Ketibaan kami di jeti disambut dengan hujan yang turun dengan lebat dan sedikit kekecewaan kerana mengikut pengalaman lalu, siakap akan menjadi pasif sekiranya air menjadi sejuk. Tetapi memandangkan kami telah tiba, rancangan untuk tetap diteruskan.

 

Dengan menggunakan bekalan umpan udang hidup kami bergerak menuju ke muara Kong-Kong dengan menaiki 2 buah bot milik Che Wan.

Menurut Che Wan, siakap di muara ini kini amat sukar ditewaskan menggunakan gewang. Penggunaan teknik casting berumpankan udang hidup amat berkesan di muara ini.

 

Kami singgah di beberapa buah lokasi yang dipercayai tempat tinggal siakap. Pokok bakau tumbang merupakan lubuk ikan siakap di muara ini memandangkan ikan ini amat suka mengendap mangsanya.

 

Sepanjang pagi kami memancing dan gagal menghasilkan apa-apa tangkapan. Sekali sekala umpan dasar juga digunakan untuk mencuba nasib.

Tetapi ia masih tidak menghasilkan apa-apa tangkapan. Ini sudah kami jangkakan sejak hujan turun pada awal pagi tadi lagi.

 

Akhirnya selepas ‘panjang tangan’ casting, akhirnya, seekor siakap berjaya diperoleh Saiful pada waktu petang. Ini diikuti siakap merah hampir 1 kg berjaya diperoleh oleh saya.

Kemudian Che Wan juga berjaya memperoleh ikan tanda dan kerapu juvenil selepas itu.

 

Hasil boleh dianggap langsung tidak memberangsangkan, tetapi inilah adat hobi memancing ini dan kami tetap bersyukur. Lewat petang, kami pulang semula ke hotel untuk merehatkan badan.

IKLAN

 

Rumah Api Tompok Utara (T.U)

Seawal pagi esoknya kami menuju di sebuah kawasan pantai berhampiran Desaru untuk menaiki bot. Destinasinya Rumah Api T.U. Kami menaiki sebuah bot yang dimiliki oleh Tekong Badul.

 

Tekong Badul amat arif tentang selok-belok perairan di selatan Johor termasuklah di kawasan Rumah Api T.U. Kelihatan bot milik beliau amat selesa dan sesuai dinaiki oleh 6-8 orang pemancing.

 

Rumah api yang berada di perairan Kota Tinggi sebenarnya merupakan salah satu tempat terbaik untuk memancing talang (Queenfish/Scomberoides commersonnianus) di negara kita, di mana kawasan rumah api ini jika hari cukup baik, ikan talang begitu mudah diperoleh.

 

Di sini kami menggunakan teknik pancingan yang berkesan untuk memancing ikan talang iaitu menggunakan kaedah teknik jigging.

Penggunaan set ringan bersama jig seberat 20-60 gram amat sesuai digunakan. Jig yang mempunyai ciri-ciri warna yang berwarna perak amat laku di sini.

IKLAN

 

Selain itu, penggunaan shock leader berkekuatan 40lb-50lb amat penting untuk mengelakkan tali putus apabila bergesel dengan tiang rumah api yang tajam.

Gewang dan spon yang berkilat juga boleh digunakan oleh kami sebagai alternatif lain ketika memancing di rumah api T.U.

 

Ternyata T.U masih penuh dengan lambakan talang, kerana dengan hanya beberapa kali balingan jig, talang pasti akan terpedaya.

Caranya lontarkan sejauh mungkin jig ke arah rumah api dan jig dihenjut laju dan perlahan. Kunjungan kami memang syok kerana talang berskala 4-5 kg banyak dinaikkan.

Beberapa kali juga kejadian tali putus akibat bergesel di tiang rumah api yang penuh dengan teritip.

 

Penggunaan set ringan amat mengujakan. Perlawanan tampak adil dan memberi kepuasan maksimum, tambahan lagi kepuasan jelas dapat dirasai pada saat talang membuat lompatan dan membenam untuk melepaskan diri.

 

IKLAN

Selepas makan bekalan yang dibawa sebelum pergi, tekong Badul mencadangkan supaya kami bergerak disalah satu spot miliknya untuk memancing tenggiri. Pelawaan beliau disambut baik oleh kami semua.

 

Sebelum itu, umpan ikan hidup perlu dicari menggunakan mata apollo. Setelah memperolehi stok ikan kembung dan selar, kami bergerak menuju ke spot yang dicadangkan. Kami menggunakan teknik menghayut atau drifting untuk menjerat tenggiri.

 

Beberapa kali tenggiri memakan umpan ikan hidup yang dihulurkan, tetapi spesies gred A itu kelihatan amat bijak untuk meloloskan diri.

 

Lebih dari enam kali kami gagal menaikkan tenggiri yang memakan umpan. Hanya seekor sahaja yang berjaya diperoleh oleh Berg.

Walaupun begitu, itu sudah memadai memandangkan kami telah memperoleh banyak talang semasa berada di rumah api T.U sebelum ini.

 

Kami kembali semula ke hotel penginapan kami. Hasil yang memuaskan semasa di rumah api T.U kami kongsi bersama ahli-ahli dari JFT yang datang mengunjungi kami.

Ikan dimasak di sebuah restoran dan dijamu untuk lebih 20 orang ahli JFT yang tiba bersama kami.

Keenakan masak asam pedas dan masak lemak cili api talang segar memberikan kami lebih semangat untuk menyambung memancing lagi di lokasi terakhir keesokan hari.

 

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI