Trip ini diatur setelah trip ke Dungun dibatalkan kerana gelombang ketiga banjir yang melanda Pantai Timur Malaysia baru-baru ini.
Walaupun dirancang last minute, kami masih dapat ke sana dengan menggunakan khidmat tekong Ustaz Nasir yang terkenal. Misi utama pastinya siakap merah.
Bertolak awal pagi dari KL dan tiba di sana sekitar jam 6.30 pagi. Kami sempat berehat sebelum beraksi. Seperti biasa, fokus hanya kepada mengilat sahaja. Tepat jam 7.45 pagi kami memulakan perjalanan.
Lubuk pertama tiada hasil dan tekong terus menuju ke anak sungai kecil untuk memancing jenjulung kecil, katanya untuk umpan mengilat ‘cara kampung’.
Kelihatan banyak ikan bulan di situ namun agak sukar mendapatkannya walaupun popper kecil digunakan. Hanya seekor dibawa naik dan dilepaskan semula. Sekadar untuk melayan tarikan sahaja.
Hampir 40 minit, kami beredar dengan hampir 20 ekor hasil jenjulung yang dipancing dengan ‘teknik puyu’. Lubuk seterusnya masih tiada hasil. Jenjulung tadi telah pun siap untuk dipraktikkan dan tekong memberi kami seekor seorang.
Joran tekong disambar rakus dan beliau serta merta menahan asakan. Namun tiba-tiba putus. Kami terus mencuba dan K.I di hadapan mendapat sambaran lalu menahan dan mengarau. Timbul alu-alu sekitar 1kg. Masih belum dapat siakap merah nampaknya.
Di satu kawasan pokok tumbang, tekong mendapat sambaran kasar dan setelah menahan asakan, timbul seekor siakap merah yang dicari-cari. Saiznya sekitar anggaran 1.5kg.
Semangat kami membara dan terus mencuba. Saya mendapat rentapan ketika umpan hampir ditarik ke bot. Ia tidak dijangka namun berjaya juga dinaikkan. Saiznya kecil sahaja tetapi tentangannya hebat.
Setelah berehat, Zamri pula mendapat strike, tapi sayang ketika dia menahan asakan. Di lubuk ini, saya dan tekong juga rabut. Tak tahu di mana silapnya.
Kami berhanyut sambil mengilat dan dikejutkan dengan jeritan Zamri apabila dia mendapat sambaran kasar. Agak cemas kerana betul-betul tepi reba.
Rezeki berpihak kepadanya dan seekor lagi siakap merah ditawan dengan saiz anggaran 2kg. Ketika tekong sedang menarik sauh, K.I pula mendapat sambaran. Ya…berjaya juga dia menaikkan ikan impiannya itu.
Kami kemudiannya ke tempat yang digelar ‘Pulau Bulan’ untuk berseronok di sana sebelum pulang. 6 ekor berjaya di pancing dan hanya 2 ekor dibawa pulang.
Di sini kami rabut lebih kurang 10 kali!! Kami pulang awal kerana perlu balik ke KL pada petang itu juga. Apa yang pasti kami akan kembali lagi.