Awal pagi lagi, saya dikejutkan dengan riuh rendah di hadapan khemah. Rupa-rupanya, joran pak Abu yang ditambat telah mengena. Sah… bila melihat Pak Abu menahan asakan lenturan joran, kelah besar yang telah mengena. Akhirnya kelah yang dianggarkan 4 kg berjaya ditewaskan. Senyum lebar Pak Abu bila umpan sebiji sawit berjaya menggoda kelah.
Selesai sarapan, saya, Zack, Encik Mohd dan Ajak bersiap sedia untuk ke bahagian hulu untuk casting. Kami ditemani oleh guide Janggut dan Khairul. Banyak juga sebarau dan tengas berjaya kami perolehi dan hampir kesemua sebarau yang kami perolehi dilepaskan semula.
Tiba di Lubuk Panjang (mendapat nama kerana terdapat lubuk dalam yang panjang), saya yang berada tidak jauh dari Zack telah dikejutkan oleh Zack yang tiba-tiba sahaja kelihatan sedang menahan asakan padu. Memandangkan dia hanya menggunakan rod Storm Discovery 4-10lb, tali 10lb & perambut 20lb, Zack agak lama bertarung.
Selepas lama dia bergasak, akhirnya dia menjerit keriangan apabila badong rupa-rupanya yang menyambar sesudu jenama Bakau warna tembaga 12 gram yang harganya bawah RM5 sahaja. Kami meneruskan lagi trip berkenaan sehinggalah petang sebelum kembali semula ke khemah.
Malam itu, kami menikmati hidangan ikan kelah bakar dan juga hidangan lain iaitu masak lemak cili api berserta hidangan sayur pucuk paku yang banyak tumbuh di sekitar khemah.
Kami meneruskan kembali aktiviti, sama seperti pecahan kumpulan semalam. Manakala Zaki, Acang Kopeng dan Pak Abu setia membottom tidak jauh dari khemah sambil, Acai Kopeng dan Pak Abu cuba-cuba juga membottom hingga ke pertengahan Lubuk Panjang.
Apa yang menyeronokkan bagi saya adalah, hari ketiga ini, saya lebih banyak memperoleh tengas menggunakan sesudu. Asalkan baling sahaja di lubuk dan spot berpotensi, pasti ada tengas yang rata-ratanya sebesar lengan kanak-kanak dan orang dewasa mengena.
Bagi saya, Zack dan Encik Mohd, kegilaan tengas menyambar sesudu seperti Abu Island II (warna perak dan tembaga), Bakau dan gewang murah seperti Ofmer membuatkan kami amat seronok, apatah lagi merasai henjutan dari rod yang melentur dan keluarnya tali dengan laju apabila drag dilonggarkan sedikit.
Zack nampaknya seakan mengulangi kejadian hari kedua apabila umpan sawit peram yang dilontarkan di hujung kepala lubuk pada malamnya berjaya menarik perhatian sang kelah.
Pada hari terakhir, kami hanya casting sekejap sahaja berhampiran kawasan khemah dan selesai makan tengah hari, kami bertolak pulang semula ke Sungai Kejar di mana tempat bot kami ditinggalkan.
Sesungguhnya, memori casting di hulu Taman Negeri Royal Belum akan terpahat dalam ingatan saya dan saya teramat rindu untuk menjengah lagi ke sini.