Trip Retro – Light Jigging Pantai Siring!!

Share

 

Walaupun kurang menjadi destinasi pilihan utama bagi kaki pancing, Melaka masih mempunyai beberapa lokasi pancingan dengan tarikan tersendiri.

Antara lokasi yang sering menjadi tumpuan kaki pancing di Melaka ialah sekitar perairan Pantai Siring yang terletak dalam kawasan Umbai.

 

Perairan Pantai Siring mempunyai beberapa buah kelong kecil yang sering menggamit kaki pancing untuk datang ke sini. Kedudukan geografi dengan pantai yang terlindung hasil daripada beberapa buah pulau seperti Pulau Besar, Pulau Serimbun dan beberapa buah pulau kecil lain pula membantu perusahaan kelong di sini.

 

Selain daripada itu, kedudukan geografi dan pulau-pulau kecil berbatu ini juga menjadikan perairan di sini berpotensi untuk aktiviti mengilat dan light jigging.

Menurut Tekong Abu, aktiviti casting dan light jigging di sini bermula sudah lama jadi tidak hairanlah perairan sekitar pulau-pulau di Pantai Siring ini mampu menjadi daya tarikan utama bagi kaki casting dan light jigging.

 

Terjah Pantai Siring

Penulis berkesempatan untuk meluangkan masa sehari suntuk menjengah di perairan sekitar pulau-pulau kecil di sini dan melepaskan gian memancing dengan aktiviti light jigging dan mengilat.

 

Tarikh yang dipilih setelah menerima jemputan trip terjah oleh Tekong Abu ini pula kebetulan jatuh pada tarikh yang sama dengan trip Kelab Pemancing Wanita yang rata-ratanya naik ke Kelong Abu.

 

 

Kecoh juga jadinya. Sewaktu mula menaiki bot untuk menerjah ke lubuk yang telah dirancang, kami menyedari keadaan air yang begitu keruh dan juga hujan lebat sejak semalam. Walaupun sedikit hampa, namun apa yang dirancang perlu diteruskan, terjah tetap terjah.

 

Kami mempertaruhkan jig dan sesudu dengan berat sekitar 25gm hingga 30gm sebagai pilihan utama. Selebihnya kami menduga lubuk dengan menggunakan pelbagai jenis gewang. Seperti diduga ketika awalnya, trip terjah kami sedikit mengecewakan.

 

Keadaan air yang keruh dan tiupan angin yang tidak menentu sedikit membataskan sesi pancingan. Namun begitu, Tekong Abu yang lebih gemar teknik mengilat berhasil juga menaikkan baby talang dengan sesudu Abu Garcia Koster berwarna perak.

Sejurus selepas itu, jig Saira Braid 30gm yang penukis gunakan disambar kemas pula oleh seekor baby GT uat pengubat trip terjah ini.

 

 

Potensi Spot Light Jigging

 

Walaupun terdapat beberapa henjutan selepas itu namun semuanya gagal dinaikkan. Tiada rezeki nampaknya. Sebenarnya, kawasan sektar pulau-pulau kecil ini cukup berpotensi bagi aktiviti light jigging, casting dan juga popping.

Perairan tidak terlalu dalam dan muka buminya lubuk berbatu cukup meyakinkan kami ada penghuninya.

 

Penggunaan gewang berwarna perak paling efektif di sini untuk teknik mengilat dan bagi teknik light jigging pula penggunaan jig seberat 25gm hingga 30gm sangat efektif dengan pilihan warna yang terang seperti merah atau biru.

 

Spesies yang sering dinaikkan pula termasuklah GT, talang, kerapu, ebek, sagai dan lain-lain pula dengan berat sekitar 2kg hingga 5kg. Dengan penggunaan set ringan, pasti cukup mengasyikan melayan asakan spesies tersebut untuk dinaikkan.

Selain itu menurut Tekong Abu, lokasi di sini semakin hari semakin mendapat perhatian kaki pancing untuk mencuba aktiviti dan pakej light jigging dan casting.

 

 

Jika air cantik, batu karang dan dasar sekitar Pulau Undan misalnya boleh dilihat dengan jelas. Jangan gunakan jig terlalu berat kerana perairan di sini hanyalah sekitar 15-30kaki.

Kaki pancing harus tahu, berapa jig akan jatuh hingga ke dasar sebelum karauan dan unjunan dilakukan. Ini bagi mengelakkan jig mudah tersangkut di karang.

 

Potensi lain yang boleh dilakukan di sini adalah menggunakan popper kecil dengan membalingnya di kawasan hempasan ombak yang menghempas batuan tebing pulau.

Kerap kali sebelum ini, kaki pancing yang dibawa Tekong Abu berjaya menaikkan spesies talang dan juga GT.

 

Selain itu, dengan adanya beberapa buah kelong di sini juga boleh dijadikan lokasi menginap dan pancingan santai. Jika sudah penat dan rentung dengan casting dan light jigging, boleh juga berteduh menghilangkan penat di kelong yang ada di sini.

 

Penulis tidak hairan jika perairan Pantai Siring ini menjadi lokasi popular bagi aktiviti light jigging jika kawasan ini dijaga dan diurus dengan cekap oleh penduduk, Persatuan Nelayan dan pihak berkuasa tempatan malah mampu menjadi punca pendapatan sampingan penduduk sekitar.

Published by
Amang