Trip ini diatur setelah trip ke Dungun dibatalkan kerana gelombang ketiga banjir yang melanda Pantai Timur Malaysia baru-baru ini.
Walaupun dirancang last minute, kami masih dapat ke sana dengan menggunakan khidmat tekong Ustaz Nasir yang terkenal. Misi utama pastinya siakap merah.
Bertolak awal pagi dari KL dan tiba di sana sekitar jam 6.30 pagi. Kami sempat berehat sebelum beraksi. Seperti biasa, fokus hanya kepada mengilat sahaja. Tepat jam 7.45 pagi kami memulakan perjalanan.
Lubuk pertama tiada hasil dan tekong terus menuju ke anak sungai kecil untuk memancing jenjulung kecil, katanya untuk umpan mengilat ‘cara kampung’.
Kelihatan banyak ikan bulan di situ namun agak sukar mendapatkannya walaupun popper kecil digunakan. Hanya seekor dibawa naik dan dilepaskan semula. Sekadar untuk melayan tarikan sahaja.
Ads
Hampir 40 minit, kami beredar dengan hampir 20 ekor hasil jenjulung yang dipancing dengan ‘teknik puyu’. Lubuk seterusnya masih tiada hasil. Jenjulung tadi telah pun siap untuk dipraktikkan dan tekong memberi kami seekor seorang.
Joran tekong disambar rakus dan beliau serta merta menahan asakan. Namun tiba-tiba putus. Kami terus mencuba dan K.I di hadapan mendapat sambaran lalu menahan dan mengarau. Timbul alu-alu sekitar 1kg. Masih belum dapat siakap merah nampaknya.
Ads
Di satu kawasan pokok tumbang, tekong mendapat sambaran kasar dan setelah menahan asakan, timbul seekor siakap merah yang dicari-cari. Saiznya sekitar anggaran 1.5kg.
Semangat kami membara dan terus mencuba. Saya mendapat rentapan ketika umpan hampir ditarik ke bot. Ia tidak dijangka namun berjaya juga dinaikkan. Saiznya kecil sahaja tetapi tentangannya hebat.
Ads
Setelah berehat, Zamri pula mendapat strike, tapi sayang ketika dia menahan asakan. Di lubuk ini, saya dan tekong juga rabut. Tak tahu di mana silapnya.
Kami berhanyut sambil mengilat dan dikejutkan dengan jeritan Zamri apabila dia mendapat sambaran kasar. Agak cemas kerana betul-betul tepi reba.
Rezeki berpihak kepadanya dan seekor lagi siakap merah ditawan dengan saiz anggaran 2kg. Ketika tekong sedang menarik sauh, K.I pula mendapat sambaran. Ya…berjaya juga dia menaikkan ikan impiannya itu.
Kami kemudiannya ke tempat yang digelar ‘Pulau Bulan’ untuk berseronok di sana sebelum pulang. 6 ekor berjaya di pancing dan hanya 2 ekor dibawa pulang.
Di sini kami rabut lebih kurang 10 kali!! Kami pulang awal kerana perlu balik ke KL pada petang itu juga. Apa yang pasti kami akan kembali lagi.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
“Ikan apa yang selalu naik di kelong tu, wak?” tanya saya berbasa-basi sambil menanti air pasang di Jeti Kampung Banting, Sabak Bernam, Selangor.
Masalah mendapan lumpur menyebabkan bot dan sampan tidak boleh keluar masuk ke kuala ketika air laut sedang surut. Maka kami terpaksalah melangut sementara tunggu air pasang.
“Bukan ada ikan pun… kalau nak mancing sembilang bolehlah.”
Mak aii… bersahaja betul jawapan Wak Anuar tu. Tak ubah jawapan kawan-kawan bila minta pendapat hasil pancingan di kelong kupang milik Wak Anuar tersebut. Tersentap juga semangat dibuatnya. Rasa macam nak kensel saja trip ke kelongnya itu.
Namun, kejujuran Wak Anuar wajar dipuji kerana berani menyatakan situasi sebenar pancingan di kelong kupangnya. Menurut Wak Anuar, pada asalnya kelong kupangnya itu bukanlah kelong memancing sebaliknya pondok yang dibina untuk memantau ternakan kupangnya lebih 10 tahun yang lalu.
Gelaran kelong kupang itu hanya wujud hasil panggilan pemancing. Setelah kupang tidak sesuai lagi diternak ekoran pelbagai masalah, terutama mendapan lumpur yang menebal sehingga 13 kaki dalam tempoh 5 tahun terakhir, maka kelong itu bertukar status menjadi kelong memancing.
Perjalanan dengan sampan selama 10 minit ke kelong kupang dari jeti persendirian Kampung Banting tatkala air pasang, tidak dapat menggambarkan keadaan sebenar situasi yang dinyatakan oleh Wak Anuar.
Yang pasti, kelibat 10 orang pemancing yang sedang memancing di atas gelegar buluh yang ditenggelami air pasang membukti Wak Anuar berkata benar bahawa hanya sembilang yang banyak bermukim di kelongnya. Itu pun tidak menyeluruh sebaliknya perlu pandai mencari lubuk-lubuknya di tiang-tiang pelantar kelong.
Cerita dari mulut ke mulut mengenai lubuk pari yang menjadi tujuan sebenar saya ke kelong kupang ini sebenarnya bukan cerita kosong. Sebaliknya ia terbukti dengan deretan ekor pari yang dipaku pada alang kelong.
Lantaran, 50 ekor udang hidup yang dibeli sebagai umpan pari tidak dibiarkan lama di dalam tong umpan. Balingan umpan udang hidup segera disambut. Tapi bukannya pari, sebaliknya dikerjakan oleh gelama yang merupakan penghuni lain selain sembilang.
Apabila air surut sepenuhnya, barulah terserlah dilema yang diluahkan oleh Wak Anuar. Sekeliling kelong seluas mata memandang umpama keadaan padang datar yang dilapisi lumpur selepas banjir.
Aktiviti memancing bukan saja tidak boleh lagi dilakukan, malah kelong sudah terputus hubungan dengan daratan. Situasi inilah yang membingungkan Wak Anuar tentang masa hadapan kelong kupangnya.
Hendak diusahakan ternakan kupang sudah tidak bersesuaian, hendak dibiarkan usang dimakan usia, ramai pemancing yang masih mahu menziarahinya, hendak dijadikan kelong memancing, bukan sedikit pula belanja baik pulih.
Ikan pun dah tak banyak masuk selain sembilang dan gelama. Yang pasti, hari ini atau esok para pemancing bakal kehilangan spot memancing yang sedia ketandusan.
Ketika orang lain sedang sibuk merancang ke mana dan di mana lokasi untuk meraikan sambutan tahun baru, kami 6 orang ahli keluarga pula sibuk merancang ke mana dan di mana lokasi untuk memancing.
Bincang punya bincang, rancang punya rancang akhirnya kami sepakat untuk memanfaatkan cuti tahun baru dengan memancing di kelong atau rumah rakit Teluk Gong.
Sampai di jeti kampung nelayan Teluk Gong, hari dah pun lewat petang. Tanpa berlengah kami cari pengusaha rumah rakit. Perjalanan menaiki sampan/bot fiber dari jeti ke rumah rakit tidaklah memakan masa yang panjang. Dalam 2-3 minit dah pun sampai.
Rumah rakit pun boleh dilihat dari jeti dengan jelas. Nasib kami agak baik dibawa ke rumah rakit dua tingkat yang selesa. Banyak kelengkapan yang disediakan.
Bilik untuk tidur, dapur untuk memasak, tandas, kipas, televisyen dan set BBQ turut disediakan. Bayaran yang dikenakan adalah RM 350 bagi penuh untuk satu malam.
Oleh kerana kami kami tidak berhajat untuk menyewa penuh, maka bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM 35 seorang. Tambah bernasib baik, hari itu tiada pemancing lain yang menyewa rumah rakit tersebut, maka sangatlah privacy.
Setiba di rumah rakit, kami tidak membuang masa memasang alatan pancing. Tak sampai dua minit melabuhkan umpan, sudah ada ikan yang menggetu umpan.
Apabila direntap, maka naiklah seekor gelama. Pancing lagi, tak lama kemudian naik pula ikan duri. Begitu juga dengan ahli-ahli keluarga yang lain, hanya gelama dan duri saja yang berjaya dinaikkan.
Namun kami tidak kisah apa ikan yang naik dan terus memancing sehingga air surut. Waktu air surut sememangnya kurang sesuai untuk memancing kerana arusnya terlalu laju. Jadi kami berehat dan tidur dulu menunggu air kembali pasang.
Kami memancing sehingga jam 11 pagi keesokan harinya barulah berkemas-kemas untuk pulang. Meskipun hasil pancingan semuanya ikan duri dan gelama saja, ia sudah cukup menggembirakan kami kerana setidak-tidaknya dapatlah juga berkumpul bersama-sama.
Spot jigging sudah terbentang di hadapan mata. Masing-masing tidak sabar lagi nak beraksi. Dasarnya yang dalam sehingga 300 meter membuatkan kami lebih bersedia dengan pelbagai jenis jig. Set berat dikeluarkan untuk mengunjun besi jig seberat 250 gram hingga 350 gram.
Saya hanya menggunakan jig Runaway 270 gram kerana faktor stamina yang kurang memberangsangkan. Kebanyakan jigger yang bertandang ke sini sudah pasti melakukan latihan keras atau sekurang-kurangnya masuk ke gimnasium untuk persiapan memperkemas otot-otot lengan, bahu dan pinggang.
Jika terserempak dengan kawanan burung menjunam ke permukaan air maka tekong sudah pasti akan berhenti dan menduga apa yang terdapat di situ. Apa yang pasti tuna-tuna berlegar di bawah permukaan air sambil mengejar anak-anak sardin. Ketika inilah peluang perlu dimanfaatkan dengan menghulurkan besi jig.
Melihat Somchok menggunakan set sederhana kami kembali teruja. Masing-masing menyimpan set aksi berat dan menukar kepada set aksi sederhana untuk membuat perhitungan. Saya hanya menggunakan kekili Shimano Stella 8000SW dan joran Expert p.e 3-5 sahaja untuk melayan skipjack dan baby yellow fin tuna.
Masing-masing mempraktikan pelbagai jenis variasi jigging laju, perlahan, lembut dan campuran. Sebagai orang baru kita kena cuba apa sahaja teknik. Jangan malu belajar dan bertanya, apa yang penting mencuba dan terus mencuba tanpa jemu pasti kejayaan akan menjelma.
Selesai minum petang kami berpindah lubuk untuk meneruskan aksi jigging. Entah lubuk mana entah yang tekong singgah. Ketika senja inilah tuna semakin galak mengejar besi jig yang di unjun secara mendatar. Para jigger terpaksa melontar jauh jig masing-masing dan dibiarkan sedikit tenggelam lalu dijig dengan laju. Jigging ketika senja ini lebih memberangsangkan. Kali ini lebih rancak, tekong dan awak-awak turut jigging sama.
Di sinilah kami berjaya menewaskan beberapa ekor yellow fin tuna dan dogtooth tuna. Spesies malam juga mengancam. Selain tuna, lubuk ini dihuni juga ruby snapper dan kakap merah. Azuan dan Zulkefly lebih bernasib baik dengan hasil jigging masing-masing.
Berkat kesabaran, berjaya juga yang lain-lainnya dengan spesies yang sama di samping yellow fin tuna. Tak sangka pula red bass juga membaham jig milik saya. Masing-masing dapat merasakan sendiri pertarungan tanpa henti yang membuatkan kami tidak lena tidur sehingga ke pagi.
SPOT JIGGING RINGAN
Suatu ketika tekong sempat singgah di karang bergunung yang kedalamannya hanya sekitar 100 meter. Inilah masanya nak praktikkan pelbagai jenis variasi jigging menggunakan tengkorak besi dan juga crystal ball. Daripada yang mahal dan berkualiti seperti Duel hinggalah yang agak ekonomi keluaran Eupro. Manakala yang murah seperti Sure Catch dan Hinomiya juga tidak kurang hebatnya.
Acara jigging ringan di sini boleh dikatakan sesi bersantai setelah lebih berjigging berat. Selain itu, inilah masanya untuk mencuba produk-produk terbaru di pasaran. Sebenarnya kitalah merupakan ’tester’ tidak bertauliah yang banyak memberi manfaat kepada pemancing-pemancing baru.
Kami mempraktikkan teknik popular di sini dengan menurunkannya ke dasar lalu di unjun sedikit demi sedikit dengan aksi perlahan. Kadangkala ia diunjun-unjun setempat tanpa mengarau tali. Tengkorak besi ini akan terlompat-lompat seperti seekor sotong kurita kecil yang sedang berenang. Aksinya yang semula jadi akan membuatkan mangsa lebih geram.
Spesies karang seperti kerapu bara dan kerapu pisang sudah tentu akan menyerang hendap apabila jig ini melintas di hadapan mata. Satu lagi teknik yang berkesan dengan membuat lontaran jauh melepasi kawasan karang. Kemudian dikarau perlahan secara mengenjut-enjut agar ia kelihatan seperti terlompat-lompat melalui kawasan dasar batu karang.
Lontaran dilakukan berulang-ulang kali tanpa jemu dan pelbagai arah untuk menarik sang kerapu keluar dari tempat persembunyiannya. Kami lakukan secara beramai-ramai agar penghuni di dasar lebih teruja.
Hasil usaha mencuba dan mencuba, akhirnya berbaloi juga dengan tertumpasnya kerapu bara, kerapu chonoh dan kerapu pisang. Selain itu, spesies karang yang lain juga sudi membaham jig-jig kami yang pelbagai. Sehinggakan red bass turut sama tergoda lalu mengejar jig tanpa henti.
Suatu ketika ikan-ikan karang seperti jebong dan barat-barat banyak membuat kacau. Selain itu terdapat pelbagai spesies pelik yang geram dengan jig tengkorak besi ini seperti moonfish, merah duri dan tidak ketinggalan, ular ginjal (eel)!
LUBUK RUBY DAN KERTANG
Kami menggunakan perambut dua mata berkekuatan 160lb untuk menahan asakan ruby snapper. Setelah kedudukan bot betul-betul di atas spot yang tepat, pesta pun bermula. Ruby snapper mula menyerang. Semua peserta sibuk melayan asakan si merah ini walaupun cuaca panas terik.
Setiap pemancing berupaya menaikkan dua ekor sekali gus. Itu yang membuatkan awak-awak tak menang tangan menggancu ikan. Rata-rata ruby snapper berskala 10-12 kg berjaya didaratkan. Di samping itu, ada juga kerisi bali pelbagai saiz yang mencuri umpan kami. Masing-masing tersenyum apabila hasil tangkapan memenuhi tong merah besar.
Lubuk terakhir kami ialah lubuk kertang hitam. Tekong menyarankan kami menggunakan perambut sekurang-kurangnya 180-200 lb jika tidak mahu tewas lagi. Sebenarnya kami sudah bersedia dengan perambut mono tebal sebegitu. Tak perlu tunggu lama.
Sebaik sahaja umpan tongkol mencecah dasar pastinya ada ragutan kasar dari bawah. Rata-rata kertang hitam berskala 30-40 kg menjadi milik kami. Kedalaman 200 hingga 300 meter memerlukan kekili elektrik, rod heavy, mata kail kasar dan batu ladung berat.
Kekili elektrik perlu bekerja lebih keras. Kekili Tanacom Bull dan Command X sudah memadai untuk misi di sini. Menurut tekong, terdapat juga kertang hitam dianggarkan lebih 100 kg yang menghuni lubuk ini. Jika persiapan yang rapi dilakukan tidak mustahil hasil akan lebih lumayan.
Kata bijak pandai, wang bukan menjadi ukuran. Kepuasan peribadi lebih menjadi keutamaan. Bercuti bersama-sama rakan memang menyeronokkan di samping mengeratkan lagi tali persahabatan setelah penat bekerja siang dan malam. Sikap bertolak ansur dan happy go lucky yang ada pada kumpulan ini membuatkan trip-trip yang dianjurkan menjadi lebih ceria.
Tambahan pula hasil tangkapan dibahagikan sama rata maka tidak timbul masalah perebutan tempat memancing di dalam bot. Sebenarnya terdapat banyak faktor yang menyebabkan kumpulan saya tidak melepaskan peluang setiap tahun berkunjung ke sini. Di samping spesies dasarnya yang bersepah, kekuatan tarikan tuna yang hebat menyebabkan masing-masing sentiasa hendak datang lagi.
Tiga tahun mengejar ilmu, akhirnya aku lulus semua ujian ku. Bulan depan aku akan memiliki ijazah sarjana muda ekonomi perniagaan. Sementara itu aku cadang...