Oleh : Lai Malie
Desakan naluri yang inginkan suntikan suasana aman serta kesegaran udara pergunungan bersulam hamparan air tasik saujana mata memandang, menjadi desakan kuat untuk penulis mengunjungi Tasik Bakun untuk kesekian kalinya.
Tetapi misi kali ini lebih kepada fasa terapi penyembuhan selepas kejadian hitam, terbabit dengan kemalangan lebih setahun lepas yang menyebabkan penulis berehat panjang daripada sebarang aktiviti luar termasuklah memancing.
Trip kali ini disertai oleh beberapa kenalan rapat dalam Mukah Anglers Group yang terdiri daripada penulis sendiri, Effie Bareng, Osman Lu, Dominic Lee serta Awangku Khalid termasuklah saudara Richard Kinn yang tak putus putus memberi perangsang.
Setibanya di Bintulu, kami mengambil kesempatan untuk bersarapan seawal jam 4.30 pagi sambil menunggu Richard Kinn untuk turut serta.
Seterusnya perjalanan diteruskan lagi dengan tambahan sebuah lagi kenderaan 4×4 menuju ke Pekan Sungai Asap untuk menjemput seorang lagi tekong serta kelengkapan yang lain.
Hujan Dan Hujan Lagi
Hujan seperti mengalu-alukan kehadiran kami ke Tasik Bakun. Sepanjang perjalanan kami dari Pekan Kecil Sungai Asap ditemani simbahan air hujan membuatkan pergerakan
kenderaan perlahan dek kerana jalan yang curam bertambah licin dengan genangan air hujan.
Sesampai sahaja kami di jeti utama, kami tidak terus memunggah barang kerana hujan lebat masih lagi mencurah curah.
Hanya setelah beberapa ketika setelah hujan reda, kami tanpa berlengah terus memunggah kesemua barang ke dalam dua buah bot yang telah sedia.
Berbanding dengan lawatan penulis pada trip yang lepas, paras air Tasik Bakun jauh lebih tinggi pada trip kali ini.
Sesi Pemanas Badan
Perjalanan menggunakan 2 buah bot berkuasa kuda masing masing 30hp dan 15hp kami teruskan lagi untuk kira kira 1 jam lebih yang banyak dibantu oleh cuaca yang baik serta keadaan tasik yang tidak beralun.
Sesampai kami di boathouse, Richard Kinn terus menyediakan sarapan sambil kami menyiapkan senjata tempur masing-masing.
Sebaik selesai menjamu selera sebagai tambahan tenaga untuk bertempur dengan serigala pergunungan kelak, kami terus memecut dengan 2 buah bot ke spot yang telah dikenalpasti oleh tekong.
Hari pertama sesi mengilat kami dimulakan agak lewat sedikit kerana cuaca di sebelah pagi yang tidak mengizinkan. Namun setelah cuaca kembali cerah, aktiviti kami kembali lancar.
Penulis bersama Effie Bareng dan Awangku Khalid menaiki bot yang dikendalikan oleh Richard Kinn manakala Osman Lu dan Dominic Lee memecut dengan sebuah lagi boat yang dikendalikan oleh rakan Richard Kinn.
Kami telah mencuba dibeberapa suak serta kuala sungai sungai kecil yang berpotensi. Agak sunyi juga kerana kurang sambutan daripada sang ikan sasaran.
Sehinggalah kami tiba di sebuah lubuk kuala sebuah sungai kecil yang dipenuhi dengan bangkar kayu di dasarnya.
Suasana sunyi tiba-tiba bertukar ceria apabila Richard Kinn mendapat satu sambaran kasar dari sang pemangsa.
Setelah adegan tarik menarik antara kudrat manusia dengan sang ikan, akhirnya seekor sebarau gemuk memunculkan diri.
Kami serentak bagai mendapat tonik baru bagi memburu kawanan sang badong di situ. Namun setelah beberapa ketika, sang badong yang diburu tetap enggan memunculkan diri.
Mungkin sudah bersembunyi di sebalik bangkar kayu setelah rakannya kami dapat sebentar tadi.
Kaloi si pengubat duka
Dalam keterujaan kami ingin mendapatkan si badong dengan balingan sesudu dan gewang replika ikan keluaran Storm Arashi Siries ke spot yang dirasakan berpotensi.
Secara tak sengaja bunyi jatuhan umpan yang kami gunakan telah menarik minat kaloi. Setelah diteliti, terdapat beberapa pasangan kaloi sedang berlegar legar di sekeliling bot.
Namun ianya enggan merampas umpan tiruan yang kami gunakan sehinggalah Richard Kinn mengeluarkan beberapa bentuk mata kail yang telah beliau sediakan khas untuk menjerat kaloi.
Roti yang kami bawa sebagai bekal menjadi umpan utama untuk kaloi. Seperti kebiasaannya, Richard Kinn menunjukkan cara yang betul untuk memujuk kaloi Tasik Bakun.
Selang beberapa ketika, Kaloi pertama berjaya didaratkan dengan kaedah pancingan berumpankan roti. Saiz kaloi di sini pun boleh tahan juga.
Setelah mengambil beberapa gambar, kaloi yang kami perolehi kami lepaskan semula ke habitatnya selaras dengan matlamat kami yang menjadikan amalan ‘Tangkap, Gambar dan Lepas’ dengan selamat bagi memastikan kelangsungan stok ikan dan kelestarian alam.
Kaloi terus menjadi buruan kami petang tersebut kerana begitu banyak ikan ini keluar dari sarangnya mendapatkan umpan yang kami hulurkan.
Adakalanya kaloi yang berjaya diperolehi lolos dengan memutuskan perambut yang disediakan.
Sehinggalah penulis menyarankan penggunaan setup ultra ringan untuk melayan lembut kaloi yang menjamah umpan.
Penggunaan setup ultra ringan ternyata lebih berbaloi dan mampu menyerap setiap larian sang kaloi.
Effie Bareng yang menggunakan setup joran 2-6lb berjaya mendaratkan lesen kaloi pertamanya di Tasik Bakun.
Kepuasan terpancar jelas di wajah apabila kaloi berada dalam pangkuannya.
Selepas berpuas hati melayan karenah kaloi di lubuk tersebut, kami seterusnya mencuba mengilat di beberapa spot yang seterusnya.
Cuma beberapa ekor sang sebarau bersaiz juvenil yang sudi menghiburkan kami. Sesi pemanas badan hari pertama akhirnya kami tamatkan setelah senja menjelma.
Setelah sampai di boat house kami mendapat berita bahawa Osman Lu serta Dominic Lee, telah mendapat beberapa sambaran sang monster sampaikan ada beberapa kes rabut berlaku.
Yang tak tahannya meskipun rabut monster, mereka masih berjaya mendaratkan beberapa ekor semah serta badong bersaiz layan dengan bermodalkan sesudu keluaran Tony Spoon.
Hari Kedua Pancingan
Cuaca baik umpama mengalu-alukan sesi pancingan kami untuk hari kedua trip kami. Setelah bersarapan pagi yang agak berat sebagai bekalan tenaga ekstra semasa pancingan kami kelak.
Bot yang dikemudikan oleh Richard Kinn diikuti sebuah bot lagi terus memecut ke beberapa lubuk yang agak jauh dari boat house kami.
Cubaan untuk menjerat sang badong dan empurau kami terus menemui jalan buntu apabila sesi awal pagi kami Cuma dihiburkan dengan layanan manja si sebarau juvenil.
Cuma setelah kami berpindah ke sebuah lubuk yang merupakan sebatang sungai kecil, barulah sang sebarau dua belang dengan saiz yang memberangsangkan memunculkan diri.
Sesudu terus menjadi taruhan utama kerana keadaan air yang jernih menjadikan sang ikan lebih culas.
Setelah berehat untuk memulihkan tenaga, kami sebulat suara untuk menyambung kembali sesi pancingan.
Kali ini Richard membawa kami ke beberapa buah lubuk sang badong yang sebelum ini banyak didaratkan beliau. Masing-masing begitu bersemangat dan teruja.
Cerita beliau ternyata menjadi kenyataan apabila balingan sesudu Siam Spoon ke sebuah reba kayu tenggelam yang sengaja dikarau rapat sehingga melanggar struktur reba tersebut telah mendapat sambaran yang amat kasar.
Meskipun drag kekili beliau telah dikunci seketat mungkin, namun sang kenangan, ia cepat-cepat kami bebaskan kembali.
Selepas tangkapan sang badong tersebut, kami ada juga mendaratkan beberapa ekor sebarau sebelum menamatkan sesi pancingan pada hari tersebut memandangkan cuaca
begitu cepat bertukar gelap dek kerana awan hitam yang membawa hujan semakin menghampiri kami.
Dalam perjalanan balik, kami terserempak dengan nelayan tempatan yang berjaya mendaratkan beberapa ekor ikan baung mega dengan kaedah rawai berumpankan anak ikan. Ikan baung tersebut mencapai saiz 3-7kg!!!!.
Kesempatan tersebut kami ambil untuk merakam gambar kenang-kenangan almaklum, di tempat kami di Mukah, kawasan pesisir pantai tidak ada ikan baung yang bersaiz sebegini.
Kami sempat membeli seekor ikan baung skala 3.5kg bagi merasa keenakan isinya untuk hidangan malam kelak.
Perjalanan balik ke boat house kami menjadi amat mencabar apabila hujan lebat serta angin kencang menghambat dari segenap sudut.
Mujurlah Richard begitu arif dengan persekitaran Ulu Linau tersebut biarpun pandangan amat terbatas dek hujan lebat sehingga tak nampak langsung persekitaran ditambah lagi dengan cuaca yang sudah gelap.
Hari Terakhir
Pada hari ketiga yang merupakan hari terakhir pancingan kami, sedikit rombakan dibuat.
Penulis akan disertai oleh Dominic Lee dan Osman Lu sambil Richard Kin pula menjadi tekong. Manakala Effie Bareng serta Awangku Khalid menggunakan bot yang satu lagi.
Pencarian badong tetap menjadi agenda utama kami di sekitar Ulu Linau, Bakun ini. Kali ini kami dibawa oleh Richard ke sebuah lubuk yang agak dalam lagi gelap airnya.
Kebiasaannya ada empurau mengendap mangsa di sini menurut Richard. Setelah mencuba hampir satu jam, empurau mahupun badong yang dicari tak juga muncul.
Namun beberapa keputusan positif dapat dilakukan di lubuk tersebut terutamanya sang sebarau berjaya didaratkan menggunakan jig oleh Dominic Lee.
Di bot lain juga, hasil-hasilnya tidak mengecewakan. Beberapa hari kami di sini ternyata memberikan pengalaman manis terutama bila dapat beraksi di lapangan pancing yang masih mempunyai penghuni ini.
Kami amat bertekad untuk kembali lagi ke Ulu Linau, Bakun, bukan setakat untuk menjerat empurau mahupun badong sahaja, malah akan mencuba pancingan ikan baung monster yang banyak didaratkan oleh nelayan tempatan sebelum ini.
Terbayang di minda kami akan saiz yang sebesar paha orang dewasa tersebut menghenjut joran. Perghhhh… pasti akan terpancar kepuasan melayannya.