Trip Retro – Cendol GT Port Dickson

Share

 

Apabila mendarat sahaja ikan gerepoh atau biasa disebut GT yang kedua, saya terus bersuara kepada tekong jigging 100% popular Port Dickson, Rozali Abd Rahim atau lebih mesra dengan panggilan Pak Ali.

 

“Boleh buat story GT ni, Pak Ali…”

 

Saya sebenarnya sekadar bersahaja, bukan mendesak atau memberi tekanan kepada tekong untuk menggeledah lubuk-lubuk gerepoh atau GT bagi memenuhi permintaan saya itu.

 

Malah tujuan saya menyertai trip jigging bersama rakan-rakan yang banyak membantu saya mencari bahan untuk jurnal memancing saya lebih kepada trip santai.

 

 

Tak sangka pula Pak Ali menganggapnya sebagai `tugasan’ yang perlu beliau penuhi. Bersungguh-sungguh pula dia cuba untuk menjayakannya.

 

Ketika gerepoh kedua yang dinaikkan oleh Shahrul Amri, hari masih awal pagi. Sebelum itu saya terlebih dahulu mendaratkannya.

Memandangkan ia belum tengah hari dan kedua-kedua gerepoh tersebut dinaikkan dalam jarak masa yang agak rapat, maka saya begitu yakin misi untuk menghasilkan bahan cerita akan tercapai.

 

Namun tak sangka pula gerepoh terus menyepi walaupun beberapa lubuk gerepoh yang berpotensi digeledah oleh Pak Ali.

 

Gerepoh yang lenyap secara tiba-tiba tidak menjadikan aktiviti memancing kami turut menjadi sunyi.

Sebaliknya pelbagai kejadian yang berlangsung di atas bot membuatkan kami hampir terlupa kepada misi tidak rasmi iaitu mencari gerepoh.

 

 

Malah masing-masing ada misi tersendiri yang terpendam. Ada yang bergelut untuk memecah badi kumpau setelah beberapa trip berakhir dengan kegagalan. Ada yang bergelut dengan mabuk laut walaupun sudah banyak kali turun ke laut.

 

Ada yang bergelut dengan serangan alu-alu yang memutuskan perambut berkali-kali. Ada yang bergelut untuk memperoleh lesen agar tidak menjadi bahan kepada tekong.

Dan tekong sendiri turut bergelut untuk mendaratkan seekor spesimen haruan tasik belasan kilogram yang akhirnya dimenangi oleh si ikan dan sekadar berpuas hati dengan ikan talang sahaja.

 

 

Menjelang lewat petang, tinggal beberapa lubuk sahaja lagi untuk dicuba sebelum bergerak pulang, muncul Shahrulnizam menjadi penyelamat apabila berjaya mendaratkan seekor lagi ikan gerepoh yang lebih kurang saiznya.

 

Tiga ekor gerepoh itu sudah mencukupi untuk saya garap menjadi bahan jurnal memancing saya.

Tak lama kemudian Parman menjadi ia bahan yang sempurna apabila turut sama mendaratkan spesies gerepoh.

Beberapa minit sebelum trip berakhir, Hafizuliz Amri berjaya juga menyempurnakan trip apabila berjaya mendaratkan ikan kerapu.

 

Published by
Amang