Terletak 30km di luar pantai barat laut tanah besar Semenanjung Malaysia, Pulau Langkawi adalah sebuah kepulauan daripada 99 pulau-pulau (tambahan 5 pulau sementara yang didedahkan semasa air surut) di Laut Andaman.

 

Pulau Langkawi secara rasmi dikenali sebagai Langkawi Permata Kedah pada 15 Julai 2008 oleh Sultan Abdul Halim bersempena Sambutan Jubli Emas baginda.

Keluasan Kepulauan Langkawi adalah sekitar 47,848 hektar di mana di pulau utama adalah Pulau Langkawi itu sendiri seluas 32,000 hektar merangkumi tanah rata dan dataran aluvium diselangi dengan rabung batu kapur.

Dua pertiga dari pulau ini didominasi oleh hutan dilindungi gunung, bukit dan tumbuh-tumbuhan semula jadi.

 

Trip Retro – Dibuli GT Cilik Langkawi

 

Pelbagai cara untuk ke Pulau Langkawi sama ada menggunakan khidmat Feri Langkawi dari jeti Kuala Perlis, Kuala Kedah serta Pulau Pinang dengan kadar murah ataupun melalui

udara dengan tersedianya kadar tambang murah oleh Air Asia yang hanya mengambil masa 45 minit penerbangan sahaja dari LCCT.

 

Dari terminal jeti Kuah terdapat perkhidmatan teksi ke Pantai Cenang dengan kadar tetap RM24 manakala dari lapangan terbang adalah RM18.

Di Pantai Cenang banyak terdapat tempat penginapan dari hotel bertaraf bintang hinggalah ke homestay yang selesa dengan kadar serendah RM50 semalam.

 

Trip Retro – Dibuli GT Cilik Langkawi

 

Untuk trip santai ini, kami memilih untuk terbang dan menginap di sebuah home stay di sekitar Pantai Chenang.

Kami tiba di Lapangan Terbang Kuah dan disambut oleh Eddie Haniz, rakan pengilat yang telah tiba awal sehari.

 

Setelah mendaftar masuk bilik, petang itu kami dibawa warming up untuk mengilat secara landbase di tebing berbatu sekitar Pantai Chenang dan kawasan pemecah ombak sebelum boating keesokan harinya.

Tiada sebarang strike yang kami perolehi sepanjang petang tersebut kerana kami lebih kepada aktiviti santai sahaja.

 

BERMULANYA AKSI SEBENAR

 

Tibanya kami di jeti nelayan Teluk Baru, Tekong Beq telah menunggu kami seawal pagi lagi bersama tekong Ishak.

Sebelum kami dibawa mengilat di sekitar taburan pulau di Langkawi, tekong Beq singgah untuk mengilat sebentar di tepi tiang jeti Star Cruise namun tiada sebarang sambaran.

 

Trip Retro – Dibuli GT Cilik Langkawi

Ads

 

Kemudian barulah kami menuju ke sebuah pulau berdekatan. Pada awalnya, kami dihiburkan dengan sambaran dari pelbagai spesies kerapu cilik yang mengendap di celah-celah batu.

 

Setelah beberapa ketika, barulah Ijoi berjaya mendarat seekor ikan kunyit bersaiz hidangan.

Di Pulau Tanjung Sawa pula, gewang Rapala Shadrap saya disergap kasar oleh penghuni berbatu. Siakap merah berskala 1kg yang menyambar rupanya dan selamat didaratkan.

 

Tekong memberitahu agak sukar untuk memperolehi siakap merah di sini, maka menambahkan lagi keterujaan saya kerana berjaya mendaratkannya.

Di Pulau Rebak Besar, joran saya sekali lagi direntap kasar dan kali ini seekor kerapu bersaiz agak baik pula berjaya saya perolehi.

 

Sudah dua lesen spesies air masin saya perolehi tidak sampai separuh hari mengilat, ini menambahkan lagi semangat kami untuk terus menduga penghuni-penghuni di sini.

Sebelum nerhenti rehat tengah hari, kami dibawa ke jeti Star Cruise semula untuk mencuba kaedah light jigging pula.

Seekor kerapu comel menggunakan udang Zerek 12 gram dan seekor GT remaja menggunakan jig 20 gram sahaja yang berjaya dinaikkan.

 

Trip Retro – Dibuli GT Cilik Langkawi

 

DIBULI GT

 

Pada sebelah petangnya, angin bertiup agak kuat dan sedikit menyukarkan kami untuk mengilat.

Ads

Banyak juga pulau yang kami duga namun tiada yang sudi menyambar gewang yang dihulur, hanyalah 2-3 ekor kerapu cilik.

Hampir gelap, kami dibawa ke tebing berbatu di Tanjung Malai berhampiran dengan jeti Star Cruise sekali lagi.

 

Bot tekong Ishak berjaya menaikkan seekor GT kecil. Sedang leka memainkan gewang, joran Ijoi terus sahaja disentap amat kuat.

Sistem tegangan kekili yang dikunci hampir 100% seumpama tidak berfungsi kerana peragut gewang terus-menerus memecut laju mengeluarkan tali dari gelendong Daiwa Aggrest kepunyaannya.

 

Akhirnya, walaupun setelah berhempas pulas menahan asakan pemangsa, namun nasib dan rezeki tidak berpihak kepada kami kerana penghuni dasar berjaya menyusup masuk ke

celah batu serta mengorbankan gewang Rapala Clankin Minnow berwarna ‘Glass Ghost’ kesayangan Ijoi.

 

Trip Retro – Dibuli GT Cilik Langkawi

 

Dari segi lariannya, tekong menjangkakan GT bersaiz kasar yang punya angkara kerana waktu-waktu sebelum gelap memang banyak GT akan berlegar di kawasan tersebut.

Kami pulang dengan sedikit hampa kerana tidak berjaya memperolehi GT yang menjadi target utama kami.

 

AKSI TERAKHIR

 

Sebelum Pulang Pada hari yang kami jadualkan untuk pulang, tekong Beq menghubungi saya dan beria mengajak kami mengilat sekali lagi pada sebelah petang kerana tidak berpuas hati kami tidak menaikkan GT Langkawi.

Setelah selesai membeli belah cenderahati di pekan Kuah, saya dan Ijoi turun sekali lagi bersama tekong Beq.

Ads

 

Apa yang menariknya, 2 jam yang singkat inilah kami dihidangkan dengan sambaran GT yang bertalu-talu di sekitar Pulau Batu Merah.

Pada awalnya, sekawan talang sedang galak menghambur anak ikan di permukaan air. Popper dan pencil kami hanya diekori sahaja tanpa sebarang sambaran.

Di satu sudut gua berbatu di dalam air, lontaran pertama Ijoi dan saya terus mendapat sambaran.

 

Trip Retro – Dibuli GT Cilik Langkawi

 

Lontaran kedua Ijoi juga sekali lagi disambar oleh GT di spot yang sama sebelum gewang Rapala BX Minnow saya dicukai oleh GT kasar yang berjaya menyusup masuk ke celah gua berbatu dan memutuskan tali utama 20lb saya.

Setelah itu, kami bertukar lokasi berhampiran pulau yang sama juga. Kali ini pencil Duo Realis Ijoi pula yang mendapat sambaran dan tiga ekor lagi GT berjaya didaratkan.

 

Sekali lagi saya tewas di sini setelah tidak dapat mengekang larian GT yang amat kasar saiznya dan mengorbankan seketul lagi gewang.

Walau apa pun, kami tidak menang tangan selama 1 jam melayan aksi-aksi kemesraan serta keramahan luar biasa GT pada petang itu dan faktor air yang cantik petang tersebut mungkin banyak mempengaruhi mood pemakanan ikan.

Walaupun kami hanya dapat mengilat selama lebih kurang 2 jam sahaja sebelum gelap, namun kami amat teruja dengan hasil yang diperolehi petang itu.

 

POTENSI

 

Secara keseluruhannya kami berpuas hati dengan hasil yang diperolehi sepanjang trip ini walaupun tidak berjaya mendaratkan GT bersaiz kasar.

Namun, sambaran-sambaran daripada GT berskala 1-2kg amat menghiburkan yang kebanyakannya rakus meligan gewang selaman cetek berwarna natural dan cerah.

 

Trip Retro – Dibuli GT Cilik Langkawi

 

Tidak keterlaluan saya katakan taburan pulau di Langkawi amat berpotensi dan penghuni tebing berbatunya masih banyak terutamanya spesies GT, kerapu, siakap merah serta bandang.

Dengan promosi yang cukup baik, Langkawi bukan lagi sekadar  lokasi pelancongan bagi membeli-belah bebas cukai, namun boleh menjadi salah satu lokasi mengilat spesies air masin terbaik di negara kita.

 

Dalam pada masa yang sama, sentiasalah mematuhi etika pemancing demi menjamin alam sekitar dan perairan awam terpelihara.

Hormatilah hak pemancing lain dan kita seharusnya ada inisiatif dalam membangunkan sukan memancing serta meningkatkan ilmu sambil saling berkongsi ilmu dengan

menyebarkan pengetahuan yang ada dalam diri kita agar dapat dikongsi bersama. Tiada ruginya.

(oleh: Pemancing marhaen)

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI