Penat jigging dan ikan juga tidak galak jig, saya bertukar kepada pancingan dasar pula. Lagipun jam sudah menunjukkan jam 1.48 petang. Kami semua sepakat untuk makan dahulu dan masing-masing membiarkan pancing berumpankan udang hidup dilabuh.

 

Sedang asyik menjamah bekal yang isteri saya sediakan dari rumah tadi, tiba-tiba joran Exori dipadankan kekili Abu Garcia Cardinal terpelanting dari tempat saya sandarkan, nasib

baik saya sempat menyambar dari terus jatuh ke laut akibat di heret dek sang ikan yang ganas dan rakus ini.

Saya membiarkan saja ikan tadi mengheret keluar tali dari spool Abu Garcia Cardinal sehingga tiba masa saya pam dan karau seupaya mungkin!

 

Ternyata tarikan ikan ini sungguh luar biasa, semakin saya cuba pam semakin ikan memecut sehingga saya hampir kehabisan tali.

Menyedari akan kehabisan tali, saya pun membuat beberapa henjutan kasar dengan harapan ikan tersebut berhenti memecut lagi jauh.

 

Ternyata teknik saya berkesan, ikan mula mengalah biar pun ada kalanya ikan tersebut membuat larian susulan. Di pertengahan perlawanan itu, di sinilah kesilapan berlaku bila mana ikan yang disangka sudah tidak bertenaga itu membuat pecutannya sekali lagi.

 

Trip Retro – Ceramin-Ceramin Pelantar Haji Richard (part 2)

 

Tali yang dirasakan tegang tadi tiba-tiba jadi kendur. Arggghhhh… ikan lepas lagi. Saya merasa hampa namun tidak berputus asa.

Umpan dilabuh kembali dengan harapan menebus kehampaan tadi sambil menyambung kembali bekal nasi yang baru separuh dijamah tadi.

 

Pesta Ikan Ceramin-Ceramin

Selesai saja makan, saya berehat sambil cuba melelapkan mata sekejap memandangkan ikan kurang aktif menyambar umpan yang kami persembahkan. Si Nam dan cikgu Ali sudah dahulu dibuai mimpi. Mungkin kepenatan jigging agaknya.

 

IKLAN

Lebih kurang 15 minit terlelap, kami tiba-tiba terjaga apabila terdengar jeritan kekili Banax 5000 seperti loceng sekolah dari arah belakang bot.

Kali ni joran Riki pula mengena! Terbongkok-bongkok joran Superstar berkekuatan PE3 ditarik rakus. Kami segera menumpukan gelagat aksi Riki bertarung dengan ikan itu.

 

Memang Riki kaya dengan pengalamannya, dengan bersahaja dia melayan seterunya. Perlawanan tidak lebih 5 minit, ceramin-ceramin berskala 4.4 kg berjaya digancu dan didaratkan.

 

Kami terus kembali bersemangat untuk memburu ikan masing-masing. Seperti yang diharapkan,ikan mula aktif menjamah umpan dan kali ni joran Cikgu Alai pula. Biarpun hanya bersaiz 2 kg, namun itu sudah memuaskan hati.

 

Trip Retro – Ceramin-Ceramin Pelantar Haji Richard (part 2)

 

Diikuti Cikgu Aim, Tekong Riki, saya, Si Nam dan Cikgu Ali masing-masing berpesta kerana berjaya menaikkan ceramin-ceramin bersaiz 1 kg hingga 3 kg.

Tetapi selepas itu, keadaan kembali suram tanpa sambaran ikan mungkin disebabkan oleh sebuah kapal pengangkut barang yang singgah berlabuh di Pelantar Minyak Haji Richard ini.

 

Ribut Melanda

IKLAN

Jam menunjukkan pukul 4.30 petang, Cuaca nampak cerah dan matahari terik masih lagi memancar membuatkan kami masing-masing dengan pelindung bagi mengelak dari panas terik yang seakan-akan berada dalam microwave.

 

Tiba-tiba Riki memberitahu agar kami berkemas kerana trip pelantar minyak Haji Richard terpaksa dihentikan dengan alasan hujan ribut akan melanda.

Kami berpandangan sesama sendiri kebingungan kerana cuaca panas terik pada masa itu, awan cerah tanpa menunjukkan sebarang tanda-tanda hujan, tiba-tiba hujan ribut akan melanda adalah mustahil!.

 

Seperti dapat membaca apa yang ada di fikiran kami, Riki lantas menjelaskan dan menunjukkan yang di daratan sudah ada kepulan awan hitam membentuk menandakan

ribut akan terjadi jika kami masih lagi bertahan. Akur dengan keadaan tersebut, kami pun menurut apa yang dia arahkan.

 

Trip Retro – Ceramin-Ceramin Pelantar Haji Richard (part 2)

 

Tepat jam 5 petang, bot kami pun memecut meninggalkan Pelantar Minyak Haji Richard. Namun tidak sampai 15 minit perjalanan, keadaan telah bertukar mendung dan gelap. Ini membuatkan kami sedikit gusar kerana perjalanan pulang ke jeti masih jauh.

 

Tiba-tiba angin bertiup kencang dan diikuti hujan lebat membuatkan kami basah kuyup dan pandangan terjejas dek cuaca tersebut.

IKLAN

Namun Riki memberitahu kami agar tidak berasa panik dan cuba untuk meredah ribut teruk. Sesekali saya berdoa agar dijauhi mala petaka dan teringat orang rumah!

 

Bak kata pepatah orang tua-tua alah bisa tegal biasa. Begitu lah perumpamaan yang boleh dijelaskan kepada Riki. Dalam suasana yang gelap, angin dan hujan kami pun selamat tiba di muara Weston.

 

Tabik hormat dengan Riki biar pun pada kebiasaannya perjalanan yang hanya memakan masa 45 minit menjadi 2 jam setengah. Ternyata kami tidak salah memilih tekong bot, pengalaman dan ilmu laut Riki memang tidak boleh dipertikaikan lagi.

 

Lebih kurang jam 7 malam, kami selamat sampai ke jeti Weston Wetland Park. Selesai memunggah semua barang-barang dari bot, kami sempat berborak-borak kosong. Masing-masing bercerita tentang pengalaman meredah ribut tadi.

 

Riki hanya tersenyum mendengar cerita kami. Selesai sahaja, kami pun bergerak pulang ke rumah dengan pengalaman meredah ribut masih teringat-ingat dan menjadi bualan kami di dalam kereta masa perjalanan pulang.

 

Trip Retro – Ceramin-Ceramin Pelantar Haji Richard (part 2)

 

Trip Pelantar Minyak Haji Richard ini banyak memberi pengalaman buat saya yang pertama kali turun untuk menduga lautan dalam.

Banyak perkara baru yang saya pelajari dan ternyata pepatah Melayu mengatakan luas perjalanan, banyak pengalaman ada kebenarannya. Justeru itu, saya berharap akan ada lagi trip-trip menduga lautan dalam yang akan saya sertai lagi.

 

Info pelantar

Nama sebenar Pelantar Minyak Haji Richard ialah Richardson Transection. Namun ia lebih dikenali sebagai Pelantar Minyak Haji Richard di kalangan penduduk tempatan dan merupakan pelantar minyak gas.

 

Trip Retro – Ceramin-Ceramin Pelantar Haji Richard (part 2)

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI