Antara spot terbaru yang dikunjungi penulis bersama mereka mereka adalah memancing di Sungai Damansara. Pada awalnya penulis ralat juga, memikirkan ada ke haruan? Tetapi selepas pergi bersama mereka, barulah penulis tahu, rupa-rupanya spot yang diterjah mereka adalah sebuah lopak berhampiran tebing sungai berkenaan.
Lopak air seluas gelanggang bola keranjang tersebut terbentuk apabila air Sungai Damansara melimpah semasa air besar atau banjir kilat, sehinggalah membentuk lopak yang akhirnya menjadi lokasi ikan berkumpul bila air Sungai Damansara kembali ke paras normal.
Sayangnya, ketika kunjungan tersebut, lopak air berkenaan dipenuhi oleh pokok kiambang yang menyebabkan ruang untuk melontarkan jump frog agak sukar. Ini disebabkan, sudah lama tidak berlaku kenaikan paras air @ banjir, sekaligus menyebabkan tumbuhan berkenaan membiak dengan cepat.
Oleh kerana, kunjungan kami lebih dari lima orang, terpaksalah, pokok kiambang berkenaan dibuka dengan cara menariknya dengan kayu. Sangat meletihkan, tetapi apa boleh buat kata mereka, nak casting punya pasal. Selepas beberapa lopak dan laluan dibuka, kami menunggu lebih kurang setengah jam sebelum memulakan casting.
Zul menjadi orang pertama mendapat sambaran. Berkat kesabarannya casting dan terus casting, akhirnya haruan pertama berjaya dinaikkan. Tidak lama kemudian, seekor lagi haruan berjaya diperolehi olehnya. Memang champion betullah!.
Tidak lama kemudian, Zam berjaya memperolehi satu sambaran, tetapi gagal dinaikkan kerana mata kail tidak tertacap kemas, menyebabkan ia terlepas ketika sedang mula hendak di heret keluar dari celahan pokok kiambang berkenaan.
Melihat keadaan itu, bukan mudah sebenarnya casting berulang-ulang kali di tempat yang sama sambil memujuk haruan agar keluar dari celah pokok kiambang sekaligus tergoda dengan umpan tipu yang digunakan.
Ujar Wan, salah seorang geng casting tersebut yang kerap menerjah spot seperti ini berkata, setiap spot boleh berubah fizikal bergantung selepas ia ditenggelami atau dilimpahi air sungai.
Malah di spot yang sama, tahun lalu, dia pernah memperolehi ikan ketutu bersaiz hampir 2kg selain ikan keli. Ada masanya spot berkenaan di penuhi ikan tilapia hitam dan juga ikan bandaraya. Selalunya, jika banyak ikan tilapia hitam, ia tidak akan bertahan lama kerana pasti akan mengundang kehadiran geng menjala.
Berdasarkan apa yang dikatakan oleh Wan, ada benarnya katanya kerana apa yang penulis perhatikan memang pot ini telah lama menjadi spot ikan haruan yang penulis percayai hanyut semasa air besar sebelum ia ‘sangkut’ di lopak berkenaan dan terus bermastautin di situ. Ini berdasarkan saiz haruannya yang boleh tahan selain haruan juvenil yang diperolehi tanda ia telah membiak di situ.
Cuma pada pandangan penulis lagi, bukan mudah untuk menjejaki spot-spot begini walaupun ia dapat dilihat dari jalan besar. Antaranya kesukaran dan keselamatan kenderaan yang ditinggalkan di tepi jalan. Dan spot yang penulis kunjungi ini juga bukanlah mudah untuk sampai, walaupun nampak dekat dari jalan raya.
Ini kerana, kawasan untuk masuk ini telah dipagar oleh penternak lembu dan yang paling digeruni adalah banyaknya anjing garang yang dipelihara bagi menjaga lembu-lembu berkenaan. Pendek kata, kalau sorang-sorang nak terjah jangan cari pasal lah beb, sebab, kalaulah anjing tersebut terlepas ikatannya, tak ke naya jadinya.
Menjelang tengahari beberapa ekor haruan lagi berjaya diperolehi. Jadilah buat lepas gian ‘ketar tangan’ ujar geng casting yang membawa penulis menerjah ke spot haruan Sungai Damansara berkenaan.