Trip Retro – Layaran Luar Musim

Share

 

Sejak sekian lama saya telah diapi-apikan dengan cerita tenggiri yang memasuki perairan Pantai Timur. Oleh kerana beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan, maka hajat untuk menduga perairan ini terpaksa saya tangguhkan ke tahun ini.

 

Segala perancangan dibuat bagi mendapatkan waktu yang sesuai untuk menduga perairan ini. Setelah menghubungi semua rakan-rakan kaki pancing tegar, maka tarikh telah ditetapkan pada bulan April untuk menguji perairan Pekan, Pahang.

 

Seminggu sebelum kami menyertai trip ini, tekong telah memberitahu bahawa ikan tenggiri telah menyerang perairan Pekan, Ini membuatkan kami tidak sabar untuk menduga perairan tersebut.

 

Pada awalnya kami disertai oleh 10 orang ahli, tetapi pada saat-saat akhir, hanya 8 orang yg mengikuti trip ini.

Trip ini juga disertai seorang otai bagi pancingan laut iaitu Uncle Chong. Beliau banyak memberi tip dan teknik untuk memancing di laut dalam.

 

 

Kami memulakan perjalanan dari ibu kota pada pukul 2.30 pagi. Kami tiba di Pekan pada pukul 6 pagi dan terus bersarapan di sana. Pada pukul 7, kami bertemu dengan tekong dan terus membawa kami ke jeti.

 

Kami menaiki bot sepanjang 36 kaki yang di kemudi oleh tekong Che Min. Tekong Supian bertindak sebagai awak-awak. Ini bermakna dalam trip kali ini kami disertai oleh 2 orang tekong yang mempunyai banyak pengalaman di perairan ini.

 

HARI PERTAMA

 

Kami memulakan perjalanan menuju ke Unjam yang terletak 20 batu nautika dari pantai untuk mendapatkan umpan hidup seperti tamban, kembung, selar dan kerisi.

Setibanya di unjam, tekong memberi isyarat untuk menurunkan apollo untuk mengutip seberapa banyak umpan hidup untuk dijadikan umpan untuk ikan tenggiri.

 

Sedang rancak kami mengunjun mata apollo, tiba-tiba kekili Ryobi Ecusima 6000vi milik Uncle Chong berdesing. Kami sangkakan sambaran tersebut adalah tenggiri, tiba-tiba seekor layaran terbang di permukaan.

 

Suasana terus menjadi riuh rendah melihatkan aksi layaran beberapa kali terbang di permukaan. Setelah hampir 15 minit bertarung, Uncle Chong berjaya mendaratkan ikan layaran seberat hampir 20 kg.

 

 

Selepas sesi bergambar, kami melepaskan semula ikan tersebut oleh kerana ikan layaran adalah spesies dilindungi di perairan Malaysia. Setelah selesai mendapatkan umpan hidup,

kami meneruskan perjalanan menuju Pulau Berhala yang terletak kira-kira 60 batu nautika daripada persisiran pantai.

Setibanya di lubuk yang berhampiran, tekong melabuhkan sauh dan kami terus melempar umpan. Ada juga yang mempraktikkan teknik jigging dan casting.

 

Sedang kami menunggu, tiba-tiba teknik casting yang dimainkan oleh Solihin mendapat sambaran. Setelah 10 minit bertarung, beliau berjaya menaikkan alu-alu seberat 3.7 kg.
Tidak berapa lama kemudian umpan milik Adrin (Meng) pula mendapat sambaran tenggiri.

 

 

Setelah didaratkan, kami mendapati ikan tenggiri dalam lingkungan berat 3 kg tersebut telah dibaham di bahagian ekor. Mungkin dimamah oleh penghuni monster di bawah sana. Pada sebelah petang kami menukar lubuk untuk mencandat sotong.

 

Hasilnya kurang memberangsangkan, kerana sotong belum berada di perairan Pekan. Tetapi tidaklah mengecewakan. Kami berjaya menaikkan tidak kurang dari 10 ekor sotong bersaiz antara 200-500 gram.

 

SERANGAN HENDAP

 

Selepas senja, tekong menyediakan santapan malam untuk mengisi perut kami yang kosong. “Ikan tak mahu makan, kami yang makan”.

Setelah selesai makan, kami meneruskan sesi pancingan kami. Ada yang menghanyutkan umpan dan ada yang mempraktikkan pancingan dasar.

 

Satu sambaran diterima menyebabkan kekili Banax fx5000 milik saya berdesing, sentapan dilakukan dan pertarungan dimulakan. Beberapa minit kemudian, ‘tasssss”, perambut putus.

 

 

Pada malam ini sahaja, banyak umpan yang rabut dikerjakan tenggiri. Pada tengah malam, sedang kami berehat, kami diserang hendap oleh segerombolan ikan cupak. Tidak menang tangan kami dibuatnya.

 

Selang beberapa minit, pasti ada cupak bersaiz 500 gram -1.5 kg dinaikkan. Banyak juga ikan tetanda bersaiz 200-700 gram berjaya dinaikkan pada malam tersebut.

 

Dalam pada itu, sekali lagi Uncle Chong mencuri tumpuan apabila berjaya menaikkan cupak bersaiz 2 kg dan kerapu bersaiz 1.5 kg. Ikan todak berskala 2 kg juga berjaya dinaikkan beliau.

 

HARI KEDUA

Pada awal pagi, kami meneruskan aktiviti pancingan kami di beberapa lubuk sekitar Pulau Berhala. Pada pagi ini, teknik menghanyut mendominasi pancingan kami.

Umpan semakin berkurangan, oleh itu beberapa orang rakan pemancing kembali mencari umpan menggunakan teknik apollo. Kami terus menanti sentapan daripada ikan tenggiri. Tiba-tiba sekali lagi umpan Uncle Chong mengena.

 

 

Selang beberapa minit, kelibat tenggiri muncul di permukaan. Tenggiri seberat 3.8 kg berjaya didaratkan. Setelah matahari tegak, kami memulakan perjalanan balik ke jeti.

Dalam perjalanan balik kami sempat singgah di unjam berhampiran untuk mendapatkan sedikit sebanyak ikan kembung, selar, tamban dan kerisi untuk dibawa pulang.

 

Apabila tiba di lokasi unjam, kami sekali lagi menggunakan teknik hanyut untuk mencuba nasib. sambil memerhatikan rakan yang lain ‘meng-apollo’, umpan saya disentap kuat sehingga menyebabkan separuh tali dari kekili keluar tanpa henti.

 

Walaupun drag telah diketatkan tali masih lagi keluar. Sedang bertarung, kami sekali lagi menyaksikan seekor ikan layaran melompat di permukaan. Saya terus menggulung tali dan pertarungan telah masuk 20 minit.

 

Sedang asyik melayan asakan mangsa, umpan milik awak-awak yang hanya menggunakan koyan mendapat sambaran dari seekor lagi layaran. Pertarungan saya hampir ke-30 minit dan mangsa akhirnya berjaya dihela menghampiri bot.

 

Awak-awak terus menaikkan ikan layaran tersebut dan dianggarkan berat melebihi 35kg. Di sebelah kanan, pertarungan masih lagi berlangsung.

 

Apabila ikan menghampiri bot, sekali lagi ikan berjaya melepaskan diri. Selepas selesai ‘meng-apollo’, kami meneruskan perjalanan pulang ke jeti.

 

 

Apabila tiba di jeti, kami membahagikan hasil tangkapan kami kepada semua pemancing. Kini barulah badan kami terasa letih. Tetapi, bagi kami trip kali ini berbaloi kerana hasil tangkapan memuaskan hati kami.

 

Lebih-lebih lagi, dapat melihat dan merasai sendiri pengalaman bertarung dengan ikan layaran. Bukan sekali tapi 3 kali dapat melihat aksi ikan tersebut melakukan akrobatik di udara.

 

Selepas ini mungkin kami akan kembali ke sini untuk menduga ikan di dasar pula. Ini kerana banyak lagi lubuk yang masih belum lagi kami kunjungi untuk menguji kekuatan penghuni dasarnya.

Published by
Amang