Ketika ahli Team Alucast merancang satu trip ala-ala family day di Marang, Terengganu dalam Whatsapp group team, saya tak ambil kisah sangat.
Lagipun tarikhnya masih lambat. Lebih kurang dua bulan lagi pada waktu itu.
Apabila tentatif program mula direncanakan dalam kemas kini trip tersebut, saya mula tertarik apabila terselit acara cadangan jigging dan mencandat sotong.
Memandangkan majoriti ahli Team Alucast lebih fokus pada cabang mengilat di tasik-tasik sungai maka saya percaya cadangan acara tersebut kurang mendapat sambutan. Terutamanya jigging.
Seminggu sebelum trip family day tersebut bermula, sebagaimana yang dijangkakan hanya cadangan acara mencandat sotong mendapat sambutan.
Itu pun masih belum penuh. Berikutan ada tugasan di Kuala Terengganu pada tempoh waktu itu, saya pun selitkan nama untuk join trip candat sotong.
Melalui ahli Team Alucast yang merupakan anak tempatan Marang, segala urusan dilakukan oleh beliau termasuklah trip mencandat sotong.
Apa yang membuatkan saya agak teruja untuk turut serta kerana inilah julung-julung kalinya Team Alucast yang terkenal dengan Megatrip tahunan ke Tasik Kenyir turun ke laut.
Tanpa disangka trip yang dianggar akan kekurangan korum seramai 8 orang akhirnya bukan saja penuh malah berlebihan pula.
Berikutan ramai ahli trip datang dari luar Terengganu maka agak lewat sikit kami turun mencandat.
Boleh dikatakan bot kami merupakan bot terakhir yang bergerak keluar dari jeti Marang menuju perairan Pulau Kapas.
Hampir jam 8 malam barulah kami memulakan aktiviti mencandat sotong dengan harapan yang menggunung.
Tambahan pula menurut kata tekong yang dikenali sebagai Pok Tar (Mokhtar), pelanggan yang menaiki bot beliau pada hari kelmarin berjaya membawa pulang 40 kg sotong, walaupun lebih ramai yang mabuk laut daripada yang memancing.
Sebaliknya sesi mencandat sotong kami bermula dengan begitu perlahan sekali.
Saya sendiri hampir setengah jam barulah berjaya memperoleh lesen setelah mendaratkan sotong yang pertama.
Sementara yang belum memperoleh lesen mulalah buat perangai sehingga ada yang meminta tekong tolong sentuh joran dan macam-macam lagi.
Begitu pun tekong sangat membantu dengan memberi tunjuk yang sewajarnya.
Walaupun agak perlahan hasil yang dinaikkan namun ia lebih dari mencukupi untuk kami jadikan juadah.
Dan apabila masing-masing mula kekenyangan setelah menjamu sotong sambal dengan nasi putih panas-panas, mata pun mula layu.
Saya sendiri hanya mampu bertahan sehingga jam 1.30 pagi sahaja. Sotong bukan tiada langsung cuma sesekali saja hadir dalam kumpulan yang kecil.
Jadi saya tidur dulu dan bercadang untuk bangkit jam 4 pagi bagi menyambung semula aktiviti.
Tatkala seronok melelapkan mata di ruang sempit belakang bot, terdengar pula enjin bot berderum lama. Takkan nak berpindah lubuk begitu lama.
Rupanya bot sudah menghala ke jeti atas permintaan seorang dua rakan yang dengan alasan tertentu. Saya jam belum pun 3.00 pagi. Setuju tak setuju terpaksa jugalah turut saja.