Trip Retro – Fiesta Jigging Pulau Anambas – part 2

Share

 

Keesokan harinya tekong Am membuat keputusan untuk tidak berpindah dari tempat semalam. Dia hanya membetulkan posisi bot seketika supaya kedudukan bot lebih tepat di lubuk. Ini kerana, dia amat yakin masih terdapat ikan yang boleh dipancing di lokasi ini.

 

Telahan tekong memang tepat. Sebaik sahaja umpan dasar diturunkan, rod kami terus membengkok menahan asakkan ikan dan hasilnya seorang demi seorang berjaya menaikkan ebek yang rata-rata saiznya melebihi 5kg.

 

Selepas 3 jam memancing, tiada lagi ebek yang berjaya dinaikkan. Kali ini setiap kali umpan yang diturunkan disambar oleh ikan, perambut yang digunakan oleh kami pasti akan putus. Rupa-rupanya sekumpulan alu-alu telah berada di kapal karam.

 

 

Untuk menghadapi keadaan ini, kami dengan segera menukar perambut kepada perambut dawai berkekuatan 30lb-50lb. Selesai minum petang, saya yang sudah puas melayan asakan alu-alu dengan teknik dasar mula gatal tangan melempar gewang Rapala Magnum Redhead – sinking 14cm menggunakan set PE 1-3.

Dengan harapan dapatlah melayan alu-alu menggunakan gewang pula. Selepas membuat beberapa kali lontaran, gewang saya mula terasa seperti disambar ikan.

 

Beberapa minit perlawanan berlangsung, ikan mula menampakkan diri di permukaan air. Rupa-rupanya seekor ikan merah suman (Pinjalo pinjalo) yang bersaiz kasar.

Saya amat terkejut memandangkan setahu saya ikan ini lebih gemar untuk tinggal di dasar laut.

Tidak lama kemudian, set pancing dasar milik rakan-rakan lain juga disambar merah suman. Tanggapan kami, kemungkinan kumpulan ikan merah suman pula telah tiba di tempat bot kami berlabuh. Sekali lagi kami berpesta ikan hingga waktu maghrib.

 

 

Popping Buritan Kapal

Selesai makan malam, tekong Am kembali membetulkan kedudukan bot. Kali ini berhampiran buritan kapal karam.

Sekali lagi, dia masih belum mahu berpindah kerana beranggapan lubuk kapal kontena karam ini dihuni banyak ikan. Untuk memaksimumkan serta mempelbagaikan kami berselang seli dengan teknik jigging dengan pancingan dasar.

 

Telahannya memang benar, bila kami berpesta cupak dan kali ini saiznya yang menghentam jig bersaiz kasar dari semalam. Selain itu, kaci, siakap merah, ibu kerisi dan pari berjaya diperolehi melalui teknik dasar.

 

Puas berjigging, kami mencuba pula teknik popping kerana terdapat banyak riak-riak ikan yang timbul di permukaan air mengejar ikan-ikan kecil. Tanpa disangka teknik popping juga menjadi di sini.

 

Walaupun hanya cupak yang menyambar popper kami, keadaan waktu itu begitu riuh rendah terutama di hadapan bot kerana setiap popper yang dilempar pasti akan disambar ikan.

Ketika itulah set pancingan bottom milik Halim iaitu rod JM powerspell PE1.5-4 digandingkan bersama kekili Saltiga 3500, tali Utama 35lb Daiwa Dendoh dan perambut fluorocarbon Varivas 60lb berumpankan sotong ditarik kuat di belakang bot.

 

 

Melihat cara lengkungan joran kelihatan seperti ikan bersaiz besar telah memakan umpan. Aktiviti jigging dan popping tergendala sebentar bagi untuk memberi laluan dan ruang kepadanya yang pecah peluh menahan asakan yang kuat.

 

Dengan asakan yang luar biasa ini, pelbagai spekulasi dibuat oleh ahli trip yang lain. Ada yang mengatakan ia penangan yu kemejan, pari minyak, GT dan pelbagai jenis monster yang tidak mustahil mendiami lubuk kapal karam ini. 45 minit bergasak, akhirnya kelibat ikan mula timbul di permukaan.

 

Tanpa disangka seekor pari harimau atau gelaran lainnya pari bunga seberat 25kg berjaya diperolehi. Tangkapan tersebut, nyata amat membanggakan rekod peribadi Halim.

 

Tong Penuh

Sedang kami syok melayan jigging dan popping, tekong Am tiba-tiba memberi isyarat kepada kami supaya berhenti memancing. Ada masalah besar katanya. Kesemua 6 tong ikan milik bot berserta 4 tong 120qt yang dibawa bersama kami telah penuh.

Tiada lagi ruang untuk meletak ikan lagi. Semuanya sudah padat. Obsesi jigging dan popping di perairan Anambas ini membuat kami terlupa dengan kapasiti tong ikan.

 

 

Setiap ikan yang bersaiz kasar pasti akan dibawa pulang. Baki trip kami masih tinggal 2 hari 1 malam dan kami masih belum puas untuk jigging. Tetapi apakan daya, jumlah ikan yang banyak ini merisaukan Tekong Am jika kami tetap meneruskan aktiviti memancing.

 

Beliau mencadangkan supaya kami bergerak pulang segera supaya ikan sentiasa berkeadaan baik dan segar. Nampak gaya kami terpaksa pulang awal lagi dari jadual asal. Walaupun tidak puas memancing, kami tidak mempunyai pilihan dan bergerak pulang ke jeti.

 

Setibanya di jeti, kami bermalam lagi di chalet di Trikora Beach untuk menghabiskan sisa-sisa trip ini. Setelah ikan disimpan di dalam peti ais, kami mengambil kesempatan melawat tempat-tempat menarik di Pulau Bintan.

 

Di kesempatan ini juga kami juga berbincang dengan pemilik bot Sea Star untuk trip repeat pada tahun depan. Ini kerana gara-gara kami masih tidak puas memancing di perairan Pulau Anambas.

 

 

Published by
Amang