Perjalanan dimulai dengan bergerak dari kediaman masing-masing seawal jam 4 pagi dan tiba di destinasi iaitu bandar Mukah pukul 8 pagi.
Kemudian para pemancing pun mencari umpan segar yang dijual di pasar Mukah. Antara umpan yang dicari sotong, ikan tongkol, jamah (selar), kembung dan alu-alu.
Selepas bersarapan dan membeli alatan memancing yang diperlukan di Kedai Pancing Mukah, rombongan menuju pula ke jeti Lembaga Kemajuan Ikan Mukah (LKIM).
Kapten kapal yang akan menjadi jurumudi iaitu Tekong Ah Sui, yang mempunyai banyak pengalaman telah pun sedia menunggu di jeti.
Ia jelas menunjukkan komitmen tekong dalam perkhidmatannya. Kami mula berangkat ke lokasi memancing pukul 10 pagi dan perjalanan yang mengambil masa 4 jam untuk tiba di destinasi memancing iaitu perairan Oya, Mukah.
Tanpa membuang masa, para pemancing terus menurunkan umpan yang telah dilekatkan pada mata kail. Umpan sotong dan tongkol yang telah siap dipotong kecil menjadi taruhan.
Tidak menunggu lama, sambaran demi sambaran dapat dilihat kerana hampir semua joran melentur dek asakan daripada penghuni dasar terutamanya ikan kerapu dan merah.
Sementara itu, tekong Ah Sui amat rajin berpindah lubuk bila tiada sambutan di lokasi yang dilawatinya.
Pada hari kedua, cuaca agak kurang mesra terhadap kami. Kami dilanda ombak tinggi dan ini memaksa untuk berhenti memancing dari pukul 6 pagi hingga 11 pagi.
Walau bagaimana pun badai itu tidak melunturkan semangat kami sebagai pemancing. Kami terima dugaan itu dengan berlapang dada dan bersyukur.
Setelah ombak besar kembali reda, tekong telah memberi isyarat untuk memulakan semula pancingan. Kali ini kami menduga perairan Igan, Mukah.
Selain teknik pancingan dasar atau bottom, para pemancing juga menggunakan teknik jigging pada sebelah malamnya untuk menjerat ikan pelagik seperti cupak.
Untuk trip kali ini, rombongan kami telah berjaya mendaratkan hasil pelbagai spesies mencecah hampir penuh tong ikan 400 liter.
Pada trip ini juga, ikan terbesar seberat 7 kg iaitu ikan merah berjaya dinaikkan oleh Stevenson.
Manakala ikan termahal iaitu kerapu bara seberat 3.5kg pula berjaya dinaikkan oleh Beritin Empawi.
Trip bottom dan jigging kali ini amat berjaya dan nantikan aksi Simanggang Anglers lagi.
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan