Dalam tempoh kurang sebulan, tiket kapal terbang terus ditempah sebaik sahaja Hairie menerima informasi berkenaan lokasi memancing di Kepulauan Borneo, rentetan daripada cerita-cerita hangat berkenaan ikan sungai pergunungan bersaiz mega yang terdapat di Kalimantan, Indonesia terutamanya dari Berau.
Nama daerah Long Bawan terus bermain di fikiran kerana ia akan menjadi lokasi utama tujuan kami. Kami bertiga dari ‘Streik Fishing Adventure’ termasuk saya (Ursin) dan Papa Gmie dengan kerjasama pengeluar gewang jenama Rasengan terus membuat perancangan sebaik mungkin berdasarkan maklumat yang sangat terhad.
Seminggu sebelum bertolak, kami telah mula sibuk memastikan segala keperluan tersedia terutama sekali peralatan memancing yang sebahagian besar ditaja oleh pihak Rasengan yang terletak di Seksyen 27, Shah Alam.
Jauh Perjalanan, Luas Pemandangan
Pada tarikh dan waktu yang telah ditetapkan, kami berangkat dari KLIA2 menuju ke Kota Kinabalu, Sabah. Kenderaan pacuan empat roda yang telah diubah suai sepenuhnya untuk meredah laluan ‘Off Road’ menyambut kedatangan kami.
Rakan kami, Ah Fui yang berasal dari Sabah sememangnya menjadi orang harapan untuk kami sampai ke Long Bawan terus sahaja memandu kereta menuju ke Lawas, Sarawak sejauh 200km. Lawas merupakan bandar terakhir sebelum kami meneruskan perjalanan sepenuhnya melalui jalan balak menuju ke Ba’kelalan sejauh 140km.
Kami tiba di Ba’kelalan pada lewat malam dan terpaksa tidur di tepi jalan memandangkan pintu sempadan ke Indonesia telah ditutup seawal jam 6 petang. Pengalaman tidur di kawasan terbuka dan tinggi tidak dapat dilupakan terutama suhu sejuk hingga menusuk ke tulang.
Jom like & See First page portal memancing terbaru – www.facebook.com/umpanmania101
Hari ke-2, seawal jam 7 pagi kami bersiap meneruskan perjalanan menuju ke Long Bawan. Setelah di periksa oleh pihak tentera kedua-dua negara ketika di pintu sempadan, pemandangan dan perubahan budaya sepanjang perjalanan ke Long Bawan menjadi topik utama perbualan kami.
Kami disambut oleh Philipus setibanya di Long Bawan setelah menempuh perjalanan ‘off road’ untuk lebih kurang 2 jam dari pintu sempadan. Philipus merupakan warga tempatan yang ditugaskan menemani serta menguruskan keperluan kami sepanjang ekspedisi kami di Long Bawan.
Dengan menjadikan pelian sebagai ikan sasaran utama, kami bertolak ke sebuah kampung bernama Long Umung, lebih kurang 15km dari pekan Long Bawan. Long Umung adalah kampung terakhir yang boleh dilalui dengan pacuan empat roda. Kami menginap di rumah Kepala Desa pada malam harinya kerana tiada tempat penginapan lain.
Kami meneruskan perjalanan dengan hanya berjalan kaki menyusur denai pada hari ke-3 bermula dari Long Umung ke kampung Wa’yagung. Khidmat ‘malim gunung’ seramai 4 orang dari suku kaum Dayak untuk membawa segala barangan sangat berbaloi bagi kami untuk perjalanan sejauh 25km merentas kawasan pergunungan.
Jom like & See First page portal memancing terbaru – www.facebook.com/umpanmania101
Kami tiba di tapak perkhemahan di tepi sungai lewat senja. Sangkaan saya sungai tersebut merupakan lokasi pancingan meleset sama sekali, keesokan harinya seawal pagi, kami berpecah kepada 2 kumpulan.
Kumpulan pertama kekal memancing dan menginap disitu manakala saya dan Hairie bersama 3 juru pandu meredah hutan tebal mendaki gunung hingga mencecah 1400 meter dari aras laut menuju ke sebuah kampung yang telah ditinggalkan lebih 80 tahun.
Jarak 15km cukup meletihkan kerana laluan denai tersebut seakan hilang dari pandangan. Hanya bergantung sepenuhnya pada jurupandu yang sesekali mencantas anak pokok membuka jalan.
Long Dango
Kami tiba di kampung tinggal yang dikenali sebagai Long Dango pada jam 3 petang. Keletihan sepanjang perjalanan tersebut hilang sebaik sahaja keindahan sungai yang dipenuhi lubuk berpotensi terhidang di depan mata.
Tambahan pula, kami tiba di lokasi sebenar untuk memancing hanya pada hari ke-4 sedangkan kami hanya merancang 7 hari untuk keseluruhan ekspedisi, bermakna kami hanya ada masa lebih kurang 3 jam utk memancing kerana pukul 6 petang waktu tempatan, hari akan gelap.
Jom like & See First page portal memancing terbaru – www.facebook.com/umpanmania101
Set pancing segera disiapkan dan kami terus mengilat di lubuk berhampiran tapak khemah. Balingan pertama saya terus disambar penghuni lubuk, namun sayangnya gagal didaratkan. Sambaran kedua membuatkan saya lebih berhati-hati.
Sesudu yang dibaling kali ini disambar sang pelian (kelah) yang memberikan tentangan hebat. Lariannya yang kuat serta melawan arus memberikan kepuasan tersendiri berbeza dengan tentangan dari ikan bersisik yang lainnya di sungai-sungai pergunungan.
Pancingan 3 Jam yang berbaloi
Memancing di sini sangat mengujakan apabila hampir setiap balingan dibuat akan disambut penghuni sungai tersebut yang semestinya ikan pelian berskala 2-4 kg seekor, sesekali disulam oleh ikan barong (sebarau). Walau hanya 3 jam, kami berjaya mendaratkan berpuluh-puluh ekor pelian yang sebahagian besarnya dilepaskan semula.
Penggunaan sesudu berjaya memikat ikan pelian dengan lebih mudah berbanding penggunaan gewang. Ternyata sesudu dari Rasengan yang dibekalkan (saiz 7, 10 dan 14 gram) tidak mengecewakan kami.
Saya yang turut dibekalkan Joran Abu Garcia Hornet Stinger Baretta 10-20lbs MH6’6” untuk diuji juga dapat mendaratkan mangsa dengan mudah. senang cerita lontarkan sahaja sesudu dan karau secara bersahaja je sudah cukup untuk sang pelian menyambar rakus.
Jom like & See First page portal memancing terbaru – www.facebook.com/umpanmania101
Berbaki 3 hari, bermakna kami harus mengejar waktu atau terlepas tiket pulang yang ditempah awal. Kami terpaksa keluar dari lubuk pelian pada hari ke-5 seawal pagi yang mungkin menuju ke kampung Wa’yagung sebelum meneruskan perjalanan ke Long Umung keesokan harinya dengan menyewa motosikal meredah denai.
Hari yang sama juga kereta dipandu tanpa henti dan tiba di Lawas untuk bermalam. Kami akhirnya sempat pulang seperti dijadualkan. Perjalanan 7 hari pergi dan balik hanya sempat memancing selama tiga jam di lokasi mencatatkan seribu satu kenangan suka dan duka buat kami bertiga sepanjang ekspedisi ini.