Sepanjang jajaran sungai menghala ke laut Pelabuhan Klang ini, sebenarnya bukan sedikit rumah rakit yang dapat dilihat di kawasan Teluk Gong ini. Terdapat kira-kira 30 buah rumah rakit yang tersergam bertebaran dan setia menerima kunjungan kaki pancing saban hari.
Rumah rakit di sini biasanya dimiliki oleh orang perseorangan dan seorang pemilik biasanya memiliki lebih daripada satu rumah rakit. Keadaan di rumah rakit juga rata-rata cukup selesa kerana prasarana atau kemudahan yang disediakan seakan sebuah chalet terapung.
Setiap rumah rakit di Teluk Gong rata-rata dilengkapi dengan tilam, ruang dapur untuk memasak, bilik air dan juga televisyen. Jadi anda yang mahukan suasana pancingan santai bersama keluarga atau rakan-rakan, mungkin boleh berkunjung ke sini nanti.
Ads
Saya berkesempatan berkunjung ke salah satu rumah rakit di Teluk Gong yang dimiliki oleh Zainudin. Hanya memakan masa kira-kira setengah jam perjalanan dari Shah Alam, saya dan rakan tiba di Jeti Telok Gong. Tidak menunggu lama, kami dijemput oleh boatman iaitu Abang Jais dan terus dibawa ke rumah rakit yang mengambil masa lima minit dari jeti.
Ads
Seperti dijelaskan pada awal tadi, rumah rakit Zainudin ini turut lengkap dengan kemudahan dan sangat selesa. Keadaan kebersihan di bilik air dan ruang dapur juga agak memuaskan. Menurut Abang Jais, memang menjadi rutin baginya bagi mengekalkan kebersihan rumah rakit untuk keselesaan pengunjung.
Sewaktu kunjungan kami, keadaan arus agak laju kerana air pasang besar. Berbekalkan umpan udang dan perumpun, beberapa spesies agak galak menjamah umpan ialah ikan duri, gelama dan gelama pisang. Spesies lain tidak ada yang sudi mungkin kerana keadaan air yang besar. Walaupun begitu, kami tidak menang tangan melayan spesies tersebut terutama sekitar jam 8-10 malam.
Ads
Menurut Abang Jais, rumah rakit Zainudin yang beroperasi sejak tahun 1997 ini telah menyaksikan banyak spesies ikan pernah dinaikkan. Antaranya spesies pari, senangin, gemang dan siakap. Namun menurut pemerhatian peribadi Abang Jais, waktu yang sesuai ialah ketika air kecil dengan arus sedikit perlahan. Apa pun, kami tetap menikmati keseronokan melayan gelama pisang ketika ke sini.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Terdapat pelbagai sungai yang boleh dikunjungi di sepanjang Sungai Tembeling antaranya Sungai Terrengan, Keniam, Sat dan Sephia. Sungai keniam merupakan salah satu cabang sungai yang terdapat di Sungai Tembeling yang terletak di Taman Negara Kuala Tahan, Pahang.
Sungai Keniam amat terkenal dikalangkan peminat atau pemancing ikan air tawar dan kaki trekking. Apa yang menarik tentang Sungai Keniam ini ialah sungai ini masih kaya dengan populasi ikan air tawar paling mahal di Malaysia iaitu ikan kelah merah.
PERANCANGAN
Walaupun hasil Sungai Keniam dikatakan tidak semeriah dulu dan sukar diperolehi, ikan kelahnya tetap masih ada. Dalam merealisasikan memperoleh ikan idaman ini, saya telah mengaturkan satu trip seramai 24 orang ke Sungai Keniam selama 4 hari 3 malam.
Untuk ke sana tidaklah terlalu sukar, kami hanya perlu membuat tempahan bot yang banyak terdapat di Kuala Tahan. Tanpa perlu bersusah payah, hanya taip sahaja perkhidmatan sewa bot ke Taman Negara di Google, pasti memberi pelbagai maklumat tentang pelbagai pilihan pakej untuk ke sana berserta nombor telefon orang yang perlu dihubungi.
Selain itu, pelbagai peralatan perkhemahan dan keperluan makanan perlu kami sediakan sebagai persiapan ke sana. Memandangkan Sungai Keniam amat terkenal di kalangan pemancing sungai pergunungan, lokasi ini pasti dilawati oleh pemancing setiap minggu. Oleh kerana itu, pihak Taman Negara Pahang mewajibkan setiap pengunjung yang hendak ke sana memohon permit.
Antara permit yang perlu dipohon ialah permit sewa tapak perkhemahan dan permit memancing. Ini kerana pihak Taman Negara Pahang akan memantau setiap kemasukan pengunjung di sepanjang sungai yang terdapat di Sungai Tembeling supaya kejadian over fishing tidak berlaku serta menjamin populasi ikan-ikan yang terdapat di sungai-sungai ini.
Pengunjung juga dilarang keras membawa sebarang jaring atau jala, bom ikan, tuba dan senapang ikan ke sana. Jika masih terdapat pengunjung yang berdegil membawa peralatan yang dilarang ini, tindakan tegas akan diambil serta merta oleh pihak Taman Negara.
LATA SAID
Selepas membuat pendaftaran di pos Taman Negara Pahang, kami bergerak menongkah arus Sungai Tembeling untuk ke lokasi yang dirancang. Sebelum itu, kami telah berbincang bersama pengusaha bot tentang lokasi perkhemahan kami nanti. Di Sungai Keniam terdapat beberapa tapak perkhemahan yang di sediakan untuk pengunjung antaranya ialah di Lubuk Rinching, Lubuk Rawa dan Lata Said.
Kami telah memutuskan untuk menginap di Lata Said memandangkan kawasan ini ialah lubuk paling berpotensi mendapat ikan sasaran. Perjalanan untuk ke sana memakan masa selama 3 jam perjalanan menaiki bot dari jeti Kuala Tahan. Selepas 1 jam perjalanan, kami sempat singgah di Kampung Pagi untuk membeli sebarang keperluan tambahan.
Tiba sahaja di Sungai Keniam, kelihatan perjalanan kami menjadi lebih mencabar. Kekipas bot terpaksa ditukar kepada saiz lebih kecil kerana setiap bot akan melalui ruang sempit yang penuh dengan batu-batuan yang banyak terdapat di sepanjang sungai. Sekali sekala kami terpaksa mengerah tulang empat kerat kami membantu boatman menolak bot apabila berada di kawasan cetek yang tidak mampu dilalui oleh bot.
SANG BADONG
Selepas melepasi beberapa cabaran, akhirnya kami tiba di Lata Said. Dengan segera kami mengangkat segala kelengkapan kami di tapak perkhemahan. Selepas menyediakan khemah, kami sudah tidak sabar-sabar lagi untuk memancing. Yuhilmi yang mencuri-curi memancing ketika kami sibuk menyediakan khemah terus mendapat sambaran sebarau yang layak digelar sang badong.
Sang Badong yang mempunyai berat hampir 3kg ini menyambar sesudu Abu Island miliknya dan lokasin tangkapan hanya di depan tapak perkhemahan kami. Ia pasti menggujakan kami untuk memancing. Baru depan tapak perkhemahan kami sudah boleh mendapat Sang Badong, ini belum lagi kami singgah ke lubuk-lubuk lain yang berpotensi.
Hari pertama kami di Keniam, banyak kami habiskan masa memancing di lubuk-lubuk berhampiran dengan tapak perkhemahan kami. Beberapa ekor tengas bersaiz juvenil berjaya kami perolehi. Apabila malam menjelma, kami berpesta pula dengan ikan baung yang rakus menyambar umpan cengkerik yang kami bawa. Kebanyakan baung akar yang kami perolehi sebesar saiz 3-4 jari orang dewasa sahaja. Sudah pasti hasil tangkapan kami pada hari pertama ini dijadikan hidangan makan malam kami.
MENONGKAH ARUS
Pada hari kedua, awal-awal pagi lagi boatman menyarankan kami supaya berpecah kepada 2 kumpulan. Kumpulan pertama akan berjalan kaki meredah hutan rimba untuk naik lebih jauh ke hulu untuk memancing ikan. Kumpulan kedua akan menaiki bot menuju lubuk-lubuk di bawah seperti Lubuk Rawa atau Lubuk Rinching.
Sambil menuju ke lubuk tersebut, kami boleh mengilat sepanjang perjalanan di atas bot. Saya sendiri bercadang untuk mengikuti kumpulan trekking. Perjalanan ke lubuk yang dicadangkan oleh boatman mengambil masa 1 jam. Sepanjang perjalanan, kumpulan kami terpaksa menongkah arus sebanyak tiga kali untuk ke seberang sungai.
Menurut boatman, lubuk ini merupakan syurga buat ikan kelah dan tengas jika kena dengan masanya. Dengan segera kami terus melabuhkan umpan sawit yang dibawa dengan harapan mendapat lesen ikan idaman. Tanpa menunggu lama rod milik Cho’ort terus melengkung tanda telah disambar oleh ikan. Ikan kelah bersaiz 1kg berjaya dinaikkan.
Sekali-sekala kelihatan hamburan air berdekatan lokasi kami memancing tanda sang sebarau sedang galak menyambar anak-anak ikan. Lantas rod casting dicapai dan lontaran spoon dibuat ke arah kawasan hamburan tadi. Serta-merta sesudu Abu Island II disambar oleh sang sebarau seberat 750gram.
Selepas beberapa jam bertandang di sini, kami mula bercadang untuk pulang ke kawasan perkhemahan. Sempat juga boatman yang menjadi guide kami mencari cacing sungai sebagai persediaan untuk memancing malam dan hari seterusnya.
Apabila malam menjelma, kami hanya bersantai-santai di kawasan perkhemahan kami sambil memancing. Perbincangan tentang rancangan esok lebih diberi tumpuan. Selain itu bagi yang berhati waja, mereka meneruskan memancing di lokasi yang berhampiran hingga lewat malam.
LUBUK RAWA
Hujan pada lewat malam membuatkan kami liat untuk bangun awal. Tetapi semangat hendak memancing masih membara di dalam diri kami. Turunnya hujan, membuatkan air yang jernih di Sungai Keniam menjadi keruh. Hari ini saya bercadang untuk bertandang di Lubuk Rawa untuk memancing. Seperti semalam, umpan dasar yang kami gunakan ialah umpan biji sawit. Selain itu buah ara masak yang banyak terdapat di sana juga digunakan sebagai umpan.
Air sungai yang keruh dan berarus laju membuatkan ikan menjadi sukar dipancing. Hanya lampan, anak tenggalan, baung dan beberapa ikan kecil yang berjaya kami perolehi. Hingga ke lewat petang kami memancing tanpa sebarang hasil yang boleh dibanggakan.
KELAH MASAK TEMPOYAK
Alhamdulilah, hasil yang diperolehi mereka amat membanggakan jika dibandingkan dengan hasil tangkapan kami di Lubuk Rawa. Ikan kelah dan tengas banyak diperolehi mereka. Selain itu, baung akar juga banyak diperolehi menggunakan umpan cengkerik dan cacing sungai.
Ikan yang diperolehi segera diuruskan oleh tukang masak kami. Memang menggiurkan bila mana tukang masak memberitahu akan masak menu masakan gulai tempoyak. Memang tidak mampu kami tolak jika menu masakan terkenal negeri Pahang terutamanya apabila masakan ini melibatkan ikan kelah.
Ikan selebihnya akan kami bakar sebagai hidangan sampingan. Pucuk paku liar dan pucuk hutan menjadi hidangan sayur dan ulam-ulaman. Selain itu siput sungai yang dikutip oleh boatman menjadi salah satu hidangan istimewa kami. Beginilah keistimewaan apabila berkhemah di dalam hutan, setiap hidangan masakan seboleh-bolehnya diambil daripada sumber alam semula jadi.
Selepas selesai makan, kami meneruskan usaha memancing pada malam terakhir ini. Terasa amat rindu dengan suasana damai dan hening apabila berada di dalam hutan. Udara segar dan pemandangan indah amat berbeza dengan hiruk pikuk di bandar. Sekurang-kurangnya trip singkat ini telah banyak menghilangkan stress.
Sekiranya anda berhasrat memancing dalam suasana santai dan damai tetapi dalam masa yang sama dapat tidak menang tangan menarik ikan, maka anda perlu menyenaraikan Kolam Pancing Harmony Klang dalam kamus memancing anda.
Melangkah masuk ke kolam pancing komersial air tawar berkeluasan satu ekar yang terletak di Rantau Panjang, Klang yang berlandskapkan kawasan kebun kelapa dan pokok buah-buahan, anda akan disajikan dengan sebuah kolam yang pada mata kasar seperti biasa-biasa sahaja.
Kolam berukuran 100 meter panjang dan 40 meter lebar, dengan kedalaman sekitar satu hingga tiga meter itu seperti tiada bezanya dengan kolam-kolam pancing lain. Namun di dalam tersebut tersembunyi lebih 10 tan ikan khususnya spesies patin yang sentiasa kelaparan.
Dengan saiz kolam yang tidak besar dan terdapat lebih 10 tan ikan yang sentiasa kelaparan itulah menjadi jaminan setiap pemancing yang mengambil pakej memancing RM 30 untuk tempoh lapan jam tidak akan kumpau atau gagal menarik walau seekor ikan.
“Kami tidak akan biarkan pemancing bangau (tak dapat tarik ikan) dan sedia memberi tunjuk ajar termasuklah menyediakan umpan supaya pemancing boleh pacak-pacak. Malah ada pemancing yang berjaya pacak sehingga 50 ekor dalam tempoh 8 jam. Pacak sampai lebam merupakan objektif utama Kolam Harmony Klang.” Ujar Zuvainy Saari yang merupakan pengurus kolam setelah kolam diambil alih pengurusannya oleh Kolam Pancing Harmony Puchong.
Zuvainy sendiri merupakan seorang pemancing kolam berkemahiran menyediakan umpan dan pernah memenangi pertandingan memancing berstatus mega. Justeru beliau amat memahami sifat pemakanan ikan-ikan di kolam seliaannya.
Memancing di Kolam Harmony Klang ini bukan sekadar untuk pacak-pacak sahaja. Dengan membayar yuran memancing para pemancing turut berpeluang memenangi ganjaran lebih RM1000 sekiranya tangkapan tersenarai pada papan ranking ikan terberat bulanan.
Malah pemancing turut berpeluang menerima bonus RM1000 sekiranya berjaya mendaratkan ikan patin dan karak (siamese carp) melebihi 13 kilogram. Soal berat ikan melebihi 13 kilogram bukanlah suatu yang mustahil kerana terdapat banyak ikan besar bersaiz hingga 16 kilogram.
Anda juga tidak perlu merangka masa tertentu untuk memancing kerana Kolam Harmony Klang beroperasi setiap hari. Kolam dibuka jam satu petang hingga tiga pagi dari Isnin hingga Khamis. Jumaat pula beroperasi dari jam tiga petang hingga tiga pagi.
Sabtu dan Ahad pula dibuka seawal sepuluh pagi hingga tiga pagi. Pihak kolam turut menyediakan sesi pertandingan pada setiap hari Isnin malam Selasa khusus buat pemancing yang meminati pancingan seumpamanya. Syarat-syarat atau peraturan memancing turut mesra pemancing.
Ketika mula menjinakkan kaki ke arena pancingan kelong belasan tahun lalu, penulis hanya mampu memasang impian untuk menjejakkan kaki ke Kelong Paradise. Atau kelong batu sebagaimana yang selesa disebut oleh rakan yang bertanggungjawab mengheret penulis memancing ke kelong-kelong.
Ada beberapa faktor yang membuatkan penulis hanya sekadar mampu memasang angan-angan untuk memancing di Kelong Paradise ketika itu. Pertama, kos pakej memancingnya yang mahal. Maklum sajalah kos memancing di kelong-kelong biasa cuma sekadar RM30-RM40 seorang, sedangkan kos pakej di Kelong Paradise mencecah dua ratus ringgit. Itu belum campur kos-kos lain lagi.
Gedebak-gedebuk mahu cecah RM300 seorang. Dengan kos perbelanjaan sebanyak itu sudah pasti lebih afdal ke kelong biasa saja berulang kali. Seperkara lainnya, penulis merasakan kelengkapan pancing yang ada ketika itu tidak menepati piawaian untuk memancing di Kelong Paradise yang terkenal dengan ikan-ikan berstatus monster.
Lebih kurang 10 tahun yang lalu, akhirnya penulis berpeluang untuk menjejakkan kaki ke Kelong Paradise atas tiket media apabila ada sebuah universiti mengadakan program di kelong tersebut.
Tentu saja penulis tidak lepaskan peluang tersebut kerana tidak perlu mengeluarkan sebarang kos dan sudah memiliki kelengkapan pancing yang sepadan untuk bertarung dengan monster di Kelong Paradise.
Tapi bila berbual bicara dan melihat peralatan pancing seorang regular customer di kelong tersebut, terasa balik diri sebenarnya masih belum bersedia untuk menduga Kelong Paradise.
2 hari 1 malam tanpa sebarang hasil (hanya seekor ketuka) membuatkan penulis seperti berpatah arang untuk kembali ke kelong bercat merah kuning ini.
Tapi untuk bersikap adil, penulis tidak boleh nak cop kelong ini sudah takde ikan atau takde ikan kerana sepanjang tempoh itu ada juga pemancing yang berjaya menaikkan kerapu dan senangin bersaiz kasar. Sembilang pun ada naik di tiang-tiang kelong tertentu. Cuma pari yang menjadi sasaran utama tidak muncul.
Beberapa tahun kemudian, apabila salah seorang rakan yang suatu ketika dulu cukup kerap memancing dalam masa yang sama mempromosi kelong tersebut tiba-tiba mengadakan komplot kecil-kecilan ke kelong itu, muncul balik keterujaan penulis yang hampir padam.
Berdasarkan pengalaman kali pertama dahulu penulis percaya trip kedua kali akan membuahkan hasil. Keyakinan rakan akan menaikkan pari gergasi sedikit sebanyak menyuntik semangat pada penulis.
Namun semangat yang meluap segera padam apabila bertemu dengan rakan tersebut di jeti sebelum menaiki bot ke kelong. Menyedari hari tersebut air pasang besar atau pasang ‘keling’, penulis bertanya sama ada ia sesuai atau tidak untuk memancing di kelong.
Jawapan rakan penulis cukup mudah, beliau tidak pernah ambil tahu pun pasal air pasang surut. Semuanya bergantung pada kelapangan masa. Nampaknya bayangan kumpau mula mengekori penulis ke Kelong Paradise.
Dengan arus yang laju sememangnya tidak sesuai untuk memancing di luar kawasan kelong. Dan walaupun tiada ikan luar yang masuk ke kawasan kelong, struktur konkrit kelong yang dibina sebenarnya menjadi tukun khusus untuk pembiakan senangin.
Tatkala sukar mendapatkan ikan lain, senangin masih boleh dipancing dengan teknik dan umpan yang betul. Ketika itu bilis yang banyak berteduh di kawasan kelong menjadi diet utama senangin. Malangnya tiada seorang daripada ahli komplot yang bawa apollo bersaiz kecil untuk memancing bilis.
Udang hidup yang beratus ekor dibawa bersama langsung tidak dilayan. Dengan situasi tersebut rasanya sesiapa saja boleh mengagak keputusan trip penulis kali kedua atau mungkin juga kali terakhir ini.
Kini Kelong Paradise telah diberi nafas baru oleh kerajaan Selangor. Kita tunggu sehingga pandemik Covid-19 ini untuk kembali terjah ke kelong legend ini.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...