Selama ini apabila nama Sepayang (Kampung Sepayang atau Kampung Simpang Sepayang) disebut, saya hanya terbayangkan kisah-kisah kerakusan ikan toman membelasah jumpfrog atau softfrog. Empangan Sepayang sememangnya destinasi ramai kaki casting.
Tetapi tidak ketahuan pula bahawa Sungai Pontian yang merentangi Kampung Sepayang ini tersembunyi khazanah sungai yang turut diburu oleh ramai peminatnya. Rupanya banyak udang galah bermukim di Sungai Pontian.
Telah diketahui umum Rompon dinobat sebagai Bandar Layaran. Kejohanan Royal Pahang Billfish International Challenge yang dianjurkan saban tahun menjadi saksinya.
Bersempena kejohanan yang sama juga, pihak Tourism Malaysia mengambil inisiatif untuk memperkenalkan kemeriahan memancing udang galah kepada pengamal media antarabangsa. Dan Sungai Pontian yang terletak dalam mukim Rompin menjadi padang pancing ujian.
Bertempat di salah sebuah pangkalan atau jeti Kampung Sepayang, yang sebenarnya lebih merupakan port parkir sampan, sebanyak 8 buah bot fiber berkapasiti 2-3 pemancing, dengan purata enjin 4-8hp bersama guide dan tekong sambilan sedia menanti untuk memberikan perkhidmatan. Malahan set pancing turut disediakan oleh pihak penyelia trip ini.
Dengan berumpankan cacing tanah dan jantung, tekong-tekong membawa kami ke beberapa spot menarik di sepanjang Sungai Pontian. Sekitar 15 minit menghilir Sungai Pontian, spot yang dipercayai lubuk jenggo segera diuji.
Beberapa sampan yang dinaiki oleh ahli trip yang terdiri dari pengamal media tempatan dan antarabangsa serta pihak Tourism Malaysia tidak menunggu lama untuk mendaratkan spesies yang diburu.
Hilir Sungai Pontian yang cantik persekitarannya, hijau airnya, lembut arusnya dan damai keadaannya ini bertukar suasana umpama berada di fiesta apabila semakin ramai pemancing yang berjaya menarik keluar jenggo dari lubuknya.
Menariknya, memancing udang galah di Sungai Pontian ini kebanyakan jenggo yang dinaikkan mendiami spot di pertengahan sungai terbuka. Sementara udang berstaus udang megi pula mudah dipancing di kawasan berhampiran tebing atau lubuk-lubuk di bawah pokok nipah.
Jantung ayam menjadi umpan pilihan utama jenggo. Biarpun lebih lambat menerima getuan dari berumpankan cacing tanah, hampir majoriti jenggo yang dinaikkan berumpankan jantung ayam.
Selesai sesi pagi, rombongan trip menjenggo ini kembali ke pangkalan bagi menikmati makan tengah hari yang disediakan oleh pihak penyelia.
Juadah istimewa jenggo dan ikan pelali celup tepung ternyatakan melalikan semangat sebahagian besar pengamal media antarabangsa untuk meneruskan sesi kedua menjenggo.
Hanya pengamal media dari negara China saja yang mula terkena getah tarikan si jenggo. Biarpun sekadar mendaratkan beberapa ekor udang saja, beliau seperti jatu cinta dengan keunikan pancingan udang galah.
Rumusan dari trip ini bolehlah disimpulkan bahawa Sungai Pontian berpotensi besar untuk dimasukkan dalam kalendar lokasi menjenggo bagi pecinta pancingan udang galah .
Dengan sedikit penaikan taraf jeti atau pangkalan, bot fiber dan servis pakej memancing, nescaya Kampung Sepayang dan Sungai Pontian akan menjadi destinasi utama kaki jenggo.