Seawal jam 7.00 pagi lagi saya, Andi Max, Lee dan Rosli Su dah berada di atas bot kayu biru sepanjang 21 kaki dan lebar 5 kaki yang dipacu oleh dua buah enjin berkuasa 15 hp setiap satu.
Berbekalkan udang hidup yang dibeli dari nelayan yang berhampiran, kami berempat berharap agar dapat bermesra dengan penghuni lubuk Pulau Baru.
Saya sebagai tekong memerah habis kelajuan yang termampu. 30 minit diperlukan untuk tiba di lokasi.
Tanpa menunggu lama, kami dikejutkan dengan joran milik Lee yang dihenjut kasar membuatkan dia kelam-kabut memberikan tindak balas yang sepatutnya. Kemenangan berpihak pada sang ikan.
Ads
Selang beberapa minit kemudian, Andi Max pula diuji. Mangsa yang berada di hujung tali pancing berjaya dijinakkan. Seekor jenahak skala 1.4 kilogram tumpas.
Belum sempat Andi menanggalkan mata kail, saya pula mengambil giliran bertegang urat dengan sang jenahak.
Jenahak 1.7 kilogram terkulai juga selepas beberapa kali pecutan yang mengujakan. Henjutan seterusnya dialami oleh Rosli yang tiba-tiba ditekan oleh pecutan kuat.
Ads
Jenahak skala 1.8 kg berjaya Rosli jinakkan. Selepas jenahak tersebut didaratkan, lubuk agak sunyi dari pagutan ikan. Hanya ikan-ikan kerapu kecil yang mengganti sang jenahak yang mendiamkan diri.
Hinggalah sekitar jam 2.40 petang, Lee yang agak pendiam tiba-tiba membuat sentapan balas yang mengejut. Pecutan mangsa dilayan dengan baik.
Larian ikan kali ini agak berbeza dari jenahak. Lebih degil dan sukar. Aksi bertarik tali berterusan sehingga 4 minit. Andi yang sudah bersedia dengan tangguk resah menanti.
Ads
Minit ke-7 barulah ikan kelihatan. Tanpa menunggu lama, Andi lantas menyauk ikan yang menjadi lesen Lee pada hari itu. Seekor ikan kaci terkulai di dalam tangguk. Sesi fotografi dijalankan.
Seterusnya kami hanya ditemani oleh keramahan anak kerapu dan merah yang bersaiz tapak tangan hingga kepetang. Tepat jam 5 petang, kami sepakat untuk pulang.
Bekalan umpan hidup sudah habis dan hasil tangkapan pun sudah memadai. Tak perlu mencari lebih. Cukuplah sekadar untuk dijadikan lauk sehari dua.
Bila arus pasang surut akan sesuai lagi dan ada kelapangan masa, kami akan berkunjung lagi. Semoga penghuni lubuk Pulau Baru sentiasa menerima kehadiran kami.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Negara Maldives yang terletak disebuah kepulauan yang terletak di Lautan Hindi juga dikenali sebagai Pulau Terumbu Karang.
Maldives memliliki lebih 26 terumbu karang (atoll) yang diwartakan sebagai wilayah dengan 1,192 kepulauan kecil di dalamnya.
Apabila disebut Maldives, ia adalah salah satu kepulauan yang merupakan destinasi idaman setiap pelancong di seluruh dunia dek kerana kecantikan perairan dan pulaunya.
Tidak hairanlah juga ia destinasi idaman untuk berbulan madu. Bagi kaki pancing, ia satu destinasi yang perlu dikunjungi oleh para pemancing yang menggemari teknik popping dan jigging.
PERSIAPAN
Satu trip ke Maldives telah saya dan rakan-rakan lain dari Prime Anglers rencanakan dan tumpuan kami adalah teknik popping dan jigging.
Untuk popping banyak peralatan perlu dibeli dan disediakan seperti joran, kekili, popper, mata kail sampai ke aksesori.
Untuk jigging di Maldives peralatan yang digunakan lebih kurang sama sahaja seperti peralatan yang digunakan di Pulau Jarak. Jig dari 140g-250g.
POPPING
Popping boleh dianggap sebagai kaedah memancing yang mengghairahkan dan apabila dicuba oleh pemancing pertama kali dan mendapat hook up pasti pemancing itu akan gembira dan terkena racun yang kuat untuk popping.
Setup untuk popping di Maldives memerlukan joran PE8 sampai PE10 (tertakluk kepada jenama yang berlainan), kekili spinning seperti model Shimano SW10000HG, SW14000XG sudah mencukupi.
Untuk popping, tali utama kami menggunakan Shimano Ocea 121lb, TUF Line 80lb, Daiwa Saltiga Boat 100lb dan untuk leader kami menggunakan shock leader bersaiz 130lb, 150lb dan 170lb.
Pemilihan popper untuk Maldives kami menggunakan stickbait kerana ia adalah killer untuk GT di sana.
Kami menggunakan stickbait FCL Labo model CSP175HS, SPPSLIM, SPPTUNA kerana ia sudah terbukti di sana senang mendapat hook up yang banyak sekali.
JIGGING
Jigging adalah satu kaedah yang sudah terkenal di arena memancing dan joran yang dibawa kami ialah dari jenama Major Craft Giant Killing spinning PE1.5-4 dan PE2-4.
Joran Evergreen Poseidon juga tidak ketinggalan kerana joran ini dibuat khas big game.
Antara joran Evergreen Poseidon spinning ialah PE2.5, PE3 dan PE4. Joran ini terkenal dengan backbone yang kuat dan jorannya ringan.
Kali ini saya membawa setup slow pitch jigging ke sana dengan joran dari Major Craft Giant Killing GKJ B64/4SP PE1.5-3 max jig: 150g. Jig dari 130g-250g diperlukan untuk perairan Maldives.
Trip Maldives dan juga bot Kandi Hibaru ini perlu diatur dan ditempah setahun lebih awal.
Jika ingin memancing di Maldives, bulan Oktober hingga Mei paling sesuai kerana ia musim lenang. Musim monsun di Maldives bermula dari Jun hingga September.
Saya merancang trip ini untuk ahli-ahli Prime Anglers yang pertama kali menjejakkan kaki ke Maldives.
Antara ahli Prime Anglers yang menyertai trip ini ialah Steven, Dennis, Meng, Venice, Ice dan saya sendiri bertolak dari lapangan KLIA dan terdapat dua orang ahli Prime Anglers dari Singapura iaitu Sims dan Jit yang bertolak dari Singapura ke Maldives.
Dari Malaysia ke Maldives penerbangan mengambil masa lebih kurang 4 jam. Kami tiba di Male, ibu negara Maldives atau lebih tepat lagi Lapangan Terbang Antarabangsa Ibrahim
Nasir tepat jam 9.45 malam waktu tempatan dan kami menunggu dalam masa 15 minit sebelum water teksi dan staff mereka menyambut kedatangan kami dan terus menuju ke bot yang akan kami tinggal dan pancing selama 7 hari.
Selepas memunggah semua barang kami ke bot Kandi Hibaru, masing-masing tidak tunggu lama membuat persiapan dan memasang kekili ke joran dan membuat ikatan yang perlu.
Bot Kandi Hibaru berlabuh di sini sepanjang malam dan keesokan hari jam 6 pagi, barulah bot mulai bertolak ke lubuk popping.
Selepas berlabuh, kami mulai memancing, memang tidak tunggu lama, apabila seorang demi seorang mendapat sambaran.
Sedar tidak sedar, kapten bot telah pun siap menyediakan hidangan tengah hari dan selesai menjamu selera, kapten bot pun bertolak ke lubuk seterusnya.
Tiba sahaja di lubuk baru, tidak sampai 3 membuat lontaran, Sims mendapat satu sambaran yang kuat dan joran popping terus melentur dan kedengaran bunyi drag Stella
SW18000HG berbunyi tidak henti dan krew bot pun membantunya ke belakang bot bagi memudahkannya bertempur dengan GT.
Selepas hampir 15 minit bergasak, akhirnya GT yang dinantikan telah muncul di permukaan air dan kami semua pun amat teruja melihat GT bersaiz bagak sekali.
Hari pertama GT mega sudah dinaikkan dan kami semua pun penuh dengan semangat walaupun kawan kami yang menaikkan GT 30kg.
Selepas 30 minit tiada lagi sambaran untuk popping kapten pun bertukar ke lubuk jigging. Lubuk jigging di sini kedalamannya dari 50m-140m.
SYURGA MEMANCING
Sepanjang berada di Maldives, boleh dikatakan semua daripada kami puas hati dengan tarikan demi tarikan ikan yang diperolehi.
Puas dengan sesi popping, kaedah jigging pula dipraktikkan. Tekong dan kru bot Kandi Hibaru pula memang tahu di mana spot terbaik buat kami.
Di sini, memang betul-betul syurga ikan. Tekong tidak gusar jika di satu spot tiada tangkapan dilakukan.
Terdapat beratus-ratus malah mungkin beribu spot memancing terbaik di Maldives.
Apabila malam menjelma, pelbagai ikan yang berjaya diperolehi melalui kaedah jigging, besar atau kecil jig yang dihulurkan majoritinya pasti akan disambut oleh penghuni di bawah.
Pelbagai jenis ikan diperolehi yang ada rupanya belum pernah lagi saya lihat, terutama spesies kerapu yang beraneka warna dan corak.
SANGAT PUAS HATI
Sesesungguhnya, perjalanan trip kami selama 7 hari di Maldives memang cukup-cukup puas hati.
Momen memancing dan pengalaman yang diperolehi cukup berbaloi dengan pelaburan perbelanjaan yang setiap orang keluarkan.
Andai masa mengizinkan, kami pasti akan datang lagi ke sini suatu hari nanti. Memang tidak dinafikan, Maldives adalah syurga buat kaki pancing!
Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa tahu. Tapi tuah Md Rizal Ismail, datang bergolek tepat jam 9.05 pagi, Isnin lalu apabila joran 5 kaki miliknya berjaya menjerat sembilang 0.730 kilogram sekali gus muncul juara Pancing Santai Pantai Kelanang.
Tempat kedua disandang Simah, dari perkampungan Orang Asli Tongkah, yang menjinakkan gelama papan 0.500 kg, manakala Shariff Wahi berpuas hati di tempat ketiga dengan ikan sembilang 0.500 kg.
Kemenangan Simah dan Shariff ditentukan oleh masa tangkapan apabila kedua-duanya menaikkan ikan yang sama berat, namun Simah berjaya menaikkan tangkapannya lebih awal iaitu pada jam 8.10 pagi manakala Shariff pada jam 8.25 pagi.
Dengan kemenangan itu, Md Rizal membawa pulang RM7,000.00, Simah menerima RM3,000.00 manakala Shariff berpuas hati dengan RM1,000.00 serta hamper.
Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Adun Morib, Hasnul Baharuddin dan Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid.
Dalam ucapan mereka, Hasnul dan Abdullah Sani membayangkan pertandingan memancing Pantai Kelanang akan menjadi acara tahunan, sambil membayangkan acara sama turut akan diadakan di Pantai Morib.
Ini berikutan sambutan menggalakkan daripada penduduk Kuala Langat, khususnya dari kawasan DUN Morib. Namun, menurut mereka yuran yang perlu dibayar bagi menyertai pertandingan memancing itu nanti dijamin tidak akan membebankan peserta.
Team BTR kali ini mensasarkan padang pancing di sekitar pelantar minyak Ang-C, Terengganu. Menurut tekong terdapat lebih 60 pelantar di sekitar kawasan tersebut.
Dengan peruntukan masa selama 4 hari 3 malam hanya beberapa pelantar dan sekitarnya sahaja yang dapat digempur.
Perjalanan dari jeti bermula pukul 10 pagi. Ketika melalui unjam laut, awak-awak menurunkan peralatan ngolok aya.
Berbakul-bakul ikan aya atau tongkol saiz sehingga 1 kg setiap ekor diperoleh. Lebih dari cukup untuk dibuat umpan nanti.
Perjalanan mengambil masa 12 jam untuk sampai ke destinasi pancing. Apa lagi, sebelum bertarung inilah masa untuk tidur mengumpul tenaga.
Saya tersedar dari lena apabila terdengar bunyi bising berdesing lantas bergegas keluar dari dek bot. Rupa-rupanya bot telah pun parking berhampiran pelantar minyak Ang-C. Jam tangan menunjukkan angka 10.15 malam.
Selepas pekena roti dengan kopi panas sesi pertama kami bermula. Kaki bottom tercatuk di depan bangla masing-masing manakala jigger mula mengocak joran.
Jig Eupro Zebra pendar cahaya 80 gram yang diunjun Rizal direntap ganas. Pertarungan yang memercikkan peluh menghasilkan cupak dalam anggaran berat lebih 4 kg.
Mangsa hasil umpan besi pertama nyata telah membakar semangat kami semua.
TUAH BANGLA BARU
Hirisan tongkol segar selebar tiga jari yang dihulur oleh Omar ke dasar terus bersambut. Tersenyum Omar sambil menunggu tali sulam Ichiban 80lb digulung kekili elektrik Command X4 NP.
Mesin baru katakan, tentunya teruja untuk melihat apakah gerangan ikan yang bakal muncul di permukaan. Wah… seronok betul dia, ikan merah yang merasmikan bangla barunya.
Arus pada malam pertama nampaknya tidak memihak kepada kami. Tali yang tegak umpama tiang bendera memberi isyarat tiada arus dan penghuni dasar sudah pasti tidak bergerak aktif.
Lantas Roy mencapai set jigging elektrik kecilnya dan menurunkan jig Madai 60 gram.
Dengan setting karauan laju, joran dihenjut-henjut dan beberapa saat kemudian joran menunduk tanda ada pemangsa yang membaham jig. Seekor cupak rempit berjaya didaratkan ke lantai bot.
Malam itu Roy hanya menumpukan kepada jigging menggunakan bangla dengan hasil 15 ekor cupak berjaya dipindahkan dari perairan Ang-C ke tong Coleman.
Roy memberhentikan acara jiggingnya setelah dia merasakan kekilinya sudah panas.
“Tangkap pinggang woo..” ujar Roy sambil menggosok-gosok pinggangnya. Tahu tak apa!
LOPAK SANG MERAH
Pagi hari pertama Tekong Pok Lan memecut laju ke spot ikan merah. Sebaik sampai hon dibunyikan sebagai isyarat pemancing sudah boleh melabuhkan umpan.
Pantang jatuh sahaja hirisan kepingan sotong atau hirisan tongkol pasti ada merah yang melahap umpan.
Apabila batu ladung mencecah dasar, jari telunjuk mesti terus standby di sisi butang manual (batang sentap) kekili elektrik.
Sentap balas mesti dilakukan secepat mungkin. Kalau lambat sedikit alamatnya melepaslah.
Suasana riuh-rendah di sebelah kiri dan kanan bot dengan suara pemancing yang bersorak keseronokan melayan strike. Air di sini tidak lah begitu dalam.
Paparan skrin kekili menunjukkan angka 50-60 meter sahaja namun habuan yang naik boleh tahan saiznya.
Arus pula sederhana laju dengan saiz ladung 720 di hujung perambut menyaksikan tali utama kami dalam keadaan ‘condong lemang’.
Sudah dikira cantiklah tu. Kalau arus laju sangat jawabnya ladung besar penumbuk kena beraksi.
PERAMBUT DUA MATA
Tanduk stainless steel panjang setengah depa yang saya bawa hanya tersimpan dalam beg joran. Penggunaan perambut apollo dua mata berkekuatan 60lb-80lb nampaknya cukup menjadi.
Bukan merah sahaja yang terjerat. Kerapu, tambak, ibu kerisi, kerapu bara, tetanda, kaci dan jemuduk berjaya didaratkan. Bekerja keras nampaknya kekili Command X5 HS saya melayan asakkan penghuni dasaran Ang-C.
Apa yang menarik adalah kemunculan spesies ikan target yang menjadi sasaran saya secara peribadi iaitu ibu kerisi.
Spesimen ini mendiami lautan dalam antara 50-200 meter dan ia tergolong dalam keluarga Lutjanidae bersama siakap merah, jenahak, delah dan ikan merah. Ikan ini lebih aktif memagut umpan disiang hari berbanding malam.
Ibu kerisi tiada kaitan dengan ikan kerisi biasa yang boleh dipancing di laut pesisir pantai kerana kerisi kecil tersebut termasuk di dalam keluarga Nemiptiredae.
Di Pantai Timur Semenanjung, ibu kerisi lebih ‘glamour’ berbanding ikan merah mahu pun jenahak.
Ikan bertaraf AA+ ini dengan isi yang halus lembut serta kesukaran mendapatkannya dalam jumlah yang banyak menyebabkan harganya amat tinggi di pasaran.
Ikan ini biasanya akan disimpan oleh nelayan laut dalam untuk ditolak kepada peraih yang menjualkannya ke pasaran Singapura.
Jika ditakdirkan panjang umur, ibu kerisi boleh mencapai skala berat melebihi 20kg. Pada kunjungan ini saiz 2-3 kg yang berjaya didaratkan sudah dikira cukup bagus.
Ia menggemari dasar keras serta kawasan karang dan berbatu. Di sebelah Pantai Timur lopak-lopak serta karang di sekitar kawasan cari gali minyak menjadi kediaman spesies ini.
Menurut Pok Lan, 3-4 bulan akan datang barulah dia akan kembali semula ke spot yang telah dikunjungi. Eloklah tu. Barulah ikan tidak culas memagut umpan.
Mana yang rabut serta mengalami kecederaan di bibir sempat sembuh dan lupa ‘kisah seram’ yang dilalui.
Lagipun kalau tidak beribu, pastinya beratus-ratus lagi lopak keramat yang disimpan oleh Pok Lan dalam GPS miliknya.
CUACA YANG CANTIK
Syukur kerana sepanjang kami berada di lautan tiada hujan yang mencurah serta tiada angin kencang yang menerjah.
Awak-awak bot Pok Lan juga ‘ringan tulang’ sentiasa sedia membantu menguraikan kekusutan apabila tali pancing tersangkut sesama sendiri, membantu melekatkan tanda pada ikan-ikan yang diperolehi (ikan tak kongsi) dan tidak ketinggalan masakan chef Ganu yang umppph!
Dari apa yang saya dengar, Team BTR akan mengadakan trip susulan. Cuma tarikhnya belum pasti. Itu lah pemancing, bila dapat ikan nak ulang balik.
Bila kumpau pulak nak repeat semula sebab tak puas hati, nak balas dendam katanya!
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...