Trip Retro – Bersantai Di Kolam Menderang

Share

 

Sekiranya anda berhasrat untuk memancing di kolam air tawar dengan suasana yang aman dan tenteram, maka Kolam Menderang, Sungkai, di negeri Perak adalah tempatnya.

Jika hendak dibuat perbandingan, kolam pancing ikan air tawar yang terletak di Kampung Menderang, kira-kira 3 kilometer dari Pekan Menderang, Sungkai, ini tidak sebesar atau seluas kolam pancing air tawar ternama, namun ia memiliki keistimewaan tersendiri yang membuatkan para pemancing tidak jemu untuk kembali memancing.

 

Sejak mengambil alih pengurusan pada 17 Mei 2015 lalu, Ismadi Ishak yang juga merupakan seorang pemancing tegar sama ada kolam, sungai atau laut, amat memahami apa yang dikehendaki oleh kaki pancing apabila berkunjung ke sesebuah kolam pancing.

 

 

Justeru beliau mempraktikkan kaedah mesra pemancing yang ternyata berjaya mengembalikan semula pemancing-pemancing yang suatu ketika dahulu merupakan pengunjung setia Kolam Menderang.

 

Kolam terbaik

Kolam Menderang berkeluasan lebih kurang 1 ekar ini menempatkan sebuah kolam memancing berukuran 70 meter panjang dan 50 meter lebar. Berkedalaman 7 hingga 12 kaki. Bersumberkan air sungai yang bersih dipam masuk dari Sungai Sungkai (berhampiran kolam) menjadikan ikani-kan yang mendiami kolam sentiasa sihat dan cergas untuk dipancing.

Malah ikan-ikan yang dibenarkan dibawa pulang juga tidak hanyir atau berbau tanah untuk dijadikan juadah.

 

 

Meskipun sekadar 4.54 tan ikan yang berada di kolam namun peratusan pemancing mendaratkan ikan dalam tempoh memancing adalah tinggi. Atau dalam erti kata lainnya, susah untuk kumpau di Kolam Menderang.

 

Patin, tongsan sisik halus, rohu, pacu, lekoh, keli, lampam dan patin Mekong merupakan penghuni tetap kolam. Tongsan sisik halus merupakan spesies terberat yang ada dengan skala saiz 26 kg. Patin paling berat adalah 17 kg, pacu 8 kg, rohu 8 kg manakala beberapa ekor patin mekong baru mencecah berat 6-8 kg.

 

Sesuatu yang lebih menarik, kolam ini bolehlah diisytiharkan sebagai kolam bebas tilapia. Spesies pengacau umpan ini akan dibanteras sekira terlihat kelibatnya. Namun lampam merupakan salah satu spesies tangkapan berlauk.

 

 

Dengan saiz yang agak kasar, para penggemar pancingan lampam boleh mencuba nasib mengambil pakej memancing lampam dengan kadar yuran RM 15 untuk tempoh 5 jam.

 

Pakej memancing istimewa

Kolam Menderang beroperasi setiap hari bermula dari jam 3 petang hingga 3 pagi pada Isnin hingga Jumaat. Sementara pada hujung minggu atau Sabtu dan Ahad ia beroperasi lebih awal dari jam 10 pagi hingga 3 pagi. Untuk pancingan lewat malam atau midnight pada hujung minggu atau ada permintaan daripada pemancing melebihi 4 orang akan dilangsungkan sehingga jam 7 pagi.

 

Syarat dan peraturan juga bersifat mesra pemancing. Tiada peraturan atau syarat yang memeningkan kepala pemancing. Mengamalkan konsep pancing dan lepas, setiap tangkapan melebihi 3 kg akan dibayar balik. Patin, tongsan, keli dan leekoh akan dibayar RM 1 per kg sementara pacu dan rohu pula RM2 per kg.

 

 

Sementara tangkapan bonus turut disediakan. Setiap patin Mekong yang didaratkan dan menepati syarat akan menerima RM50. Begitu juga dengan tangkapan spesial yang merupakan seekor patin yang cacat penglihatan. Untuk maklumat lanjut kolam bolehlah hubungi 016-5300796 (Jep).

 

 

Published by
Amang