Pagi-pagi lagi selesai sarapan, kami telah pun bersiap berkemas untuk meneruskan perjalanan. Affizi telah berjaya mendaratkan ikan parang sungai pertama menggunakan set fly. Untuk ke hilir, kami mengambil keputusan cara untuk berhanyut.
Tidak sampai beberapa minit berhanyut ke bawah, saya telah berjaya menaikkan seekor anak sebarau bersaiz 300 gram. Tidak lama kemudian, seorang demi seorang daripada kami mula menaikkan hasil. Selain dari berhanyut, kami turut berhenti di tebing spot berpotensi dan mula melontarkan gewang dan juga sesudu.
Ada satu kejadian di mana saya dan Izzy terjatuh dari bot kerana Izzy terlalu gembira kerana lontaran sesudu ke sisi kayu balak melintang di tebing sungai disambar rakus kerandang. Dek kerana terlalu gembira, bot yang dibawanya melanggar tebing sungai. Mujur kerandang tidak terlepas.
Cikgu Kadir pula terlepas seekor sebarau yang agak besar sehinggakan rod miliknya patah. Selain itu, banyak juga kes rabut berlaku selain sebarau yang galak mengejar tetapi tidak mahu menghentam gewang. Mungkin di sebabkan air sungai yang agak jernih ia culas.
Ketika di satu lubuk yang tenang, Izzy gagal mendaratkan spesies yang tidak dapat dipastikan. Mungkin mama toman. Tali Ryujin 20lb putus akibat geseran di celah-celah kayu. Gewang milik Izzy terkorban dan kami cuba menyelam untuk mendapatkannya kembali, tetapi gagal.
Saya sendiri hanya berjaya memperoleh sebarau dan juga toman. Jealous juga melihatkan Izzy dan Affizi kerana masing-masing berjaya mendapatkan kerandang dalam trip ini. Takpe… belum rezeki lagi. He….he…
Ketika berhanyut ke hilir, ia bukanlah perkara mudah walaupun nampak macam mudah. Ada ketikanya tiba di kawasan air cetek, kami terpaksa turun dari bot dan menolak bot untuk melepasi kawasan cetek. 2-3 kali jugalah kami berbuat demikian.
Selain itu, tunggul kayu yang banyak turut menyukarkan perjalanan kami. Sesekali bot turut melanggar tunggul dan juga batu kerana gagal dikawal akibat arus yang deras kerana enjin bot yang kami gunakan hanyalah berkuasa kecil. Jadi kami terpaksa berhati-hati agar bot tidak ditimpa kemalangan.
Secara keseluruhan, kami berjaya mendaratkan hampir 20 ekor sebarau termasuk toman. Kesemua ikan toman dilepaskan dan hanya beberapa ekor sebarau sahaja dibawa pulang.
Kami naik semula ke jeti pada pukul 6 petang. Ternyata pengalaman berkhemah dan menaiki bot bersama rakan-rakan caster yang lain tidak akan saya lupakan kerana banyak ilmu yang saya pelajari. Saya pasti akan kembali semula untuk memburu sebarau mega di situ.