati-hati dan perlahan kerana air sungai yang kecil dan cetek. Banyak tunggul kayu yang timbul.
Kami perlu mengelak tunggul-tunggul kayu ini supaya tidak terlanggar bot dan mengakibatkan bot bocor.
Disamping itu juga banyak pokok tumbang yang merentang sungai. Dengan menggunakan gergaji berantai kami bergotong-royong memotong dan membuang pokok-pokok yang merentang sungai ini. Ini membuatkan perjalanan kami menjadi lebih lambat.
Apabila perjalanan hampir sampai di tempat yang dituju air sungai menjadi lebih cetek. Kami perlu turun dan menarik bot masing masing yang terkandas di dasar pasir.
Ada beberapa tempat yang cetek dan kami perlu turun untuk menarik bot. Akhirnya kami sampai kelubuk tersebut setelah 7 jam perjalanan.
Kami segera memasang peralatan pancing dan terus memancing. Umpan yang kami gunakan adalah cengkerik.
Memang betul ikan lais banyak di sana. Semua geng tak henti-henti menarik ikan ini satu persatu. Ikan lais saiz 3-4 jari banyak didaratkan.
Jam 6.00 petang kami naik ke darat di tebing lubuk tersebut untuk mendirikan khemah dan menjadi kediaman kami. Unggun api juga kami buat pada waktu malam.
Petang itu kami masak bersama-sama. Selepas makan malam kami mencuba untuk memancing ikan baung. Namun hasilnya agak kurang memberangsangkan. Hanya 3-4 ekor sahaja ikan baung yang kami peroleh bagi setiap bot.
Kami bertukar semula kepada pancingan lkan lais dengan menggunakan pelampung yang diikat light stick. Lais juga galak makan pada waktu malam.
Pantang baling saja pasti pelampung akan cepat tenggelam. Jam 1.00 pagi kami pulang ke khemah untuk berehat dan tidur.
Selepas sarapan, kami sambung kembali aktiviti memancing ikan lais di lubuk yang sama. Pada sebelah pagi juga ikan lais galak memakan umpan.
Teknik memancing lais yang kami praktikkan ialah perambut stail apolo 2 mata. Mata saiz kecik no 12 Cap Helang sudah mencukupi.
Batu ladung gantung saiz 4-6 sudah memadai. Jam 12.00 tengah hari kami kembali ke khemah untuk berkemas dan pulang semula ke pangkalan.
Hasilnya… 6 tong ais ikan berjaya kami pancing. Semua geng sangat gembira dan kami anggap misi ini berjaya.
Perjalanan balik ke pangkalan lebih lancar kerana banyak rintangan pokok yang tumbang semalam telah dipotong.
Namun salah sebuah bot kami terlanggar tunggul dalam air dan bocor. Nasib baik bot masih boleh dinaiki hingga selamat tiba ke pangkalan.
Jam 4.00 petang kami sampai ke pangkalan sekaligus menamatkan sesi memburu lais hulu Sungai Lenggor.