Trip Rompin – Cedok Pari Di Chedoq!!

Share

 

Setibanya di kawasan pancingan, terlihat kelibat joran bersaiz galah bersusun di tepian pantai. Nampaknya semua ahli begitu bersemangat untuk menewaskan dan memperbaharui lesen pari mereka di sini.

 

Saya begitu teruja sejak awal tadi mula berjumpa dan bersalaman dengan semua ahli. Boleh dikatakan kesemuanya sangat mesra dan begitu mengalu-alukan ketibaan Team Umpan ke Pantai Chedoq. Selepas itu, ahli ASC membawa penulis untuk melihat hasil tangkapan mereka.

 

Saya agak terkesima melihat lambakan pari yang telah mereka daratkan. Dan yang paling mencuri perhatian adalah seekor pari monster dengan berat 34kg yang berjaya dinaikkan oleh Om Salim. Dikhabarkan juga pari ini menjadi rekod terbesar yang dinaikkan oleh ahli ASC sepanjang penubuhan kelab itu.

 

Namun jauh di benak fikiran saya terfikir, bagaimana mereka hendak menaikkan ikan sebesar ini di tepi pantai menggunakan joran? Tetapi selepas melihat video dan demonstrasi teknik yang mereka gunakan membuatkan saya kagum dengan mereka.

Di sini saja banyak ilmu yang saya dapat pelajari terutama cara membuat lontaran umpan dan seterusnya mencari lesen besar pancingan pantai.

 

 

Hari kedua, usai saja sarapan, awal-awal lagi kami telah meneruskan misi pemburuan pari. Sesuai dengan keadaan sedang air jalan pasang, kami terus memulakan sesi menjaring bagi mendapatkan umpan segar untuk memikat sang pari.

 

Di sini, rata-rata mereka mengesyorkan ikan pelata, bolos dan gelama sebagai umpan terbaik untuk memancing pari. Usai mendapatkan bekalan umpan, kami terus menuju ke lokasi pilihan untuk memancing.

 

Tidak perlu menunggu lama, Ghu yang sedang duduk di bahagian paling hujung menjadi orang pertama menerima sambaran. Sejurus kemudian, seekor pari dalam anggaran 2kg berjaya didaratkan dan tidak lama selepas itu giliran Din Kedah pula menerima sambaran.

 

“Joran Seahawk dan buat kerja!” jerit seorang ahli ASC di tepi pantai. Kali ini spesimen berskala 3kg pula yang tumpas. Agaknya 3 ekor pari ini datang sekawan.

 

Sedang saya asyik mengambil gambar ikan, terdengar pula jeritan di bahagian hujung menandakan salah satu joran telah menerima sambaran. Kali ini lenturan di hujung joran agak kuat menandakan ikan yang bersaiz lebih besar sedang menanti.

Sesuai dengan aksi tarik menarik, pari kali ini yang dinaikkan oleh Abang Mie lebih besar dan dianggarkan bersaiz sekitar 5kg.

 

 

Belum sempat berbuat apa, satu lagi joran yang berdekatan tunduk seperti ingin menyembah bumi. Awie yang berada berdekatan lantas menyambar joran dan berlakulah episod tarik menarik.

 

Pari seberat 3kg selamat didaratkan dan menjadi pari penutup untuk sesi pancingan kali ini. Menjelang tengah hari semuanya berkemas untuk check out dari Chedoq Beach Resort dan pulang ke lokasi masing-masing.

 

Published by
Amang