Terletak di sebelah pantai barat semenanjung, Tanjung Tuan dalam kawasan Port Dickson merupakan antara spot memancing yang terbaik beberapa tahun kebelakangan ini.

Malah, Port Dickson sendiri telah menjadi antara destinasi percutian dan berlibur yang popular di Malaysia.

 

Lokasi ini juga terkenal dengan sejarahnya yang tersendiri. Juga dikenali sebagai Cape Rachado, nama yang diberikan oleh Portugis, lokasi ini terkenal dengan rumah apinya (Cape Rachado Lighthouse) yang menghadap ke Selat Melaka.

 

Perairan ini pernah menjadi medan pertempuran laut antara Dutch VOC dan Portugis dalam Battle of Cape Rachado sekitar tahun 1606.

 

Hari ini, Tanjung Tuan menjadi antara lokasi yang menjadi perhatian kaki pancing, lebih-lebih lagi bagi pemancing dasar dan jigging.

Jigging atau mengunjun besi memang mempunyai ‘karen’ tersendiri. Bahkan melihat besi jig yang berwarna-warni pun kadang-kadang bole terlupa akan masa kerana asyik, apatah

lagi kalau jig tersebut berjaya menjalankan tugasnya dengan baik dan memberi pulangan dengan menaikkan ikan hasil godaannya.

 

TRIP ‘MEMBESI’ TANJUNG TUAN

 

Seawal jam 6 pagi kami bertolak menuju ke Port Dickson dari Kuala Lumpur bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Sebelum ke jeti, kami sempat bersarapan ala kadar serta membeli barang makanan lain di sekitar Teluk Kemang.

 

Usai bersarapan, tanpa membuang masa, kami menuju ke Jeti Pengkalan Teluk Kemang Batu 7, lokasi yang menjadi tempat janji temu kami berjumpa tekong Apex Kecik.

Jam 8 pagi kami tiba di jeti dan mula memunggah peralatan yang perlu digunakan. Kelihatan beberapa orang grup pemancing baru tiba di gigi air, mungkin baru pulang dari trip malam tadi.

 

Trip Retro – Berkenalan Dengan Penghuni Tanjung Tuan

 

Sementara menunggu Apex menurunkan bot, kami mempersiapkan set pancing masing-masing dengan ikatan yang perlu dan juga membuat pemeriksaan akhir agar tidak

tertinggal peralatan yang akan digunakan terutamanya besi-besi pelbagai warna dan berat yang akan digunakan sebagai modal utama menggoda isi perut Tanjung Tuan.

 

Sebaik sahaja Apex selesai menurunkan bot di gigi air, kami berlima bertolak dari jeti menuju ke lubuk-lubuk simpanan Apex yang bakal menjadi medan pertarungan jigging kali ini.

 

Bot sepanjang 24 kaki ini meluncur laju membelah air hasil lonjakan deruan enjin Johnson berkekuatan 40hp.

Sekitar 30 minit meluncur, akhirnya Apex menghentikan bot menandakan kami telah tiba di lubuk pertama yang akan menjadi medan unjunan besi.

 

Ads

BATTLE OF CAPE RACHADO BERMULA

 

Masing-masing mula mencapai set masing-masing dan jig pilihan digantung pada hujung tali.

Tekong Apex yang lebih arif dengan perairan ini khususnya lubuk simpanannya menyarankan kami menggunakan jig yang mempunyai berat sekitar 80g-120g kerana keadaan arus air yang tidak terlalu laju dan tidak terlalu perlahan.

 

Lalu masing-masing menurunkan jig, unjunan menegak (vertical jigging) secara slow-pitch menjadi pilihan pertama pagi itu.

 

Tak menunggu lama, ketika masingmasing masih mencuba warna jig yang sesuai, tiba-tiba Apek yang melakukan unjunan di bahagian belakang bot mendapat henjutan pertama.

Hujung rod mula melengkung namun sayang, beban yang dirasakan pada mulanya tiba-tiba hilang menandakan besi yang dihidang telah dipotong.

 

Trip Retro – Berkenalan Dengan Penghuni Tanjung Tuan

 

Belum sempat nak mengeluh kecewa, jig yang digayakan menggunakan set custom PE 0.6 – 1.5 milik Zach pula mendapat henjutan dari bawah, tapi sekali lagi hampa apabila

mangsa terlepas mungkin kerana mata kail tidak tercangkuk kemas ketika melakukan strike.

 

Belum sempat besi jig Zach dinaikkan, Bob yang sedari tadi tidak putus-putus membuat unjunan perlahan di bahagian tengah bot pula dihenjut kuat menandakan pertarungan seterusnya.

Rod Crosstage PE 1.2 milik Bob menjunam mahu mencium riak air. Setelah menyaksikan Apex dan Zach tewas di depan mata, mangsa kali ini perlu dinaikkan.

 

Yakin dengan kemampuan rod Crosstage miliknya, Bob menahan asakan mangsa sebelum mula membuat asakan balas menggunakan kekili Ryojin 3000 sebagai padanan rod.

Ads

Kayuhan kudrat Bob menyebabkan tali utama mula memasuki spool Ryojin 3000 dan sesekali mangsa cuba mengasak, namun kekuatan beban milik Crosstage Bob serta drag kekili membataskan segalanya.

 

Akhirnya, mangsa mengaku kalah apabila menunjukkan sisik oren dirinya di permukaan air. Jelas, kemenangan milik Bob apabila menaikkan seekor jenahak sekitar 3 kg.

Bob menjerit kepuasan sambil memegang jenahak yang menjadi trofi kemenangan miliknya pagi itu.

 

Trip Retro – Berkenalan Dengan Penghuni Tanjung Tuan

 

ANGKATAN TALANG TANJUNG TUAN

 

Di lubuk berikutnya, unjunan jig daripada Bob sekali lagi mendapat berjaya menggoda mangsanya.

Sekali lagi Bob tenang mengawal keadaan. Kudrat rod Crosstage PE 1.2 dan kekili Ryojin 3000 sekali lagi digunakan sebaik untuk membataskan asakan lawan.

 

Pertarungan kali ini lebih singkat tanpa banyak masalah dan Bob sekali lagi tersenyum puas dengan seekor lagi jenahak hampir 2 kg ketika matahari semakin menegakkan sudutnya.

 

Ketika terik matahari semakin menikam kulit, tekong Apex menghidupkan enjin bot untuk membawa kami mengejar boiling talang.

Tiba di lokasi, kelihatan riak-riak boiling sang talang umpama air mendidih di bawah payungan burung-burung laut.

 

Serta merta, kami yang turut mendidih keghairahan mencapai set masing-masing dan melakukan teknik jig-cast menggunakan jig yang lebih kecil.

Berat sekitar 20-40g, sebaiknya warna silver atau biru menjadi saranan Apek untuk teknik jig-cast.

Ads

 

Trip Retro – Berkenalan Dengan Penghuni Tanjung Tuan

 

Seekor demi seekor talang mula menyerah diri akibat terpedaya dengan luncuran jig kami.

Apek yang masih tekun dengan teknik vertical jigging di bahagian belakang mendapat henjutan yang agak kasar.

 

Menjerit-jerit drag kekili Apek meraung akibat strike demi strike yang dilakukannya, lepas geram untuk pagi tadi agaknya. Dengan tenang seekor talang atau Queenfish dinaikkan.

Talang hasil vertical jigging mempunyai saiz yang lebih besar berbanding talang hasil buruan jig-cast semasa boiling.

 

Keasyikan mengejar boiling talang tidak terhad kepada teknik jig-cast sahaja. Untuk menambah keseronokan, kami bertukar kepada teknik popping dan hasilnya memang terbaik.

 

Malah lebih teruja melihat riak air apabila talang menghentam popper di permukaan air.
Untuk aksi popping talang di Tanjung Tuan, popper berwarna putih atau clear merupakan salah satu gewang mujarab sebagai pertaruhan.

 

JUMPA LAGI CAPE RACHADO

 

Keasyikan mengejar boiling talang menyebabkan kami terlupa sudah mengheret waktu ke petang. Kami sempat dibawa ke lubuk kerapu ketika dalam perjalanan ke jeti sebagai persinggahan akhir.

Walaupun singkat, seekor kerapu berjaya dicungkil dari celahan batu sebagai hasil penutup untuk pertempuran Naval Battle of Cape Rachado.

 

Sekitar jam 6.30 petang, kami tiba di jeti bersama hasil cungkilan Tanjung Tuan. Sepanjang trip berlangsung, penulis secara peribadi cukup tertarik dengan kerajinan, tip dan khidmat tekong Apek Kecik sepanjang trip berlangsung.

 

Tidak hairan, sebelum ini ada khabar mengatakan dia antara tekong terbaik di Tanjung Tuan untuk trip jigging dan casting, sehinggakan terpaksa menempah 2 atau 3 bulan lebih awal.

Diharapkan tekong Apex Kecik terus menawarkan khidmat terbaiknya kepada kaki pancing.

 

Trip kali ini boleh dianggap sukses walaupun tiada mangsa bersaiz mega, namun rata-rata spesies yang dinaikkan cukup untuk membuktikan bahawa Tanjung Tuan merupakan antara lokasi terbaik untuk teknik jigging di pantai barat Semenanjung.

 

Dengan pengurusan di jeti yang tersusun dan dijaga bersih, penulis melihat Tanjung Tuan akan menjadi lokasi tumpuan yang lebih besar di kalangan pemancing untuk tahun yang mendatang.

 

Matahari yang terbenam menandakan kami perlu kembali pulang. Pertarungan sepanjang trip dan hilangnya jig sepanjang trip membuatkan kami bertekad untuk kembali. Sampai jumpa lagi Cape Rachado.

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI