Kalau merujuk kepada nama saintifiknya, berbelit juga lidah hendak menyebut. Tetapi bagi kaki pancing, si perayap dasar ini mempunyai pelbagai nama mengikut dialek masing-

masing seperti pak janggut, jerangkung, sepit biru, agang, adoi-adoi, apek, jenggo dan bermacam-macam lagi.

 

Udang galah menghuni sungai air tawar dan air payau dari utara tanah air hingga ke selatan tidak ketinggalan Sabah dan Sarawak.

Ia diburu kerana keseronokan memancingnya selain rasa yang enak dan harga yang tinggi di pasaran.

 

Selain Rompin yang terkenal dengan udang galah, ibu negeri Pahang juga apa kurangnya iaitu Sungai Kuantan yang begitu meriah terutama di hujung minggu dengan kehadiran bot-bot pemancing dalam misi memburu penghuni bersepit di dasarnya.

 

Saya juga tidak ketinggalan menduga penghuninya. Jam 8 pagi, saya dan Nazam sudah terpacak di tepi tebing Sungai Kuantan menunggu kehadiran seorang lagi rakan, Azuan, empunya bot.

 

Setelah memasukkan barang-barang dan set alatan pancing, enjin Mercury 3hp dihidupkan maka bermulalah pencarian sepit biru Sungai Kuantan.

Walaupun enjin sangkut milik Azuan kecil kuasa kudanya namun terbukti mampu memacu bot fiber 12 kaki yang memuatkan kami bertiga.

Faktor arus Sungai Kuantan yang lemah gemalai juga membantu. Kalau arusnya laju memang tidak bergeraklah bot dibuatnya.

 

Trip Retro – Jerangkung Sungai Kuantan

 

Kami yang turun padang bukan pada hujung minggu nyata lega kerana terdapat hanya 3 buah bot sahaja pada pagi itu.

Ads

Menyusuri sungai yang airnya kuning kemerah-merahan agak mengusarkan hati. Apakah udang sudi menjamah umpan yang bakal dihulurkan.

 

“No problem.. saya suka juga memancing kalau air macam ni,” jawapan Azuan menghambat kerisauan di hati.

Sekurang-kurangnya ia dapat menyedapkan hati sendiri.

 

Lebih kurang 5 minit perjalanan, Azuan selaku tekong mematikan enjin, sauh dilabuhkan dan tunggu apa lagi.

Lima batang joran saya segera memulakan tugas dan mata mula tertumpu pada hujung joran.

 

Trip Retro – Jerangkung Sungai Kuantan

 

Azuan mendaratkan tangkapan pertama bersaiz remaja. Beberapa minit kemudian hujung joran saya bergetar tanda umpan telah dingap.

Ads

Kekili dikarau dan hasilnya seekor anak ikan yang tumpang sekaki menjamu selera.

 

Nazam dan Azuan mempunyai marking lubuk yang banyak untuk dikunjungi. Lepas satu lubuk, satu lubuk dicuba yang mana bot diparkir di tengah sungai dan umpan dilempar ke arah lubuk sasaran.

Apabila kulit mula terasa perit dipanah cahaya matahari, kami beralih ke lubuk yang hampir dengan kawasan rimbunan pokok.

 

Di lubuk teduh yang pertama kami singgah, suasana menjadi kelam kabut sedikit.

Apa tidaknya, joran Nazam membongkok diasak penghuni sungai yang belum diketahui apakah gerangannya. Yang pasti ia bukannya kerja si udang.

Kekili di karau. Tangsi sekejap tegang, sekejap kendur dan akhirnya mangsa menampakkan muka.

 

Seekor belida dalam lingkungan 2kg telah meragut umpan. Sayangnya di saat-saat akhir ia berjaya memutuskan perambut.

Kemunculan belida tadi nampaknya berjaya membakar kembali semangat kami yang mula luntur sedikit kerana keletihan setelah berpanas separuh hari.

Ads

 

Trip Retro – Jerangkung Sungai Kuantan

 

Makin kerap umpan diperiksa dan ditukar. Umpan isi ikan yang dibiarkan terlalu lama akan menyebabkan ia bertukar warna menjadi kekuningan akibat faktor air.

Sudah pasti udang enggan menghampiri. Dalam erti kata lain, kalau nak dapat hasil kenalah rajin memeriksa umpan.

 

Lubuk Mengkuang adalah lubuk terakhir dikunjungi sebelum kami bertolak pulang. Dengan hasil tangkapan yang agak lumayan untuk sesi pancingan separuh hari, memang berbaloi turun memancing di Sungai Kuantan.

 

Bagi mereka yang berani dan untuk lebih mencabar, bolehlah memancing pada waktu malam yang pastinya menjanjikan hasil yang memuaskan hati.

Sememangnya memancing udang galah mempunyai feel dan keseronokan tersendiri.

 

Trip Retro – Jerangkung Sungai Kuantan

 

Merasai henjutan di hujung joran yang lembut menggamit peminatnya turun memancing walaupun ada ungkapan ‘di mana ada udang, di situ ada buaya’.

Kita hanya mencari sedikit rezeki sambil melayan hobi.

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI