Walaupun tidak menjanjikan hasil yang mantap seperti memancing di perairan-perairan laut dalam, memancing di perairan sekitar Pulau Ketam dan kawasan Pelabuhan Klang, sebenarnya masih boleh memberi laba yang tidak kurang lumayannya.

Segalanya bergantung kepada faktor air, cuaca, umpan dan tekong yang bijak dan tahu di manakah lubuk yang terbaik melabuhkan umpan.

 

Apa yang penting, pancingan sekitar ini boleh dianggap sebagai port memancing santai bagi warga Lembah Klang yang sentiasa kesibukan masa pergi memancing ke laut. Tambahan pula lokasinya dekat (boleh pulang hari) dan kosnya juga berpatutan.

 

Bagi mereka yang ingin menduga port pancingan di sini, terdapat beberapa lubuk yang boleh dikunjungi.

Biasanya sekitar Pulau Ketam (sama ada sekitar sangkar ikan, bangkai kapal tenggelam), lubuk sekitar Stesen Janakuasa Hidro Kapar, Pulau Jemur, Angsa dan sebagainya

termasuklah lubuk yang agak jauh iaitu Pintu Gedung dan juga pancingan dari atas Rumah Api One Phantom Bank (Permatang Sedepa).

 

Bahkan terdapat banyak kordinat-kordinat rahsia yang disimpan oleh kaki-kaki pancing yang menjanjikan laba lumayan jika kena waktu, umpan sesuai. Pandai-pandailah ‘membodek’ mereka dengan turut serta memancing bersama.

 

Trip Retro – Jengah Penghuni Tukun Che Minah

 

Tekong IKS

Johari Khamis atau lebih dikenali Tekong Ikan Kembong Sambal (IKS), menghantar Whatsapp mengajak saya ‘menotok’ jenahak di Pintu Gedung (laluan kapal) kerana

kunjungannya bersama kaki pancing yang menempah botnya membuahkan hasil yang baik. Lantas, saya mengajak beberapa orang rakan, Pozi, Zul, Azmi, Fauzi dan Azri.

 

Walaupun persiapan dilakukan, tetapi kuasa alam sukar diramal. Sehari sebelum ke Pintu Gedung, berlaku ribut di Selat Melaka. Atas faktor keselamatan, trip menotok terpaksa ditunda dan ditukar lokasinya sekitar Pulau Ketam.

 

Kami turun pada awal waktu subuh dari Jeti Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Klang, tempat IKS melabuhkan botnya.

Ads

Disebabkan, lokasinya bukan di Pintu Gedung yang memerlukan set pancingan kasar, peralatan yang digunakan hanyalah set sederhana sahaja.

 

Trip Retro – Jengah Penghuni Tukun Che Minah

 

Malah, satu set kecil dibawa, kerana di dalam fikiran, sambil menunggu ikan besar, bolehlah melayan ikan apa yang patut.

Beberapa lokasi telah kami singgah untuk melabuhkan umpan. Sementara menunggu hari cerah, kami menduga dahulu di muara sungai, iaitu berdekatan dengan tiang-tiang konkrit dermaga kapal.

 

Tanpa disangka, siakap bersaiz sekitar 2 kg berjaya dinaikkan Rozi dengan menggunakan umpan hidup. Beberapa lokasi diubah lagi dan hasilnya naik kerapu, gerut-gerut dan juga tanda. Boleh tahan juga port kat sini.

 

Berkunjung ke Tukun Che Minah.

Bila hari siang, bot kemudiannya di hala ke Tukun Che Minah. Tukun Che Minah ialah sebuah tukun kuboid (terdapat 3 kuboid di sini yang dibina sekitar awal tahun 2002 hingga

penghujung tahun 2008) yang dibina oleh Jabatan Perikanan yang terletak tidak jauh dari sangkar ikan Pulau Ketam.

Ia berfungsi sebagai sarang atau rumah ikan sekali gus berfungsi sebagai menambah baik tangkapan pada pemancing dan nelayan di sini.

Ads

 

Trip Retro – Jengah Penghuni Tukun Che Minah

 

Tiba di lokasi, seperti biasa ikan gelama mendominasi tangkapan jika menggunakan umpan udang pasar. Asyik-asyik dia je yang naik, sehinggakan tong ikan hampir penuh.

Seloroh IKS, “Kejap lagi adalah ikan besar naik, kerap-keraplah tengok umpan udang hidup tu, ada lagi ke tak,” katanya.

 

Rozi yang rajin melihat dan menukar umpan, akhirnya dihadiahkan satu tarikan kuat. Walaupun tidak lama bergasak, tetapi seronok jugalah melihatnya mengarau tali, kerana

set yang digunakan bersaiz 3000 dan joran 10-20lb. Akhirnya naik juga merah dalam skala 2 kilo lebih. Tersenyum lebar beliau.

 

Lewat tengah hari, arus agak laju, sekali gus membuatkan kami menuju ke Pulau Ketam untuk berehat. Tambahan pula, ada permintaan dari rakan yang tidak pernah menjejakkan

kaki ke pulau yang majoriti penduduknya kaum Cina yang mengusahakan bisnes sangkar ikan dan juga nelayan di sana.

 

Trip Retro – Jengah Penghuni Tukun Che Minah

Ads

 

Sekitar jam 3 petang, kami bergerak menuju ke anak-anak sungai di pulau berkenaan untuk menjala anak belanak dan juga udang hidup.

Selepas berpuas hati dengan umpan tambahan, kami bergerak menuju ke sangkar ikan, untuk menduga penghuni di bawah dan di tepi sangkar.

 

Tetapi, disebabkan akibat cuaca tidak elok di kawasan laluan kapal, olengan bot tidak begitu stabil dan lubuk sekitar kawasan bot karam cuba diduga.

Naik beberapa ekor ikan semilang dan tanda, ketuka. Tetapi, sambutan dari penghuni di bawah sana kurang rancak. Agak lama, baru menaikkan seekor demi seekor.

 

Lewat petang, sebelum pulang untuk menamatkan trip ini, kami singgah di Tukun Che Minah. Sambutannya juga agak kurang.

Ia disebabkan arus semakin laju sehingga batu nombor 10 terpaksa digunakan. Lewat petang trip ditamatkan sambil beberapa lagi tanda, semilang, anak kerapu dinaikkan semasa bekalan udang hidup semakin bersisa di kawasan tepi dermaga.

 

Walaupun, tidak berjaya menaikkan ikan target, iatu pari, trip ini bolehlah dianggap berhasil juga. Tambahan pula, cuaca menjadi penghalang di kala persiapan telah dilakukan.

Trip ini kami sifatkan, trip santai dan impian untuk menotok sang jenahak di Pintu Gedung akan dirancang tidak lama lagi.

 

Apa yang penting, bot gentian kaca IKS nyata selesa. Apa yang bestnya ia lengkap dengan rod holder, kotak umpan hidup, kotak letak barang, kemudahan alat GPS, penarik sauh elektronik, berbumbung, siap ada dapur gas untuk memasak ringkas dan yang paling pentingnya ia dilengkapi enjin berkuasa 200hp.

 

Trip Retro – Jengah Penghuni Tukun Che Minah

 

Waktu terbaik

Waktu memancing terbaik Tukun Che Minah & sekitar Pulau Ketam: Waktu ‘bunga pasang- bunga surut’ (air mula nak pasang dan turun- arus perlahan). Kerana waktu ini, arus tidak laju dan boleh gunakan batu bersaiz 6, 7, 8.

(Oleh: Mohd Hazrizal Mohd Hanapiah)

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI