Selesai sahaja menyiapkan kelengkapan memancing kami pun terus melabuhkan umpan. Ya, memang benar!
Begitu cepat untuk ikan di sini tertarik dengan umpun ruat dan sarang yang kami hidangkan.
Satu demi satu sembilang bersaiz lengan budak kami naikkan sewaktu air mula menyusur surut.
Paez secara tiba-tiba menjadi pembakar semangat kami semua yang mulai hangat dipanah sang mentari apabila lenturan kuat joran yang diletakkan di hadapan bot berhasil menaikkan seekor gemang berskala sekilogram.
Tidak lama selepas itu, giliran Paez lagi menaikkan gemang yang kedua. Alamak, terbakar juga melihat aksi Paez yang berjaya memujuk 2 ekor sembilang bersaiz lengan budak sedangkan kami hanya puas melayan sembilang bersaiz lengan bayi
.
Sesekali, ada juga kelibat sang blues-gang atau ikan belukang yang cukup gemar mencuri umpan yang kami hulurkan.
Tiba sahaja kawanan blues-gang ini memang spesies ini saja yang kami naikkan.
Melihat sahaja kawanan belukang bermaharajalela, tekong Angah terus mengarahkan kami semua menggulung tali untuk berpindah lubuk.
Apa yang menariknya turun memancing bersama tekong Angah ini, beliau begitu rajin berpindah lubuk jika suasana menjadi sepi.
15 minit menunggu, jika tiada sebarang getuan atau majoriti ikan pengacau yang membedal umpan, dia akan memberi isyarat akan berpindah.
Bagi kaki pancing, perkara sebeginilah yang disukai, rajin dan sentiasa berusaha mencari lubuk terbaik untuk pelanggan.
Apabila air mulai surut dan arus laju, ikan mulai kurang aktif menyambar umpan. Hanya ikan-ikan kecil seperti gerut-gerut dan mengkerong yang rajin mengintai umpan kami.
Oleh yang demikian, kami mengambil keputusan untuk makan tengah hari dan berehat seketika di Jeti.
Sewaktu berehat ini dapat juga saya berbual panjang dengan tekong Angah mengenai ikan di Kuala Lukut ini. Menurutnya, ikan yang ada di sini memang tiada musim.
Terutamanya sembilang, sentiasa sahaja ada. Cuma kena pandai sahaja mencari lubuk-lubuk permainannya. Jika kena pada lubuk, memang tak menang tangan.
Pengalaman dan kehandalan tekong Angah di Kuala Lukut ini memang tidak boleh disangkal lagi.
Apa tidaknya, sejak kecil lagi beliau telah didedahkan dengan lubuk-lubuk yang ada di sini.
Cuma apa yang merisaukan beliau ialah apabila melihat semakin banyak kawasan paya bakau dimusnahkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Disebabkan itu, lubuk-lubuk permainan ikan di sini semakin berkurangan dan ini menjadikan hasil yang diperoleh juga semakin berkurangan jika hendak dibandingkan beberapa tahun dahulu.
Setelah berehat dan menjamah makanan tengah hari, kami menyambung semula aktiviti pancingan kami.
Kali ini, kami cadangkan kepada tekong Angah, mencari spesies ikan sisik pula setelah puas memperoleh sembilang dan gemang pagi tadi.
Untuk memburu ikan sisik, tekong Angah membawa kami ke kawasan berhampiran muka pantai yang dikatakan menjadi lubuk gerut-gerut.
Di lokasi ini, banyak kali juga joran kami digetu, tetapi kebanyakan dari gerut-gerut bersaiz kecil. Hanya Paez sahaja yang bertuah menaikkan seekor tetanda bersaiz tapak tangan.
Melihat keadaan kurang memberangsangkan, kami berpindah lubuk lagi. Kali ini, kami masuk ke dalam kuala semula dan menuju ke lubuk kegemaran tekong Angah.
Sedang kami asyik bersembang, joran milik Basil tidak semena-mena di getu dan dengan pantasnya ikan membawa lari tali kailnya melawan arus.
“Sah ikan besar!”, kata Tekong Angah. Basil terus menyentap joran dan terus bergasak dengan spesies yang belum diketahui lagi.
Sayangnya, kesilapan kecil Basil untuk mengunci drag telah memberikan peluang kepada ikan tersebut melarikan diri ke reba di dalam sungai. Hampa juga kami melihatnya.
Menjelang petang, apabila air mulai pasang, kami menuju lagi ke lubuk kegemaran tekong Angah yang lain pula.
Di sini, Basil yang hampa akibat rabut ikan besar tadi menjadi pemecah suasana apabila berjaya menaikkan tetanda bersaiz kasar.
Tidak lama selepas itu kami bersilih ganti melayan kawanan blues-gang yang semakin galak keluar mencari makanan sewaktu air jalan naik.
Jadi stress juga dibuatnya! Tapi itu semua sementara sahaja apabila melihat joran Paez kembali diasak.
Kami menyangka ia datang daripada belukang bersaiz kasar, tetapi ia ternyata meleset apabila melihat kilauan perak di dalam air. Senangin!
Dengan segera ikan tersebut dinaikkan ke dalam bot. Jelas terpancar kegembiraan di wajah Paez kerana beliau menjadi orang yang paling ong pada hari itu.
Menjelang lewat petang, sembilang kembali mendominasi tangkapan kami. Tapi sayangnya, sedang galak ikan makan, umpan kami pula kehabisan.
Nak tak nak, kami terus menuju pulang ke jeti dan seterusnya kembali semula ke ibu kota untuk menghadapi realiti.
Apa yang pasti, cerita sembilang tak bermusim di Kuala Lukut ini akan terus bermain di minda saya.
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan