Sungai Singor merupakan antara lokasi memanancing dan lubuk pemburuan ikan kelah yang popular.
Pun begitu, kedudukannya yang jauh di dalam Hutan Temenggor mungkin menyebabkan ia jarang dikunjungi.
Ura-ura mengatakan Sungai Singor masih mempunyai kelah bersaiz besar menambahkan lagi keterujaan ke sini.
Peluang menduga lubuk di Sungai Singor ini datang apabila penulis dijemput oleh rakan-rakan daripada kelab pacuan empat roda (4×4) iaitu Raja Rimba Adventure.
Trip kali ini boleh dikatakan trip mega kerana turut disertai oleh beberapa buah kelab pacuan empat roda yang lain dari negeri yang berbeza.
Kebanyakan rakan lain rata-ratanya kaki offroad dan mahu menguji jentera masing-masing.
Namun begitu, bagi penulis dan rakan lain geng memancing, objektif utama kami tentulah untuk menduga penghuni lubuk di Sungai Singor.
TIDAK HILANG FOKUS
Jentera pacuan empat roda mula bergerak masuk satu persatu pada jam 8 pagi. Halangan seperti jambatan runtuh dan tayar termasuk dalam lubang juga berlaku.
Disebabkan jumlah kenderaan yang banyak, sedikit sebanyak ia telah melambatkan perjalanan kami.
Namun masing-masing tidak hilang fokus dan bekerja keras menempuh halangan. Kami meneruskan perjalanan sehingga ke malam hari.
Akibat kepenatan kami akhirnya mengalah dan berehat sekitar jam 3 pagi.
Sekitar jam 7 pagi, kami meneruskan perjalanan sebelum tiba di Sira Dinding sekitar jam 11 pagi.
Kebanyakan peserta mengambil keputusan untuk membuka kem di sini sahaja memandangkan faktor masa dan masalah lain.
Hanya 9 buah kenderaan yang rata-rata kaki pancing meneruskan perjalanan menuju ke kem Sungai Singor.
Jam 3 petang kami tiba juga di lokasi tujuan. Memandangkan perancangan telah lari dari jadual asal, maka kami mengambil keputusan memanjangkan tempoh trip daripada 3 hari kepada 4 hari.
Menurut Zubir, merangkap ketua trip, untuk tiba ke lubuk yang sebenar memerlukan perjalanan trekking lebih kurang 3 jam lagi.
Mengambil kira penat dan lesu, kami memilih untuk berehat mengumpul tenaga bagi hari esok.
TREKKING KE LUBUK KELAH
Awal pagi, masing-masing bersiap untuk trekking bersama rod masing-masing. Sambil trekking menyusur sungai, sesudu dibaling bagi menduga lubuk yang dilihat berpotensi.
Hasil mengilat berjaya menjinakkan beberapa ekor sebarau dan tengas namun saiznya tidak berapa memuaskan.
Hampir tengah hari kumpulan yang paling hadapan berjaya tiba di lubuk utama yang kami gelar sebagai Cabang Sungai.
Tanpa berlengah, masing-masing menurunkan joran berumpankan sawit, ulat kokok dan lipan kayu.
Tidak menunggu lama, tengas pantas menyambar. Larian pantasnya dilayan sebaik mungkin dan seekor tengas skala 1kg berjaya didaratkan.
Tengas bersaiz sekitar 1 kg agak banyak menjamah umpan selain tengas daun.
Dalam asyik melayan larian tengas dan tengas daun, kami berjaya melihat kelibat 3 ekor kelah dalam anggaran saiz 6kg berenang-renang di hadapan kami, namun ia tidak mahu langsung menjamah umpan sawit yang dilontarkan tidak jauh dari kelah ini berlegar.
Masing-masing hanya mampu melihat sahaja. Benarlah masih terdapat kelah yang besar di sini seperti mana cerita Zubir sebelum trip ini.
Memandangkan masa tidak menyebelahi kami, kami terpaksa bergerak pulang ke kem utama sekitar jam 3 petang.
Rancangan asal untuk bermalam di sini ditukar kepada trekking balik hari. Kami yakin jika bermalam di sini, potensi mendaratkan kelah sangat besar.
PENANGAN SINGOR
Ketika trekking pulang, beberapa masalah timbul akibat kurang persiapan awal.
Penulis sendiri hampir pengsan akibat tidak makan seharian ditambah dengan keadaan sejuk di Banjaran Titiwangsa ini.
Mujur rakan lain yang datang mencari ada membawa bekalan makan.
Kumpulan lain pula ada yang hampir tersesat kerana mengikut trek yang salah. Setelah menyedarinya, mereka cepat-cepat kembali berpatah balik dan mengikut trek menyusur sungai. Syukur, akhirnya jam 11 malam, kami selamat sampai di kem utama.
Masing-masing rabak dan kepenatan ketika tiba di kem utama. Keesokan harinya, berita seekor kelah berjaya dinaikkan di sekitar kem utama kami membuatkan kami lupa perihal penat semalam.
Walaupun Kelah 1 kg lebih ini merupakan bonus untuk trip rabak kali ini.
Pengalaman ‘rabak’ di Sungai Singor ini tidak mematahkan keinginan kami untuk kembali ke sini. Waktu memancing yang terbatas menambahkan lagi keinginan untuk repeat lubuk di sini.
Kami pasti akan kembali dengan persiapan keselamatan diri yang lebih rapi. Sungai Singor, mu tunggu aku datang!