Trip Retro – Jelajah Pulau Midai, Natuna (bahagian 2)

Share

 

Mula Beraksi

Kelihatan tekong Am tercari-cari lubuk potensi di sekitar perairan Pulau Midai. Hanya dengan berbekalkan sedikit info dan lubuk yang dikongsi oleh nelayan tempatan menjadi modal bagi tekong Am mencari lubuk. Beberapa lokasi yang dianggap berpotensi dicuba oleh tekong Am.

 

Hasil yang diperolehi tidaklah sebagus mana. Hanya ikan-ikan dasar juvenil yang sudi melayan kami. Oleh kerana demikian, tekong mula bergerak lebih jauh ke barat pulau Midai.

 

Kami akan menguji setiap lubuk yang disinggahi oleh tekong. Jika lokasi yang disinggahi tidak memberi hasil yang baik, kami segera memaklumkan kepada tekong dan bot segera berpindah mencari lubuk yang lain.

 

Pelbagai lokasi yang kami singgahi, ada yang memberi hasil dan ada juga yang kosong. Antara lubuk yang terbaik yang kami singgahi ialah lubuk cermin dan merah. Mulanya kami berhenti di sebuah lubang yang agak curam bila dilihat melalui sonar. Selepas umpan sotong diturunkan, serta merta umpan dijamah ikan.

 

Jom like & See First page portal memancing terbaru – www.facebook.com/umpanmania101

 

Hampir kesemua ahli trip mengalami nasib yang sama dan hasilnya ikan cermin bintik bersaiz kasar. Selain itu ikan kerapu, merah dan ibu kerisi berkongsi bersama-sama lubuk yang sama.

 

Jig besi juga kami turunkan untuk menguji lubuk ini dan keputusannya amat mengujakan kami. Selepas ikan di lubuk ini memenuhkan 2 tong 400qt milik bot, kami bergerak menuju mencuba di lubuk lain.

 

Malam Di Midai.

Menjelang waktu malam. Bot telah dilabuhkan di sebuah lubuk yang dipenuhi batu dan karang. Percubaan pertama kami menggunakan jig hanya mampu menaikkan ikan cupak dan alu-alu yang bersaiz juvenil.

 

Walaupun hasil masih tidak memuaskan pada pancingan malam, kami masih tidak putus asa dan bersabar. Pelbagai teknik digunakan di antaranya teknik jigging dan dasar menggunakan perambut appollo dan tanduk.

 

 

Kira-kira pukul 2 pagi ketika arus mula berubah, set pancingan yang digunakan pancingan dasar mula menunjukkan tanda getuan ikan. Memang benar! Ikan-ikan gred A mula memakan umpan yang kami labuhkan. Ikan siakap merah, jemuduk bintik, merah, jenahak dan kerapu mula dinaikkan oleh kami satu persatu.

 

Saya juga memperolehi kerapu bersaiz 5kg berumpankan sotong menggunakan teknik dasar serta disusuli Rostam yang berjaya menaikkan kerapu boron yang seberat lebih 15kg di spot yang sama. Berkat kesabaran kami memancing, akhirnya kami memperoleh hasil yang melimpah pada malam tersebut di perairan Pulau Midai.

 

MERAH 10 MINIT

Keesokan harinya, kami meneruskan rutin mencari dan menerokai lubuk baru. Seperti semalam kami masih menjumpai lubuk-lubuk yang kosong. Ada juga lubuk yang menunjukkan ikan yang banyak di sonar, tetapi apabila umpan diturunkan hasilnya sangat mengecewakan. Tiada hasil yang berjaya diperolehi.

 

Walaupun begitu masih ada juga lubuk-lubuk yang memberi hasil kepada kami. Paling mengujakan kami apabila kami terserempak segerombolan ikan merah melalui sonar. Bot mula mengambil posisi tepat di bawah kumpulan ikan ini. Maka kami dengan pantas mula memancing dan melabuhkan umpan.

 

Jom like & See First page portal memancing terbaru – www.facebook.com/umpanmania101

 

Beberapa saat umpan turun di dasar, ikan terus memakannya dan rod mulai melentur kuat. Kami semua tidak menang tangan melayan merah yang galak memakan umpan. Rupa-rupanya kami berada betul-betul tepat di bawah lubuk ikan merah.

 

 

Riuh rendah keadaannya dibuat apabila semua sibuk dengan hasil tangkapan masing-masing. Hanya 10 minit memancing kami telah berjaya menaikkan berpuluh-puluh ikan merah yang saiznya rata-rata 3-4kg.

 

Kami masih meneruskan memancing sehingga gerombolan ikan tersebut beredar ke tempat lain. Selepas lubuk tersebut sunyi sepi, kami berpindah mencari lubuk lain yang berpotensi. Kami meneruskan usaha mencari lubuk atau lokasi memancing yang baru di Pulau Midai tanpa kenal erti jemu.

 

Pengalaman Bermakna

Tanpa disedari sudah 3 hari 2 malam kami berada di perairan lautan Pulau Midai. Segenap perairan Pulau Midai hingga ke Pulau Natuna Selatan telah kami terokai. Begitulah lumrah apabila meneroka tempat baru yang tidak pernah pemancing lain kunjungi.

 

 

Banyak tenaga dan pengalaman yang diperah untuk menjayakan trip ini. Pelbagai teknik yang perlu dicuba untuk maksimumkan hasil tangkapan. Berkat usaha kami yang tidak henti-henti memancing akhirnya 6 tong milik bot penuh dengan pelbagai jenis ikan. Terasa begitu puas dengan kejayaan ini.

 

Perjalanan 22 jam ini kami penuhi dengan berehat setelah 3 hari bekerja keras memancing tanpa tidur yang cukup. Kejayaan ini juga menandakan bahawa saya telah khatam memancing di perairan kepulauan Riau.

 

 

Dari Mapur, Merapas, Merakit, Malang Biru, Pulau Anambas dan akhirnya Pulau Midai Natuna telah pun saya terokai. Perbagai pengalaman manis dan pahit yang telah saya tempuhi bersama Team D7L untuk menerokai spot memancing baru di perairan kepulauan Riau ini.

 

Jom like & See First page portal memancing terbaru – www.facebook.com/umpanmania101

Published by
Amang