Oleh: Mohd Hazrizal
Air Kuning di Perak misalnya memang sudah cukup terkenal dengan ikan peacock bass (PB). Selain lombong ini, banyak lagi lombong lain sama ada yang kecil atau besar turut dihuni ikan ini.
Ramai kaki pancing sanggup datang dari jauh semata-mata mencari ‘karan’ tarikan si ikan pendatang ini.
Perasan atau tidak, kini ikan pendatang ini semakin sukar dicari terutama bersaiz besar dan berkepala ‘jendol’ kerana persepsi kaki pancing telah mula berubah.
Bagi mereka tiada istilah catch and release lagi untuk PB kerana kebanyakan akan berakhir akan pulang oleh sama ada untuk dimakan atau dijual.
Dalam erti kata lain, ikan ini sudah ada harga! Jadi, jangan hairan bila jumlah jaring yang semakin banyak saban hari.
Difahamkan, ikan ini kini mendapat permintaan tinggi oleh pengusaha ikan pekasam di Perak.
Kini, untuk memancing PB terutamanya landbase di Air Kuning memang agak mencabar di Air Kuning.
Justeru pilihan utama jika mahukan lebih banyak strike adalah memancingnya menggunakan bot sama ada bawa sendiri bot atau menyewanya sahaja daripada pengusaha bot di sini.
Tuah badan
Tidak jauh dari Air Kuning, iaitu di Tronoh Mines terdapat sebuah lombong persendirian yang agak besar, di mana lombong yang berada di tanah miliknya dijadikan kolam ternak untuk rohu, jelawat, patin, tongsan, talapia, lampam jawa dan sebagainya.
Di dalam lombong tersebut terdapat banyak PB dan ikan berkenaan bukanlah ikan dalam senarai ternaknya dan menariknya, ia meminta rakan saya, Zul untuk mengeluarkan ikan tersebut dari lombongnya.
Ini kerana, PB yang ada di dalam kolamnya telah mendatangkan ancaman kepada benih-benih ikan baru yang dilepaskan di dalamnya.
Sebagai seorang yang meminati teknik casting, kebenaran tersebut diibaratkan Zul sebagai bulan jatuh ke riba.
Jadi beberapa trip telah dibuat olehnya dan hasilnya memang cukup menyeronokkan. Dalam satu trip sahaja tidak sampai sehari, tidak kurang dari 20kg PB berjaya dikeluarkan.
Hinggalah saya dan enam orang rakan yang lain turut serta dalam salah satu tripnya semasa cuti sekolah panjang baru-baru ini.
Apa lagi bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal kerana dapat memancing dengan izin empunya tuan tanah.
Awal pagi sebaik sahaja tiba, sebaik sahaja gewang yang dilontarkan, pasti sahaja.
Disebabkan lombong ini berkeluasan hampir menyamai keluasan tiga buah padang bola sepak, kami bebas memancing dan menyusuri sepanjang tebing lombong yang di kelilingnya ditanam dengan kelapa sawit.
Bawa anak
Di sebabkan, persekitaran lokasinya bersih dan tidak berbahaya, beberapa orang rakan termasuklah saya membawa anak masing-masing.
Sekurang-kurangnya, adalah aktiviti mereka, tidaklah hanya duduk di rumah menonton televisyen sahaja di samping memupuk minat dengan hobi memancing ini.
Kesemua PB yang diperolehi kami berikan kepada Zul, kerana menurutnya PB tersebut dijadikan pekasam oleh keluarganya.
Bagi saya, ikan PB yang banyak kami perolehi tidaklah dibuang begitu sahaja seperti yang diminta oleh tuan empunya lombong ini.
Setidak-tidaknya dapatlah juga memberi pendapatan sampingan buat Zul dan keluarganya.
Cerita Zul lagi, disebabkan lombong ini besar, setiap kali untuk menuai hasil, tuan punya lombong akan menyewa pukat tunda untuk kerja-kerja menjaring.
Jadi walaupun PB akan terperangkap sama, bukan semuanya akan dapat dikeluarkan dan PB pula adalah jenis ikan yang cepat membiak sekali gus memberi ancaman kepada anak-anak ikan yang baru dilepaskan pada pusingan berikutnya.
Tidak hairanlah, hampir kesemua PB yang kami perolehi itu rata-ratanya lebih kurang sama sahaja saiznya iaitu antara 35-40cm. PB yang terbesar diperolehi adalah 47cm.
Casting jelawat
Sebelum trip, rakan saya ini juga memberitahu, agar membawa set pancing yang light sahaja bagi menambah keseronokan memancing.
Manakala untuk umpan, apa sahaja jenis umpan sama ada hardlure atau softlure yang dihulurkan mudah sahaja mendapat strike.
Disebabkan lombong ini dipenuhi ikan lain, kami tidak terkecuali memperoleh tangkapan bukan ikan sasaran, antara jelawat, lampam jawa, talapia dan rohu.
Malah ikan tongsan pun terkena gewang pada badan dan ekornya.
Jadi mana-mana geng yang berjaya mendapat ikan selain dari PB walaupun tidak ‘bol’ pada mulutnya memang kecoh dibuatnya.
Maklumlah dapat lesen ‘rare’. Jadi semasa memancing, riuh rendah jadinya bila ada yang sedang strike ikan ini.
Mana yang dapat bersaiz besar terutama rohu, letih jugalah melayannya.
Lewat petang, selepas menamatkan sesi pancingan tersebut dalam keadaan hujan renyai-renyai kami berjaya memperoleh kira-kira 40kg PB yang kesemuanya dikumpulkan oleh Zul untuk dijadikan pekasam.
Siapa sangka, ikan PB yang dahulunya tidak dihiraukan, hanya diberi sebagai makan kucing dan dianggap mendatangkan ancaman kepada ikan tempatan, kini tetapi telah berubah gara-gara si ikan pekasam.
Info tambahan:
Semasa awal kewujudan PB di lombong-lombong di Perak pada masa dahulu, ikan ini tidak dihiraukan.
Malah tidak ramai yang mahu memakannya disebabkan takut melihat warna ikan ini yang kuning hijau.
Tetapi ikan ini semakin mendapat permintaan tinggi, terutama selepas industri pembuatan ikan pekasam kian yang dibantu oleh kerajaan berkembang di Perak.