Walaupun berhasrat mengunjungi pada musim monsun nanti, ia terpaksa dilakukan lebih awal, kerana rata-rata daripada mereka bakal dibekukan cuti apabila tibanya musim hujan/banjir hujung tahun nanti. Meskipun begitu, mereka tetap teruja berkunjung ke sini.
Malah bila sahaja boathouse milik Tekong Karim (TKP 51) mula meninggalkan Jeti Jenagor, masing-masing segera menyiapkan kelengkapan set memancing masing-masing. Walaupun ada yang mengantuk dek kerana jauh memandu, ia langsung tidak dihiraukan sebaliknya leka menikmati panorama persekitaran tasik.
Lokasi boathouse untuk dipakir adalah di Berua, berhampiran Air Terjun Lata Berua. Deruan air terjun serta angin sejuk yang terhasil bagaikan aircond semula jadi yang tidak boleh dikontrol, nyaman selesa dan amat sejuk bila menjelang pada malam hari.
Menurut salah seorang peserta, Firdaus Mamat, lawatan ke Tasik Kenyir ini dirancang sejak pertengahan tahun ini, di mana selepas mereka berjaya mengumpulkan rakan-rakan yang kaki pancing dari PKD Jerantut ke sini.
“Selain tujuan memancing, kunjungan kami ke sini juga untuk melihat sendiri persekitaran Tasik Kenyir. Selain itu juga boleh juga menenangkan seketika fikiran dek kesibukan kerja,” katanya.
Mensasarkan teknik pancingan bottom dan casting, pelbagai jenis umpan telah dibawa seperti kelapa sawit, cacing dan juga akan keli. Manakala umpan anak ikan dicari oleh Tekong Karim.
Sepanjang 3 hari 2 malam berada di sini, pelbagai jenis ikan berjaya dinaikkan. Spesies baung paling mendominasi hasil tangkapan selain ikan lain seperti belida, toman, temperas, lampam dan tilan. Acara membottom lebih rancak pada sebelah malamnya berbanding siang.
Pada malam pertama dan kedua, strike yang diterima cukup kasar, lima kali set pancing diuji dengan ikan misteri yang melarikan umpan ikan hidup dan mati tanpa dapat dikontrol walaupun drag telah dikunci rapat. Ada yang terputus, sangkut dan juga klip/swivel standard terkopak (mata kail diikat terus pada swivel).
Agak terkedu juga geng PKD Jerantut apabila gagal menaikkan spesies yang dipercayai siakap mega ataupun toman besar yang berada di persekitaran Air Terjun Berua sebagai lubuk mencari anak-anak ikan.
Rata-rata peserta amat teruja dengan kunjungan kali pertama ke sini dan berhasrat untuk berkunjung lagi pada tahun hadapan untuk trip trekking pula. Berikut gambar-gambar menarik trip geng PKD Jerantut sepanjang 3H 2M berada di sini.