Kata seorang rakan, jika nak uji kudrat dan keseronokan bermain toman, datanglah ke Tasik Air Ganda. Di sini, bila sahaja pemancing pulang, pasti akan tersenyum sampai ke telinga kerana penangan tomannya yang begitu ramah, banyak.

Itu belum lagi kisah berapa banyak strike tidak boleh control dan juga leburnya gewang-gewang keramat.

 

Tanggapan tersebut sememangnya tidak dapat disangkal lagi kerana apabila kali pertama penulis sampai ke sini, memang sah, di sinilah mahligai terbaik kerana selain landskapnya

yang dipenuhi kayu berceracak, taburan tomannya juga banyak selain masih peramah jika sapa dengan gewang.

 

 

Air surut

Kunjungan saya bersama lima orang rakan baru-baru ini dianggap memang langkah kanan kerana berpeluang melihat mahligai toman yang sebenar-benarnya.

Kedatangan kami disambut dengan timbulnya pokok-pokok kayu mati yang berceracak, lantaran pintu air Empangan Kenering yang berada di bawah Tasik Air Ganda dibuka. Hampir 80 peratus pokok-pokok ini akan tenggelam, jika air penuh.

 

Tiga buah bot siap dengan tekong yang ditempah awal telah siap menanti kehadiran kami yang tiba sekitar jam 7.30 pagi. Selepas memasukkan barang dan bot melepasi kuala jeti, masing-masing mencari haluan.

 

Bila sahaja Tekong Anip kata sudah boleh casting, alamak saya dan Pachai bingung seketika jadinya. Ye lah macam mana nak baling walaupun toman rancak menimbulkan diri di permukaan, tetapi semuanya muncul di celah batang-batang kayu.

 

 

Toman pada biasanya tidak memilih gewang, asalkan apa sahaja objek bergerak di hadapannya akan dihentam. Dalam situasi ini, gewang yang terbaik adalah jenis top water (popper, popper pensil ataupun jitterbugs).

 

Selain nampak renangannya melepasi celahan pokok, saat toman menyambar di permukaan, itulah yang paling didambakan. Tetapi kes ‘tersangkut pokok’ tidak boleh dielakkan semasa gewang dilontar.

 

Saya mencuba beberapa ketul gewang jenis ini jenama Ofmer untuk diuji. Apa yang boleh diungkapkan, di sini tomannya masih banyak. Tetapi kesukaran untuk membaling tepat dan sehampir mungkin dengan tempat ia timbul benar-benar menguji kesabaran kami.

 

 

Sambaran pertama saya perolehi, betul-betul ketika toman timbul di permukaan. Baru dua kali karauan dilakukan, gewang Ofmer Gold berjaya mendatangkan amarah seekor toman dalam anggaran 1kg.

Walaupun dianggap masih kecil, saiz sebeginilah yang sebenarnya buas, kerana tenaga ‘muda’nya akan dikerah untuk cuba melepaskan diri.

 

Pachai juga naik lenguh tangan dibuatnya. Gewang yang dilontar di sebelah kiri bot disambut, mujur toman tidak bermain kasar dengan cuba membelit kayu dan toman anggaran hampir 2 kg berjaya didaratkan.

Di suak pertama ini, saya dua kali mendapat strike, satu sahaja yang berhasil.

 

Tetapi sambaran kasar yang diterima betul-betul di antara batang kayu yang bercabang. Puas menahan asakan daripada membelit batang kayu walaupun bot menghampiri lokasi, sayangnya ia terus sahaja membenam dan terus senyap.

 

 

Kesilapan terbesar pada bot kami adalah tidak seorang pun yang membawa lure retriever termasuklah tekong…. Hah kan dah padan muka, lebur beberapa ketul gewang.

Apa nak buat, benda dah berlaku, walaupun perkara itulah yang ada di dalam kepada masing-masing sebelum datang ke sini.

 

Kami terus mencuba di suak ini sambil Anip mengemudikan botnya menghampiri sang toman banyak menimbulkan diri.

Menurutnya, potensi gewang disambar lebih tinggi jika toman timbul di permukaan pada tempoh yang lama, berbanding timbul dan cepat menenggelamkan diri.

 

Toman Tengah tasik

 

Bila jam di tangan menunjukkan angka ke jam 11 pagi, kami mula bergerak keluar. Kali ini bot dipacu keluar tengah tasik untuk mencuba toman yang bermain di kawasan highway tasik.

Sambil bot dikemudikan dengan laju dan berhati-hati, kami sambil melewati pemandangan kiri-kanan tasik yang begitu indah.

Tetapi ada bukit yang ditarah hingga gondol bagi tujuan pertanian sama ada untuk tanaman pokok getah atau kelapa sawit.

 

 

Tekong Anip berhenti di satu kawasan. Ujarnya di toman-toman di kawasan ini bersaiz besar. Tetapi yang tidak menariknya, tempoh ia timbul semula agak lama dan timbulnya agak cepat.

 

Jika situasi ini berlaku, tomannya tidak begitu agresif mengejar gewang, kecuali betul-betul gewang jatuh di hadapannya. Pachai yang menggunakan Rapala Fat Rap berjaya mendapat sambaran seekor toman yang saiznya boleh tahan.

 

Menjelang tengah hari, kami bergerak menuju ke satu wakaf (pondok) yang didirikan di atas sebuah pulau untuk berehat dan makan tengah hari. Rakan-rakan dari dua bot lagi juga turut sama sampai tidak lama kemudian.

 

Sambil menikmati hidangan bekalan makanan yang dibawa, kami rancak berkongsi cerita. Menurut Ujang dan Faizal lokasi yang dikunjunginya bersama tekong Usop banyak

menerima strike, sehingga leka tidak berganjak untuk ke spot lain. Sedar-sedar juga hari sudah meninggi.

 

 

Begitu juga dengan Adi dan Onn (adik Ujang) yang menaiki bot tekong Faiz, masing-masing berkongsi cerita, termasuklah kisah mereka yang terjumpa banyak kumpulan anak toman bersaiz lengan bayi, tetapi sayangnya tiada ibu yang menjaganya.

 

Ada sebarau?

 

Selain menyasarkan casting toman, sebenarnya saya sudah standby satu lagi set casting untuk sebarau. Senang tidak perlu tukar gewang jika terserempak dengannya walaupun saya dimaklumkan, sebarau Air Ganda amat kurang dan sukar dijejaki.

Mereka juga tidak mencari kumpulan sebarau dan kebetulan akan berhenti sekiranya terserempak dengan kumpulan sebarau yang sedang frenzy mengejar anak ikan.

 

Ujar Anip lagi, sebarau Air Ganda sukar dicari dan jika ada pun ia bukan berada dalam kelompok besar. Faktor ketiadaan anak sungai dan populasi toman yang menguasai hampir keseluruhan Air Ganda menjadi punca mengapa sebarau agak kurang di sini.

Tapi, bagi kaki casting naluri sebarau hunter tetap ada. Nak dijadikan rezeki, saya dan Pachai bertemu juga gerombolan sebarau rempit yang asyik mengejar anak ikan loma.

 

Mudah sahaja bila sudah terjumpa kes seperti ini. Lontarkan gewang dan sesudu sehampir mungkin, terus sahaja disambut. Walaupun bersaiz juvenil, apa yang penting ada kami ada lesen sebarau Air Ganda.

 

 

Lewat petang sebelum pulang, kami kembali singgah ke spot yang dikunjungi pagi tadi sambil bergabung kembali dengan bot tekong Usop dan Faiz. Dua strike diterima Faizal dan Adi, tetapi hanya seekor sahaja diperolehi oleh Faizal.

 

Sebaliknya Rapala Fat Rap warna Fire Tiger sekali lagi berjaya dileburkan oleh toman, langsung tidak boleh control. Walaupun menggunakan lure retriever, bila berlaku kes tali

terbelit teruk di bahagian dahan pokok di dalam air, agak sukar gewang dapat diselamatkan. Akhirnya lebur juga gewang berkenaan.

 

Kami terus casting sehingga hari betul-betul gelap melewati angka 7.30 malam. Ketiga-tiga tekong ini memang tidak berkira tentang hal lebih masa ini, asalkan kami semua puas hati.